Pengurusan emosi bantu elak meroyan - Utusan Malaysia

Pengurusan emosi bantu elak meroyan

Risiko meroyan adalah lebih tinggi sekiranya wanita mempunyai sejarah masalah jiwa seperti kecelaruan dwipolar atau skizofrenia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Istilah meroyan dan wanita selepas bersalin memang kedengaran seperti perkara biasa untuk dibahaskan. Malah, bagi sesetengah orang sudahpun menganggap ia sebagai sesuatu yang normal dan tidak perlu dirisaukan.

Jangan begitu! Dengan keadaan yang semakin menekan sejak kehadiran pandemik Covid-19, perkara ini seharusnya tidak dipandang enteng terutamanya oleh wanita yang bakal bergelar ibu buat pertama kali kerana ia berkait rapat dengan emosi dan psikologi.

Seri mendapatkan pandangan daripada Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud bagi membincangkan pengurusan emosi terbaik buat ibu lepas bersalin.

SERI: Sejauh mana meroyan boleh membahayakan wanita dan bayi?
Sindrom ini bermula antara dua hingga 12 minggu selepas bersalin. Malangnya kesan buruknya boleh dilihat hingga bertahun-tahun kemudian. Ramai dalam kalangan wanita tidak menyedarinya dan sering beranggapan ia sebahagian daripada pengalaman normal lepas bersalin.

Gila meroyan boleh membawa bahaya bukan saja kepada ibu lepas bersalin tetapi ia turut boleh boleh membawa masalah kepada ahli keluarga, suami dan bayi.

Ibu mungkin tidak dapat menguruskan diri sendiri dan bayi dilahirkan. Ada wanita yang mengalami halusinasi dan delusi hingga mahu mencederakan diri sendiri atau bayinya.

Apakah persediaan perlu dilakukan oleh ibu bersalin sulung, dalam usaha mengurangkan risiko terkena meroyan?
Amalan gaya hidup sihat seperti dan makan makanan seimbang dan bersenam membantu tubuh kekal cergas dan sihat. Berehat secukupnya sebagai persediaan dalam menempuh tempoh berpantang. Wanita juga boleh mencari teman untuk berbincang jika berdepan sebarang masalah.

Paling penting ialah wanita harus bijak dalam menguruskan tekanan dan emosi. Sokongan ahli keluarga terutama suami sangat diperlukan dalam membantu isteri yang baru melahirkan anak.

Apakah emosi wanita penyebab meroyan? Atau ada faktor lain?
Selain faktor emosi, terdapat banyak lagi faktor-faktor lain yang mendorong kepada masalah meroyan.

Risiko untuk mengalami masalah meroyan adalah lebih tinggi sekiranya wanita mempunyai sejarah masalah jiwa seperti kecelaruan dwipolar atau skizofrenia. Malah, ada juga yang mewarisi penyakit berkenaan daripada ibu mereka sendiri.

Selain itu, ia juga berisiko berlaku semula sekiranya pernah mengalami meroyan sewaktu kelahiran sebelum ini.

Apakah kaedah rawatan awal yang boleh diberikan oleh ahli keluarga sekiranya menyedari perkara ini terjadi?
Rawatan bagi sindrom kemurungan selepas bersalin ini memerlukan sokongan dan bantuan terutama daripada suami dan ahli keluarga. Sokongan yang diberikan itu boleh berbentuk sokongan fizikal iaitu menjaga anak , melakukan kerja di rumah dan sebagainya. Bantuan dari segi emosi pula seperti memberikan nasihat dan tunjuk ajar.

Ini amat penting terutama kepada mereka yang pertama kali melahirkan anak kerana tidak semua orang mempunyai keupayaan dan kebolehan menjadi ibu yang baik dengan sekelip mata.

Adakah penyakit ini akan berakhir selepas tempoh berpantang atau boleh berlarutan sekiranya tidak dirawat?
Ya, ia boleh berlarutan hingga berbulan-bulan lamanya jika tidak dirawat dengan berkesan. Ia juga berpotensi menjadi lebih serius hingga membahayakan diri pesakit, anak yang dilahirkan serta ahli keluarga yang lain.

Apakah ada simptom awal yang boleh dikenalpasti?
Antara simptom yang dialami:

o Gangguan tidur iaitu sama ada susah untuk tidur atau tidak boleh tidur langsung.
o Perasaan gelisah, tegang atau panik tanpa sebab.
o Menangis sendirian tanpa sebab.
o Hilang selera makan dan berat badan yang menurun dengan ketara.
o Fikiran bercelaru, otak berserabut tanpa sebab atau amat keliru.

Ciri Psikotik:

* Mendengar suara-suara halus atau ghaib
* Tingkah laku yang pelik seperti bercakap, ketawa atau menangis sendirian.
* Mempunyai kepercayaan yang salah.
* Berasa seolah-olah bayi yang dilahirkan bukan milik sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN