Ar-Raudhah
Agama ini adalah nasihat, demikian sabda Rasulullah SAW seperti dalam sahih Muslim. Seorang ayah bermaksud mengajak puteranya berjalan di tengah masyarakat untuk mendidik anaknya bahawa untuk memuaskan hati semua orang dengan sikap seseorang itu amat sulit.
Justeru, berpegang kepada prinsip yang benar adalah tidak akan akan menyenangkan semua orang. Bahkan ia boleh dikatakan amat mustahil untuk dilakukan.
Apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang akan selalu ada yang mempersalahkan. Selalu saja ada yang tidak setuju.
‘Wahai puteraku! Datangkan seekor keledai kepadaku, dan mari kita berjalan bersama. Si ayah menaiki keldai dan menyuruh puteranya berjalan menuntun keldai.
Pemandangan ini menghairankan sekelompok orang yang melihatnya, mereka mengatakan: “Anak kecil itu menuntun keledai, sedang orang tuanya sedap duduk di atas keldai. Sungguh tiada belas kasihan kepada anak kecilnya.
Si ayah berkata: “Puteraku, dengarlah apa yang mereka katakan”. Lalu bertukar keadaan di mana si ayah menuntun keldai dan puteranya naik di atasnya.
Mereka melanjutkan perjalanan hingga bertemu sekelompok orang lagi. Sekumpulan orang itu berkata: “Lihatlah, anak kecil itu menaiki keldai sementara orang tuanya berjalan kaki menuntunnya. Sungguh, alangkah buruknya akhlak anak itu”.
Si ayah kemudian berkata kepada puteranya: “Anakku, dengarlah apa yang mereka katakan”.
Mereka berdua melanjutkan perjalanan. Kali ini, kedua-duanya menunggang keldai. Mereka berdua terus berjalan hingga lalu di hadapan sekelompok orang di tepi jalan.
Sekali lagi mereka mengatakan: “Dua orang itu menaiki seekor keldai padahal mereka sihat dan kuat. Mereka mampu berjalan kaki. betapa mereka tak tahu kasihan pada haiwan,” sindir salah seorang daripada mereka.
Si ayah berkata: “Lihatlah apa yang mereka katakan, wahai puteraku. Si ayah meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan caci maki orang itu.
Yang terakhir, mereka berjalan kaki bersama, sambil menuntun keldai.
Saat lalu di satu kelompok orang mereka berkata: “Subhanallah! Lihat, dua orang itu menuntun keldai bersama, padahal keldai itu sihat dan kuat. Kenapa mereka tidak menaikinya saja? Betapa bodohnya mereka”.
Si ayah berkata kepada puteranya: ”Dengarlah apa yang mereka katakan!
“Wahai anakku ketahuilah bahwa memuaskan hati semua orang adalah satu tujuan yang tidak mungkin tercapai (itu mustahil),” kata si ayah.
Kisah ini sangat masyhur kerana ramai daripada kita yang ingin menyenangkan orang di sekeliling kita, baik isteri, anak, orang tua atau rakan taulan. Ada yang mengatakan kisah ini berlaku kepada Luqman Al Hakim bersama puteranya.
Namun apa yang penting intipati daripada kisah ini berkait rapat dengan kehidupan kita seharian iaitu ingin menyenangkan orang lain.
Pada dasarnya tidak salah berbuat sesuatu kerana ingin menggembirakan seseorang. Lebih-lebih lagi orang terdekat bahkan ia perbuatan yang digalakkan seperti dalam hadis Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik perbuatan ialah menggembirakan hati seorang mukmin”.
Menggembirakan hati seseorang amat dianjurkan jika tidak dilakukan dengan cara haram atau maksiat seperti memberi hadiah daripada wang haram untuk menggembirakan si penerima hadiah.
Selain itu, kita juga tidak mengorbankan prinsip hanya untuk menyenangkan orang lain. Agama tidak menganjurkan perbuatan baik dengan cara yang tidak baik.
Pengajaran daripada cerita di atas ialah:
* Mendidik anak secara praktikal akan membawa kesan yang lebih mendalam untuk membentuk keperibadian seorang anak. Ini kerana anak akan melihat dan merasakan secara langsung apa yang diajar berbanding hanya teori.
* Menghadapi orang jahil dengan berdiam dan tidak melayaninya dengan emosi. Bak kata Imam Syafie:
Orang jahil bercakap jahil pada diriku
Aku enggan untuk menjawab kejahilannya
Ia bertambah jahil kerana sikapnya,
Namun aku bertambah mulia kerana tak melayannya
Umpama kayu gaharu tidak akan nampak bau wanginya
Melainkan ketika disentuh api membakarnya
* Menggembirakan orang lain dengan syarat tidak melangkaui batas sehingga menggadaikan prinsip. Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu menjadi ‘pak turut’ yang sering berkata : “Jika orang di sekelilingku baik nescaya akan baiklah aku, namun jika mereka zalim, aku jua menjadi zalim”. Hendaklah kamu menetapkan jiwa dan pendirianmu sehingga jika manusia baik, kamu baik bersama mereka, tetapi jika mereka buruk, maka kamu tidak menjadi buruk dan zalim (seperti mereka). (Riwayat Tirmidzi )
Menjaga adab di tempat laluan orang ramai dengan menjaga diri daripada mengganggu atau merendahkan orang yang lalu-lalang.
Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu sekalian duduk-duduk di pinggir jalan. Para sahabat berkata: “Ya Rasulullah, kami tidak ada tempat lain untuk bertemu! Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu semua merasa keberatan untuk berbuat demikian, maka hendaklah kamu memberikan hak jalan. Mereka bertanya: “Apa hak jalan itu?” Rasulullah menjawab: Memejamkan mata (tidak bermata keranjang), menahan gangguan (tidak mengganggu orang yang lalu lalang), menjawab salam, menganjurkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










