SOP: Raikan ruang budi bicara - Utusan Malaysia

SOP: Raikan ruang budi bicara

PEKEDAI runcit, Mansah Marjurin menunjukkan kompaun RM50,000 yang tidak mampu dibayar di kedainya di Jalan Chempaka, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA tindakan tegas yang luar biasa oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat ini mencetuskan kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan masyarakat. Memang pihak berkuasa perlu bertegas, tetapi di luar batas munasabah pada akal boleh menimbulkan masalah.

Enam pelajar kolej di Perak dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana tidak memakai pelitup muka. Pekedai runcit, penjual colek dan penjual burger di Kota Bharu dikompaun RM50,000 setiap seorang kerana berniaga lebih masa dan pengurusan sebuah masjid di Pekan, Pahang dikompaun RM10,000 kerana tidak mempamerkan QR Code (pas masuk).

Kompaun ini di luar kemampuan, malah agak mengelirukan kerana kesalahan individu dikompaun sama tinggi kesalahan oleh syarikat. Hal-hal berkaitan kompaun ini kerap dikhabarkan oleh pihak berkuasa di media dan masyarakat memahami angka-angkanya. Bagaimanapun yang berlaku adalah sebaliknya.

Adakah ini sebahagian daripada ‘penyakit’ yang datang bersama-sama pandemik yang memenjarakan kita sejak setahun lalu? Rupa-rupanya pandemik bukan sahaja bahaya untuk penyakit berkaitan penafasan tetapi juga kepada sesetengah pihak berkuasa. Mereka boleh hilang budi bicara, rasa keinsanan atau berkongsi rasa dengan keperitan manusia lain.

Malah ‘penyakit’ ini juga menjadikan sesetengah ahli masyarakat trauma dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) tanpa ada budi bicara. Sesetengahnya agak melulu memahami SOP hingga memperemehkan kebijaksanaan dan kewarasan mereka sendiri.

Dalam keadaan sebahagian besar terutama mereka yang berpendapatan kecil sangat terjejas dengan badai pandemik – hilang pekerjaan, perniagaan merosot dan kehidupan menjadi bercempera, berdepan pihak berkuasa yang tegas melulu adalah seksa yang berganda.

Ketegasan yang tidak dipimpin kewarasan dan rasa keinsanan memberikan kesan bukan sahaja kepada pesalah, malah pihak kerajaan sekali gus. Ini memberikan gambaran yang tidak elok kepada kerajaan, seolah-olah pekak dan buta terhadap masalah rakyat.

Bagaimanapun, hakikatnya berbeza sama sekali. Kerajaan sangat prihatin dengan realiti yang membelenggu rakyat. Malah sangat bertolak ansur dalam banyak perkara yang membuktikan ruang budi bicara yang sangat luas, diraikan dengan rasa keinsanan yang tinggi.

PALSU

Pertama kali membaca berita itu, banyak yang menganggap hanya sebuah berita palsu. Seperti tidak masuk akal pihak berkuasa boleh mengenakan kompaun yang sedemikian rupa. Tetapi ini bukan berita palsu. Ini bukan ‘main-main’. Ini benar-benar berlaku.

Ketika rakyat dilanda kesusahan, kini ditambah pula dengan ketakutan kerana ketegasan penguasa yang di luar garis keinsanan. Siapa pun yang berada di tempat mangsa pasti dilanda ketakutan dan trauma.

Mereka ialah ‘orang-orang kecil’ yang tidak ada keupayaan untuk bangkit menunjuk rasa. Bukan selebriti jauh sekali kluster kayangan yang dolak-daliknya berliku-liku.Tentu sahaja kita terharu dengan kata-kata pekedai runcit, “Ambillah kedai saya, saya tidak mampu membayar kompaun itu.”

Ketegasan penguasa menjalankan tugas tidak salah. Bagaimanapun, kena ingat juga bahawa yang tidak salah bukan bererti semuanya betul dalam pertimbangan yang lain yang datang beriring kuasa itu. Garis undang-undang adalah benda mati, yang menghidupkan ialah kewarasan manusia yang diberi kuasa dan tanggungjawab.

Apabila disebut kewarasan, maknanya ada timbang taranya. Ada penglibatan nilai-nilai keinsanan dalam mengurus hal-hal berkaitan manusia. Pihak berkuasa berurusan dengan manusia, bukan jentera atau robot. Maka apabila berdepan dengan manusia, budi bicaralah penghubung antara kedua-duanya.

Kita sangat percaya, kedua-dua insan malang itu – penjual colek dan pekedai runcit bertungkus lumus bekerja hingga terlanggar garis masa yang dibenarkan bukan untuk kaya. Malah tidak bermimpi pun berbuat begitu untuk kaya. Mereka hanya mengutip rezeki yang dialirkan Tuhan untuk anak-anak dan keluarga melalui pekerjaan itu.

Mereka tentunya bapa yang penyayang, bersengkang mata berjual kecil-kecilan menyara keluarga. Dalam keadaan sesetengah yang lain mencari jalan mudah untuk kaya yang salah, mereka memilih jalan susah yang direstui. Cuma salahnya terlanggar garis masa dalam undang-undang.

WARAS

Salah tetap salah. Betullah, tetapi salah yang bagaimana kerana kesalahan pun ada tahap-tahapnya dengan kayu ukurnya tinggi rendah mudarat kepada umum.

Oleh hal yang demikian, mereka boleh sahaja didenda sebagai pengajaran dan peringatan akan kesalahan yang dilakukan. Tetapi yang penting denda itu bukanlah menjadi pembunuh seluruh kehidupan selepas itu. Hal ini perlu difahami supaya dalam masa menegakkan undang-undang, ia boleh menyampaikan mesej yang membina.

Jadi, apakah matlamatnya mengenakan hukuman yang seberat itu? Kerana menjalankan tugas? Tetapi menjalankan tugas juga pentingkan kewarasan. Misalnya sejauh manakah perlakuan individu berkenaan memberikan kesan yang memudaratkan kepada manusia di sekelilingnya.

Kes yang berlaku di Kota Bharu ini tentulah tidak wajar disamakan dengan satu kes pusat hiburan di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur yang dikompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Situasi dan kemudaratannya berbeza. Tujuan juga berbeza. Pusat hiburan untuk mengaut kekayaan, manusia malang di Kota Bharu untuk meneruskan hidup.

Ketika diserbu pukul 1.30 pagi terdapat 133 pengunjung di dalam pusat hiburan itu dan semua mereka dikompaun antara RM1,500 hingga RM5,000 setiap seorang. Ini satu kesengajaan sekali gus mencabar undang-undang. Maka amat wajar diambil tindakan yang paling tegas.

Cuma agak mengelirukan, malah menimbulkan persoalan apabila pemilik gerai colek, gerai burger dan kedai runcit di Kota Bharu dikompaun sama dengan pusat hiburan yang dalamnya ada 133 pengunjung. Hal-hal yang beginilah menuntut kewarasan pihak berkuasa.

Tulisan ini tidak berhasrat memperkecil dan memperemehkan pihak berkuasa. Sumbangan mereka tidak tersukat besarnya. Ini tidak lebih teguran yang tentunya tidak ada agenda, kecuali untuk menambah baik di mana yang kurang. Menerima teguran dan mengakui kekurangan adalah sikap mereka yang berani.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×