Tutu sentuhan Sabrina jadi pilihan kanak-kanak sambut hari jadi - Utusan Malaysia

Tutu sentuhan Sabrina jadi pilihan kanak-kanak sambut hari jadi

Sabrina Salleh memperolehi kemahiran mereka gaun tutu daripada internet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila berbicara mengenai tutu pasti kita akan terbayang penari balet wanita yang memakai tutu di pinggang mereka. Tutu, sejenis skirt pendek diperbuat daripada beberapa lapis kain sutera atau nilon yang dilekatkan pada bahagian pinggang kostum penari balet.

Walaupun tutu ada penggemarnya tidak bermakna senang mendapatkannya. Ini diakui sendiri oleh pereka tutu, Sabrina Salleh.

Kain net yang tidak terlalu keras menghasilkan kembang yang bukan sahaja cantik tetapi selesa pada kulit bayi atau kanak-kanak.

Wanita berusia 36 tahun ini memberitahu, kesukaran mendapatkan tutu untuk anak perempuannya, menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk belajar membuatnya.

“Saya mahu menganjurkan sambutan hari lahir pertama untuk anak lelaki saya, tetapi sewaktu melayari internet, saya banyak jumpa gaun tutu. Saya terfikir boleh guna idea ini untuk majlis hari lahir anak perempuan saya, Tiana pula.

“Saya terus melayari internet untuk mencari penjual tutu dress di Malaysia. Namun hampa, saya tidak dapat menemui penjual, sebaliknya hanya jumpa video tutorial cara membuatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia mengimbau pembabitan awalnya dalam penghasilan tutu.

Hasil sentuhan Sabrina boleh dilihat di media sosial beliau menggunakan nama @sabbytia.birthdayoutfits yang dibangunkan sejak 2014. Ada dua jenis pilihan dibuat oleh Sabrina iaitu basic dan ribbon trimmed.

Keinginan merealisasikan sambutan hari jadi terbaik buat anaknya mendorong Sabrina belajar sendiri menerusi platform internet.

“Saya belajar dengan menonton video tutorial membuat tutu dress dari Pinterest dan Youtube. Saya berjaya menghasilkan dress tutu untuk dipakai Tiana ketika majlis hari lahirnya yang ketiga,” katanya.

Hobi dan bisnes jalan seiringan

Media sosial digunakan Sabrina untuk menonjolkan kreativiti. Ulasan positif pelanggan turut meningkatkan permintaan.

“Pelanggan pertama saya adalah kawan saya sendiri. Kini permintaan datang dari dalam dan luar negara seperti Australia, Kuwait dan Brunei.

“Pelanggan biasanya akan menghantar gambar anak mereka dengan wajah ceria memakai gaun tutu. Itulah yang mendorong saya terus menghasilkan kraftangan ini. Semakin banyak permintaan semakin saya suka dan akan pastikan kualiti diutamakan,” katanya.

Semua kerja crafting dibuat di rumah sahaja. Namun apabila bisnes mula menunjukkan sedikit perkembangan, Sabrina mula mengubahsuai bilik di rumahnya menjadi bengkel kraf di rumahnya.

“Saya hanya dibantu Tiana. Selebihnya dari khidmat pelanggan sehingga ke proses mereka, melukis corak, menjahit, mengambil gambar produk, membungkus dan akhirnya mengepos, semuanya saya buat sendiri,” katanya yang menjelaskan kemahiran dan rekaan dipelajarinya melalui pengalaman. Sentuhan akhir adalah kerja tangannya sendiri.

Kreatif pelbagaikan produk

Mengulas mengenai cabaran penghasilan tutu, kata Sabrina kesukaran memperoleh material selesa tetapi cantik dipakai antara ragam perlu dihadapi.

“Kesukaran lain yang dihadapi adalah ketika pandemik covid-19 majlis hari lahir tidak digalakkan atau dibenarkan. Saya terpaksa sesuaikan mengikut keperluan sambutan hari lahir kecil-kecilan bersama keluarga sendiri di rumah. Contohnya t-shirt hari lahir yang khusus untuk dipakai bersama adik-beradik ketika memotong kek di rumah,” katanya.

Ujar Sabrina mana-mana wanita yang ingin mengkomersialkan hobi, mereka perlu banyak melakukan penyelidikan dan kreatif.

“Kreatif mempelbagaikan produk untuk meneruskan kelangsungan bisnes terutamanya ketika pandemik. Sungguhpun permintaan menurun, tetapi saya bersyukur kerana ramai lagi yang masih sudi mencari dan menggunakan khidmat saya untuk menyerikan sambutan hari lahir secara kecil-kecilan di rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN