Air Sungai Kayu Ara berbuih, ikan mati - Utusan Malaysia

Air Sungai Kayu Ara berbuih, ikan mati

PEKERJA kontraktor syarikat swasta membersihkan sungai yang dipenuhi bangkai ikan di Sungai Damansara Seksyen 13, Shah Alam, semalam. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ujian yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar mendapati air Sungai Kayu Ara berhampiran struktur perangkap sampah di sini sedikit berbuih dengan bacaan oksigen terlarut dalam 4.5 miligram per liter (mg/l) semalam.

Bagaimanapun Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian ikan spe­sies bandar raya dan tilapia hitam di sepanjang lima kilometer (km) Sungai Damansara itu.

Secara umumnya kata beliau, paras minimum oksigen terlarut yang boleh menyokong pelbagai variasi hidupan akuatik adalah antara empat hingga lima mg/l dan apabila turun di bawah tiga mg/l, kebanyakan ikan akan mati.

“Melalui program pengawasan secara berkala, JAS menjalankan persampelan kualiti air sungai di lima lokasi sepanjang Sungai Damansara dan berdasarkan cerapan pada Mei lalu, pengkelasan sungai tersebut berada dalam Kelas II dan Kelas III, Standard Kualiti Air Sungai Kebangsaan,” katanya dalam ke­nyataan akhbar di sini semalam.

Menurutnya, JAS telah menyelusuri bahagian hulu dan hilir sungai dan memfokuskan kepada punca-punca pencemaran yang berpotensi dalam lingkungan 10 km daripada lokasi ikan ditemukan mati.

“Kategori diperiksa me­li­batkan beberapa buah ki­lang be­rasaskan minuman dan makanan, pusat ko­mersial, pe­le­pasan ‘storm water’ dari kawa­san peruma­han dan loji rawatan kumbahan awam,” katanya.

Menurutnya, semasa siasatan juga, dua loji rawatan kumbahan awam diperiksa dan sebanyak enam sampel pelepasan kumbahan terawat telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Kelmarin tular di media sosial apabila beberapa pengguna memuat naik gambar dan video ratusan ikan mati di sepanjang Su­ngai Damansara berdekatan TTDI Jaya sehingga kawasan kilang Seksyen 15, di sini.

Dalam perkembangan sama, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) menerusi kenyataan di laman Twitternya berkata, pasukan operasi Pejabat Operasi di Shah Alam menjalankan siasatan segera dengan me­nganalisa sampel efluen daripada beberapa asetnya di sungai berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kesemua efluen daripada loji rawatan kumbahan IWK menepati parameter yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya