Transformasi Masjid Kampung Sg. Kuali - Utusan Malaysia

Transformasi Masjid Kampung Sg. Kuali

Masjid Jamek Kampung Sungai Kuali yang terletak di Serkat kini berusia 136 tahun di Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA tahun 1885, Kampung Sungai Kuali di Serkat, Pontian, Johor dahulunya dikenali sebagai Kampung Sengkawali yang bermaksud Penyatuan Keris Bugis (Kawali). Kampung tersebut diasaskan seorang Bugis berketurunan bangsawan.

Menyingkap sejarah kampung itu, pengasasnya iaitu Penghulu Daeng Paduka Petta La Fabettah Arung La Pagalah juga tidak melupakan pembinaan masjid yang menjadi identiti kepada perkembangan syiar Islam.

Ketika itu, beliau tidak keseorangan kerana dibantu tiga lagi bangsawan Bugis iaitu Daeng Mabeilah Petta La Fabettah Arung La Pagalah; Daeng Perani Arungg’E Daeng Mattengngah To Tanchung Puraik dan Nakhoda Daeng Mabborong atau Andi Wittuing Arung La Pammana bagi membangunkan kampung itu.

Atas usaha sama mereka dengan kerjasama penduduk kampung, sebuah masjid pertama dibina pada tahun itu dengan 100 hamba kepada Penghulu Daeng Paduka Petta ditugas menyiapkan kerja-kerja pembinaannya.

Beliau yang berasal dari Paria Wajok turut mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai kos keseluruhan pembinaan masjid tersebut dan pernah menjadi imam sebelum meninggal dunia pada 1921 ketika berusia 97 tahun.

Selepas itu, masjid berusia 35 tahun itu mula mengalami proses transformasi apabila dibina pula masjid kedua pada 1921 dan bertahan sehingga 1937.

Gambar lama masjid ketiga yang masih menggunakan kayu sepenuhnya sebelum melalui proses transformasi di Masjid Jamek Kampung Sungai Kuali di Serkat, Pontian, Johor.

Masjid di tapak sama

Masjid ketiga pula dibina pada tahun 1937 dan digunakan hingga 2003 sebelum sekali lagi dibangunkan rumah ibadat itu dengan ciri-ciri moden yang bertahan sehingga ke hari ini dengan kos hampir RM1 juta.

Menurut Pengerusi Masjid Jamek Kampung Sungai Kuali, Pitah Taha, meskipun mengalami empat kali pembangunan, keempat-empat masjid tersebut masih dibangunkan di tapak yang bersebelahan sejak tahun 1885.

PITAH TAHA

Katanya, tapak masjid kedua dibina di sebelah masjid asal yang dibangunkan Daeng Paduka Petta, diikuti masjid ketiga yang terletak bersebelahan masjid tersebut.

“Hanya masjid keempat iaitu yang digunakan kariah ketika ini dibangunkan atas tapak sama dengan masjid ketiga yang mula dibina pada Disember 2003,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pitah berkata, pembinaan masjid kedua adalah berteraskan kayu yang diambil daripada masjid pertama, namun tempoh hayatnya tidak lama kerana berlaku pereputan pada bahan-bahan binaan.

Katanya, masjid ketiga pula dibina hasil derma penduduk dan hampir kesemuanya dibina dengan kayu lama yang dicampur kayu baru, sementara masjid sekarang yang dibina dengan kos RM900,000 pada 2013 dibiayai sepenuhnya kerajaan.

Menurutnya, ketika proses pembinaan masjid keempat berlaku, Surau Kampung Tengah dijadikan masjid sementara bermula Disember 2003 hingga Oktober 2004.

Berkaitan tapak masjid sekarang, ia diwakafkan secara rasmi oleh Ahmad Wahab pada 1993 bagi meneruskan kesinambungan sejarah Masjid Kampung Sungai Kuali yang wujud selama 136 tahun dari tahun 1885 hingga sekarang.

Ketua turus tentera pernah jadi imam

Selepas Penghulu Daeng Paduka Petta mula menjadi imam ketika pengoperasian masjid pertama, seorang ketua turus tentera di Sulawesi Selatan ketika menentang Belanda, Daeng Mabeilah Petta Kafitang Kafala Mammusuk dilantik untuk mengambil alih jawatan itu.

“Beliau menjadi imam selama 25 tahun mulai 1886 dan meninggal dunia pada tahun 1911 ketika usia 98 tahun. Diceritakan oleh nenek moyang kami, beliau seorang yang kebal dan mampu dilihat di mana-mana pada satu-satu masa.

“Seterusnya, jawatan imam diambil alih oleh Nongkoh Muhammad Tahir dari tahun 1911 hingga 1928 iaitu selama 17 tahun, seterusnya Senong Md. Said@ Md. Saidek pada tahun 1967 hingga 1998,” ujar Pitah.

Menurut beliau, pada tahun 1998 kerajaan mula memperkenalkan jawatan Imam 1 dan Imam 2, dengan Senong sekali lagi dilantik sebagai Imam 1 dan dibantu Imam 2, Soeb Akil.

“Seterusnya, Soeb pula berkhidmat sebagai Imam 1 selama lima tahun dari tahun 1998 hingga 2003 bersama Abdullah Md. Taib sebagai Imam 2. Abdullah kemudian meneruskan tugas sebagai Imam 1 dari tahun 2003 hingga 2009 dengan dibantu Mahmud Hussein sebagai Imam 2,” jelasnya.

Setelah itu, jawatan Imam 1 sejak tahun 2009 sehingga kini diterajui pula Ali Talib yang dibantu Mahmud Hussein selaku Imam 2 Masjid Jamek Kampung Sungai Kuali yang dikenali juga Masjid As Syakirin.

Penceramah terkenal

Sementara itu, Pitah berkata, sebagai pengerusi masjid, beliau meneruskan kesinambungan sejarah dan kecemerlangan memandangkan masjid itu dibina oleh golongan Bangsawan dari Tanah Sulawesi yang berhijrah ke Tanah Melayu.

“Dalam setahun kami akan mengadakan sekurang-kurangnya 12 program utama tidak termasuk kuliah dan tazkirah mingguan serta bulanan.

“Beberapa nama besar dijemput berceramah pada majlis Sambutan Maulidur Rasul seperti Ustaz Harryanto Rizal Rokman pada 2015, Datuk Badli Shah Alaudin pada 2017.

“Turut memberi ceramah ialah Ustaz Haslin Bollywood atau nama sebenarnya Haslin Baharim pada 2016, Ustaz Ebit Lew juga pernah hadir ke sini tiga tahun lalu selain Datuk Mohd. Kazim Elias pada tahun sama,” jelasnya.

Ustaz Ebit Liew antara yang pernah menyampaikan ceramah di masjid ini pada 2018.

Selain itu, masjid itu juga turut menganjurkan pelbagai program lain seperti program Serakal Berzanji melibatkan pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), program bertadarus 1 bulan 1 Juzuk, program Jalinan Ukhuwah 50 Tahun J’ Corp, Program Muafakat Johor dan sebagainya.

“Masjid ini juga pernah menjadi lokasi penggambaran filem pada tahun 2017 serta menjadi lokasi pelbagai program anjuran agensi serta jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada bulan puasa dan Aidilfitri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×