PUTRAJAYA: Majlis Perubatan Malaysia (MPM) mungkin tidak mengiktiraf graduan tempatan perubatan di tujuh universiti di Mesir sekiranya gagal mematuhi syarat kelayakan minimum kemasukan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MPM), Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MPM ke-407 kelmarin selepas menerima pemakluman berhubung pengurangan tempoh pengajian melibatkan tujuh universiti terbabit.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Kesihatan berkata, pihaknya dimaklumkan tempoh pengajian perubatan di universiti terlibat dipendekkan daripada enam tahun kepada lima tahun.
“Tujuh universiti itu adalah Universiti Iskandariah, Universiti Ain Shams, Universiti Cairo, Universiti Tanta, Universiti Mansoura, Universiti Zagazig dan Universiti Al-Azhar,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Ekoran itu katanya, beberapa siri perbincangan telah diadakan antara MPM bersama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi Mesir.
“Mesyuarat MPM ke-407 telah menetapkan bahawa bagi warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran perubatan ke universiti-universiti Mesir ini wajib memenuhi syarat kelayakan minimum kemasukan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia iaitu sekurang-kurangnya lepasan matrikulasi/ asasi/ pra-universiti atau STPM/ A-Level atau lain-lain peperiksaan yang setara dengannya,” ujar beliau.
Noor Hisham berkata, mesyuarat juga bersetuju sekiranya syarat kemasukan minimum itu tidak dipenuhi, bakal graduan daripada universiti tersebut mungkin berdepan dengan masalah untuk berdaftar bersama MPM.
“Malah, MPM juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan universiti-universiti tersebut daripada senarai universiti yang diiktiraf dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara ini berlanjutan.
“Semua pihak terutamanya badan-badan pemberi biasiswa atau bantuan pendidikan perlu memastikan syarat ini dipatuhi supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan bagi pelajar untuk berdaftar dengan MPM selepas tamat pengajian,” katanya. – UTUSAN










