Masyarakat kerapkali diseru oleh sebahagian pihak yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut ulama salaf untuk meninggalkan amalan tertentu seumpama bacaan Yasin pada malam Jumaat hanya dengan alasan bahawa amalan itu tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Lalu golongan ini mendakwa amalan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW hendaklah ditolak kerana ia adalah bidaah. Bidaah adalah amalan yang diada-adakan yang tidak dilaksanakan oleh Nabi SAW.
Mereka berdalilkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim: Daripada Saidatina Aishah, beliau telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa yang telah mengada-adakan di dalam urusan kami ini (iaitu agama Islam) sesuatu (perkara) yang bukan daripada urusan kami, maka perkara tersebut adalah penolakan.
Hadis tentang bidaah
Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah di atas secara zahirnya menunjukkan bahawa kita diminta menolak segala perkara baharu yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Namun para ulama menjelaskan perkara yang diada-adakan yang ditolak adalah apabila ia bertentangan dengan kehendak syarak. Jika perkara yang diada-adakan itu tidak bercanggah dengan syarak, maka ia sebenarnya adalah dibolehkan.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Haytamiyy iaitu antara tokoh utama di dalam mazhab al-Imam al-Syafie menukilkan ucapan al-Imam al-Syafie yang bermaksud: “Apa sahaja (perbuatan) yang diada-adakan dan bercanggah dengan al-Quran atau hadis atau ijma atau athar, maka ia adalah bidaah yang sesat. (Namun) apa sahaja (perbuatan) yang diada-adakan berupa kebaikan dan ia tidak bercanggah dengan sesuatupun daripada (yang telah disebutkan) itu, maka ia adalah bidaah yang dipuji”.
Bidaah pada zaman Nabi SAW
Ada para sahabat yang mengada-adakan ibadah yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW. Namun ia tidak menjadi bidaah yang dicela kerana ia masih berada di dalam ruang lingkup keizinan syariat.
Contohnya, solat dua rakaat yang dilakukan oleh Saidina Bilal bin Robah setiap kali selesai berwuduk. Tindakan beliau ini bukanlah kerana beliau mendengar Nabi SAW meminta dibuat solat sunat selepas berwuduk sebaliknya berdasarkan kefahaman beliau terhadap arahan umum syariat yang meminta kita mendirikan solat.
Rasulullah SAW memuji tindakan beliau ini dengan menyatakan baginda telah mendengar bunyi tapak kaki Saidina Bilal dalam syurga. Ini menunjukkan tidak semestinya ibadah yang diada-adakan akan terus menjadi bidaah yang dicela oleh syariat.
Saidina Khubayb bin ‘Adiyy bin Malik al-Ansoriyy juga telah mengada-adakan solat sunat sebelum seseorang dibunuh sekalipun solat ini tidak berdalilkan sabda Rasulullah SAW.
Saidina Khubayb telah ditangkap lalu dijual di Mekah kepada keluarga al-Harith bin ‘Amir bin Nawfal bin ‘Abdu Manaf demi untuk membalas dendam. Sebabnya, Saidina Khubayb membunuh al-Harith dalam perang Badar.
Apabila tiba masa yang ditetapkan, keluarga al-Harith bin ‘Amir membawa keluar Saidina Khubayb dari Tanah Haram untuk dijatuhi hukuman bunuh. Sebelum hukuman dijalankan, Saidina Khubayb meminta waktu untuk solat dua rakaat lalu dibenarkan oleh mereka.
Akhirnya mereka membunuh Saidina Khubayb setelah beliau solat sunat dua rakaat. Para ulama telah berkata: “Khubayb adalah orang yang telah mengada-adakan dua rakaat untuk (menjadi ikutan) setiap lelaki muslim yang (dijatuhi hukuman) bunuh”.
Sekalipun tindakan Khubayb ini tidak bersumberkan perintah Rasulullah SAW, ia tidak dihukum sebagai bidaah yang ditolak oleh syariat. Ini kerana secara dasarnya Islam tidak menghalang seseorang melaksanakan solat.
Pandangan guru Imam Nawawi
Al-Imam Ibnu Hajar al-Haytamiyy berkata, antara bidaah yang dipuji menurut guru al-Imam al-Nawawi iaitu al-Imam Abu Shamah adalah sambutan hari kelahiran (maulid) Rasulullah SAW yang dilakukan saban tahun.
Ini kerana sambutan itu selain mengandungi pelbagai ibadah seperti bersedekah, melakukan kebaikan dan menzahirkan kegembiraan, ia ini juga menunjukkan penghormatan dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
Selain itu, ia juga melahirkan kesyukuran kepada Allah yang telah menjadikan Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada seluruh alam.
Menurut bekas Mufti Mesir, Prof. Dr. Aliyy Jum‘ah, hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah itu sebenarnya membahagikan bidaah kepada bidaah yang bersalahan dengan syarak (Dholalah) dan bidaah yang menepati syarak (Hasanah).
Ini kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang telah mengada-adakan di dalam urusan kami ini (iaitu agama Islam) sesuatu (perkara) yang bukan daripada urusan kami, maka perkara tersebut adalah penolakan.
Baginda SAW tidak pula bersabda: “Barang siapa yang telah mengada-adakan di dalam urusan kami akan sesuatu, maka perkara tersebut adalah penolakan”.
Ini menunjukkan bidaah yang dicela oleh Rasulullah SAW hanyalah apabila bidaah tersebut tidak menepati asas-asas syarak. Namun jika bidaah tersebut menepati asas-asas syarak, maka ia adalah bidaah yang diterima sekalipun tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Menurut Dr. Aliyy lagi, hadis Rasulullah SAW yang lain turut menunjukkan kewujudan bidaah yang dibenarkan oleh syariat.
Antaranya, hadis yang bermaksud: Sesiapa sahaja yang telah memulakan di dalam Islam dengan melakukan satu amalan yang baik, lalu perbuatan baik yang telah dimulakannya telah diamalkan [pula oleh orang lain] selepas dia [melakukannya], nescaya telah dituliskan buat orang yang memulakan seperti pahala sesiapa sahaja yang telah beramal dengan perbuatan tersebut dalam keadaan tidak berkurang sesuatu pun daripada pahala-pahala mereka. Sesiapa sahaja yang telah memulakan di dalam Islam dengan melakukan satu amalan yang buruk, lalu perbuatan buruk yang telah dimulakannya telah diamalkan [pula oleh orang lain] selepas dia [melakukannya], nescaya telah dituliskan buat orang yang memulakan seperti dosa sesiapa sahaja yang telah beramal dengan perbuatan tersebut dalam keadaan tidak berkurang sesuatu pun daripada dosa-dosa mereka. (Riwayat Muslim)
Fuqaha sebagai penentu bidaah
Apabila para ulama telah membahagikan bidaah kepada bidaah yang sesat dan bidaah yang dipuji, maka orang yang layak menentukan sesuatu bidaah itu dholalah atau hasanah adalah golongan fuqaha.
Ini kerana mereka sahajalah yang dipertanggungjawabkan mengkaji hukum bagi sebarang perbuatan manusia.
Adapun orang yang tidak sampai kepada tahap kepakaran dalam ilmu fiqh, mereka tidak boleh sewenang-wenang menyatakan bahawa sesuatu perbuatan itu bidaah hanya dengan alasan ia tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










