Penyebab anak dijangkiti Covid-19 boleh didenda RM10,000 -

Penyebab anak dijangkiti Covid-19 boleh didenda RM10,000

Ibu bapa yang didapati menyebabkan anak mereka dijangkiti Covid-10 boleh didenda hingga RM10,000. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ibu bapa yang ingkar mematuhi operasi prosedur standard (SOP) hingga menyebabkan individu berisiko tinggi terutama kanak-kanak dijangkiti Covid-19 boleh didenda sehingga RM10,000.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihak berkuasa boleh membuka kertas siasatan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap individu termasuk ibu bapa yang sengaja dan masih mendedahkan anak-anak kepada jangkitan.

Menurut beliau, pihaknya akui tidak ada kompaun khusus kepada mereka yang membawa anak ke kawasan sesak hingga menyebabkan jangkitan.

“Namun mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diwartakan, ada tindakan boleh dikenakan kepada ibu bapa yang ingkar,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin secara maya semalam.

Mengikut SOP MKN, kapasiti kenderaan persendirian dihadkan kepada dua wakil isi rumah termasuk pemandu bagi tujuan mendapatkan makanan dan keperluan asas sepanjang 14 hari sekatan pergerakan penuh mulai hari ini.

Ini bermakna kanak-kanak tidak dibenarkan keluar apatah lagi memasuki pasar raya atau tempat-tempat tumpuan yang merisikokan mereka.

Memang tiada klausa khusus dalam Akta 342 untuk memberi kompaun kepada ibu bapa tetapi penguat kuasa boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 25 akta berkenaan yang mempunyai tiga kategori.

Kategori 1: Kesalahan yang menyebabkan risiko penularan memberi impak jangkitan Covid-19 kepada komuniti pada skala besar.

Kategori 2: Kesalahan menyebabkan risiko penularan tinggi namun tidak memberi impak jangkitan kepada komuniti.

Kategori 3: Kesalahan menyebabkan risiko penularan jangkitan Covid-19 yang rendah dan tiada kesan kepada penularan dalam komuniti.

Penguat kuasa boleh mengenakan kompaun bagi individu atau pihak syarikat atau penganjur mengikut magnitud kesan atau impak penularan yang mana boleh didenda tidak melebihi RM10,000 (individu) atau tidak melebihi RM50,000 (syarikat atau penganjur).

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, berdasarkan rekod, kebanyakan kanak-kanak bawah 20 tahun dijangkiti Covid-19 pada tahap satu, dua dan tiga.

“Buat masa ini, tahap empat dan lima yang memerlukan seseorang itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau memerlukan bantuan pernafasan belum dikesan,” kata beliau.

Beliau berkata, seramai 82,341 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun telah dijangkiti Covid-19 sehingga minggu lalu.

“Sebanyak 19,851 kes melibatkan bayi sehingga kanak-kanak berusia empat tahun.

“Kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun sebanyak 8,237 kes dan tujuh hingga 12 tahun, sebanyak 26,851 kes manakala 13 hingga 17 tahun, sebanyak 27,402 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahannya tentang seramai 64,046 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dalam tempoh setahun lalu selain turut mengorbankan lapan petugas kesihatan termasuk dua doktor pakar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×