Wanita bukan imam dalam solat antara alasan stereotaip sering digunakan untuk menafikan hak wanita sebagai pemimpin dan mengetuai sesuatu organisasi.
Walaupun ramai ulama membenarkan wanita memimpin sekiranya mempunyai kelayakan, kebolehan, kewibawaan dan pencapaian yang tinggi dalam kerjaya mereka, alasan ‘wanita bukan imam’ digunakan bagi menafikan kepimpinan wanita.
Pengarah, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fariza Md Sham, berkata pemikiran itu sekaligus menyebabkan isu kepimpinan wanita tidak dilihat penting sekaligus ia menutup peluang dan ruang, sungguhpun mereka berkelayakan.
Katanya, walau pun kedudukan dan pencapaian wanita negara ini jauh lebih baik, tetapi penerimaan masyarakat terhadap kepimpinan wanita masih diragukan berikutan alasan ‘wanita bukan imam’.
“Islam mengangkat martabat wanita dan memuliakannya. Ini dapat dibuktikan dalam ayat-ayat al-Quran yang menyentuh secara langsung tentang wanita. Malah, ada surah khas sempena wanita iaitu surah al-Nisa’.
“Tafsiran kurang tepat tentang peranan wanita menyebabkan pemartabatan dan pengiktirafan Islam kepada kepimpinan wanita tidak diberikan sewajarnya oleh masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai isu kepimpinan wanita.
Prof. Dr. Fariza, yang dilantik sebagai sebagai pengarah sulung wanita Institut Islam Hadhari, (UKM), berkata stereotaip tentang wanita tidak sesuai menjadi pemimpin masih menebal dalam kalangan masyarakat terutama dalam bidang pengajian Islam atau agama.
“Mereka terlalu kuat berpegang kepada sesetengah pandangan ulama’ yang menafikan hak wanita untuk memimpin sesebuah organisasi. Sedangkan perbandingan itu kurang tepat, kerana tugas ketua di pejabat adalah untuk urusan pentadbiran dan pengurusan sahaja.
“Wanita tidak pernah mempunyai hasrat untuk mengambil alih tugas imam kepada makmum lelaki ketika solat walau pun dia seorang ketua di pejabatnya,” katanya.
Lelaki sukar terima pemimpin wanita
Kepimpinan wanita dikategorikan kepada tiga keadaan iaitu kepimpinan wanita dalam konteks rumah tangga semata-mata, kepimpinan dalam organisasi sama ada agensi kerajaan atau swasta dan kepimpinan wanita dalam politik atau pemerintahan negara.
Setiap satu memiliki cabaran tersendiri.
Katanya dalam masyarakat, wanita terutama yang terlibat dengan kepemimpinan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan terutama dari aspek mengubah corak pemikiran umat Islam bahawa wanita juga boleh terlibat dengan kepemimpinan sekiranya mereka berkelayakan.
“Ini kerana rata-ratanya masyarakat terutama lelaki, sukar menerima pemimpin dalam kalangan wanita, walau pun mereka berupaya, berpotensi dan mencapai kemajuan dan kejayaan di bawah kepemimpinannya,” katanya.
Kepimpinan wanita dan kesan psikologi
Menurut Prof. Dr. Fariza, walaupun daripada segi tenaga fizikal wanita tidak sama seperti lelaki, tetapi daripada aspek keperluan, fitrah, keupayaan akal dan emosi sama sahaja.
“Yang membezakan antara wanita dengan lelaki ialah daripada aspek pembahagian tugas. Wanita secara tradisi, adalah ibu dan pengurus rumahtangga. Justeru persepsi stereotaip ini sangat sukar untuk dipecahkan dalam minda masyarakat.
“Yang paling parah ialah pandangan sterotaip wanita solehah adalah yang hanya duduk di rumah mengurus anak-anak, suami dan rumahtangga. Bagi wanita yang berkerjaya seolah-olah tidak termasuk dalam golongan solehah, walau pun mereka adalah yang berilmu, berbakti kepada masyarakat dalam bidang kepakarannya serta dalam waktu yang sama mampu mengurus rumah tangga dengan baik.
“Pandangan ini sangat tidak tepat dengan ajaran Islam sebenar kerana ummu mukminun iaitu para isteri Rasulullah seperti Saiyidina Khadijah adalah seorang yang berkerjaya iaitu sebagai usahawan dan pendakwah menyebarkan Islam.
“Begitu juga Aisyah adalah pakar rujuk hadis dan pernah mengetuai pasukan perang. Jika diselusuri sejarah wanita Islam zaman kegemilangan Islam, ramai wanita mukmin yang lahir sebagai cendekiawan yang memberi sumbangan kepada masyarakat termasuk kepimpinan dan mereka adalah wanita solehah,” katanya.
Pandangan tidak adil
Pandangan stereotaip boleh memberi kesan psikologi kepada kepimpinan wanita, sama ada kesan psikologi tersebut dari aspek positif mahupun negatif.
Antara kesan psikologi negatif ialah mudah tertekan, kecewa dan kurang keyakinan diri.
Namun bagi wanita yang sentiasa positif, mereka akan jadikan cabaran itu sebagai motivasi untuk terus bekerja dengan tekun dan memperoleh pencapaian cemerlang.
“Mereka menjadi lebih berani, lebih bersemangat dan lebih matang,” katanya.
2nd lead Hormat dan hargai (grafik part ni tak buat warna pink)
Setelah diangkat sebagai pemimpin, perlukah wanita merendah diri demi menjaga hati lelaki? Prof Dr. Fariza menjelaskan wanita mempunyai ketinggian mulia, martabat dan maruah sama seperti kaum lelaki. Wanita perlu dihormati dan dihargai dalam apa jua kedudukannya sama ada sebagai ibu, isteri, anak, pekerja dan ketua di pejabat.
“Begitupun, untuk dimuliakan dan dihormati, wanita juga perlu menjaga tingkah laku dan akhlaknya. Di samping itu wanita perlu mempunyai ilmu dan kebijaksanaan. Wanita tidak perlu bersifat tidak jujur dan hipokrit dalam kehidupannya.
“Hanya sekadar untuk menjaga hati lelaki wanita tidak perlu merendahkan martabatnya sebagai seorang yang berakhlak dan bijak. Apa yg penting adalah saling menghormati dan menghargai kelebihan masing-masing,” katanya.










