PETALING JAYA: Shopee melancarkan satu siri inisiatif pertumbuhan penjual baharu di bawah program Shopee Lindung Niaga bagi membantu usahawan memulakan perniagaan dalam talian serta memperkukuh daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Naib Presiden Shopee Malaysia, Ian Ho berkata, syarikat memahami cabaran yang dihadapi PMKS dalam landskap perniagaan yang semakin mencabar, justeru terus melabur dalam penyelesaian praktikal bagi membantu usahawan memulakan dan mengembangkan perniagaan dengan lebih yakin.
Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang Shopee dalam memperkasa perniagaan tempatan menerusi penyediaan ekosistem yang mampu menyokong pertumbuhan mampan, selain menawarkan nilai yang lebih baik kepada pengguna.
“Justeru, kami terus melabur dalam penyelesaian dan sokongan praktikal yang membantu perniagaan memulakan operasi, berkembang dengan yakin serta beroperasi dengan lebih cekap.
“Inisiatif terkini ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk memperkasa perniagaan tempatan dengan keupayaan yang diperlukan bagi mencapai pertumbuhan mampan.
“ Ia sekali gus terus menawarkan nilai dan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi penambahbaikan Program Penjual Baharu, penjual yang layak akan menikmati pengecualian Yuran Sokongan Platform selama 60 hari bagi mengurangkan kos operasi pada peringkat awal.
“Selain itu, had pesanan sebelum komisen dikenakan turut ditingkatkan daripada 100 kepada 200 pesanan selama 120 hari daripada tarikh penyenaraian produk pertama atau sehingga had tersebut dicapai.
“Ia sekali gus memberi lebih ruang kepada penjual menjana jualan sebelum dikenakan komisen.
“Selain itu, bagi menyokong pertumbuhan perniagaan sedia ada, Shopee turut memperkenalkan kadar komisen lebih rendah untuk lebih 60 kategori barangan keperluan harian terpilih, termasuk susu, air mineral, bijirin, roti dan telur.
“Kadar komisen itu dikurangkan antara 0.5 hingga 9.0 peratus dengan pengurangan terbesar melibatkan kategori keperluan memasak, krimer serta mentega dan marjerin,” ujarnya.
Katanya, langkah tersebut menjadikan lebih 120 kategori barangan keperluan harian menikmati kadar komisen lebih rendah.
“Ini sekali gus memberi peluang kepada penjual meningkatkan keuntungan serta melabur semula dalam pengembangan perniagaan, di samping membolehkan pengguna menikmati harga yang lebih kompetitif,” jelasnya.
Shopee turut menganjurkan Kempen Diskaun Barangan Keperluan Harian dari 7 Julai hingga 31 Julai dengan menawarkan baucar diskaun antara 20 hingga 50 peratus bagi kategori produk terpilih.
Selain itu, platform e-dagang itu memperkenalkan beberapa insentif tambahan termasuk peningkatan 50 peratus Kredit Iklan Percuma menerusi Ads Startup Booster (ASB) bagi membantu penjual baharu meningkatkan keterlihatan produk dan capaian pelanggan.
Dalam pada itu, Shopee turut menawarkan pengecualian komisen kepada penjual baharu yang menyertai perkhidmatan Fulfilled by Shopee (FBS).
Ia sekali gus mengurangkan kos permulaan dan membolehkan mereka memanfaatkan kemudahan gudang serta logistik bersepadu syarikat. –UTUSAN










