Sheikh Abdul Fattah al-Qadhi dilahirkan pada 14 Oktober 1907. Peringkat permulaan pengajian, beliau menghafal al-Quran di Damanhur, Mesir dengan seorang guru iaitu Sheikh Ali Iyyad.
Turut mendalami ilmu tajwid dengan Sheikh Ali Iyyad dan juga Sheikh Mahmud Muhamamd Ghazal. Sejak permulaan pengajian lagi beliau menunjukkan minat yang tinggi terhadap ilmu qiraat.
Seterusnya beliau berpindah ke Kaherah untuk mengikuti pengajian di Universiti al-Azhar. Beliau berjaya menamatkan sijil al-Takhasus yang menyamai peringkat PhD ketika ini iaitu pada tahun 1355 hijrah.
Seorang murid Sheikh al-Qadhi iaitu Dr. Sya’ban Ismail berkata, gurunya adalah seorang yang mempunyai keazaman yang kuat dalam menuntut ilmu, mengkaji perihal ulama dalam semua bidang.
Sehingga beliau menjadi seorang yang amat alim dan dianggap ‘ensiklopedia’ dalam beberapa jurusan ilmu. Keazamannya ini jarang ada dalam kalangan penuntut ilmu.
Guru yang banyak memberi kesan kepada peribadi Sheikh al-Qadhi ialah Sheikh al-Azhar iaitu Sheikh Muhammad al-Khidir Husien al-Tunisie.
Sheikh al-Khidir adalah Sheikh Azhar terakhir yang menggunakan sistem pencalonan daripada para ulama. Selepas beliau, jawatan Sheikh al-Azhar dilantik oleh kerajaan Mesir.
Beliau berasal dari Tunisia tetapi berhijrah ke Syria kerana penjajah Tunisia ketika itu menjatuhkan hukum mati ke atasnya. Di Syria, beliau disambut dengan kehormatan sebagai seorang yang alim dan beliau diberi kebebasan untuk mengajar dengan seluas-luasnya.
Namun begitu penjajah masih lagi membuat bermacam cara tipu daya untuk mendapatkannya. Lantas beliau meninggalkan Syria dan pergi ke Mesir. Kealimannya menjadikan beliau dihormati dan akhirnya beliau dicalonkan oleh para ulama al-Azhar sebagai Sheikh al-Azhar.
Sheikh Khidir mempunyai ilmu yang luas dan adab yang tinggi. Sifatnya amat suka kepada penghafaz al-Quran dan memuliakan. Beliau memberi ruang yang luas kepada penghafaz al-Quran berjumpa dengannya tanpa batas waktu.
Dalam satu pertemuan dengan penghafaz al-Quran di pejabatnya, Sheikh al-Khidir menyambut dengan ucapan salam, selamat datang dan mempersilakan mereka untuk duduk. Beliau tidak duduk sehingga mereka duduk kerana memuliakan al-Quran yang ada dalam dada mereka.
Segala permintaan mereka ditunaikan iaitu menganugerahkan imbuhan bulanan untuk pelajar ilmu qiraat, anugerah kepada pelajar terbaik dan beberapa permintaan yang lain.
Sheikh al-Qadhi banyak terkesan dengan keperibadian Sheikh al-Khidir dan keilmuaannya yang tinggi. Hubungan yang amat baik ini mendorong Sheikh al-Khidir memberi peluang kepada Sheikh al-Qadhi berjumpanya sepanjang masa.
Dalam siri-siri ceramah dan pengajaran Sheikh al-Qadhi, beliau menyebut banyak pujian dan keilmuan Sheikh al-Khidir.
Selain Sheikh al-Khidir, Sheikh al-Qadhi juga menuntut ilmu tafsir daripada tokoh terkenal ketika itu iaitu Sheikh Muhammad Abdullah Dirraz.
JAWATAN PENTING
Sheikh al-Qadhi diberi amanah memegang beberapa jawatan penting seperti Ketua Jabatan Qiraat, Kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar. Pada tahun 1403 Hijrah beliau berpindah ke Universiti Islam Madinah.
Beliau adalah salah seorang yang mendirikan fakulti al-Quran di universiti tersebut pada tahun 1403 Hijrah. Pembinaan kuliah al-Quran, Universiti Islam Madinah ini mempunyai sejarahnya tersendiri.
Apabila cadangan dikemukakan kepada pengurusan universiti perlu mendirikan fakulti al-Quran di Universiti Islam Madinah kerana keperluan menjaga ilmu qiraat dan supaya dapat melahirkan ulama Qurra di Madinah, rektor ketika itu mengeluarkan arahan supaya mencari seorang yang teralim yang pakar dalam bidang qiraat ketika itu di peringkat dunia.
Ekoran itu, pencarian siapakah yang teralim dalam ilmu qiraat berjalan dan penilaian berasaskan kepada karya penulisan, sumbangan yang besar dalam ilmu qiraat dan yang berkaitan dengannya maka, akhirnya nama yang tercalon adalah Sheikh Abdul Fattah al-Qadhi.
Kealiman Sheikh al-Qadhi boleh dilihat kepada penulisannya yang kebanyakan masih menjadi rujukan dan modul pembelajaran ilmu Qiraat di pusat pengajian tinggi seperti Syubra al-Azhar, kuliah al-Quran Universiti Islam Madinah dan tempat pengajian lain sehingga ke hari ini.
Karyanya yang masyhur ialah al-Wafi syarah kepada matn al-Syatibiyyah, Idhah Syarah kepada Matn al-Durrah, al-Budur al-Zahirah dan Nafais al-Bayan Syarah al-Faraid al-Hisan dalam ilmu fawasil.
Selain itu beliau juga mengarang kitab berkaitan sejarah mushaf dan kitab qiraat mengikut kaca mata orientalis dan mulhid.
Menariknya dalam kitab sejarah Mushaf, Sheikh al-Qadhi menyebut sejarah penandaan alamat waqf (lam alif, mim, jim, sili dan qili) dalam al-Quran yang dibuat oleh Sheikh Muhammad Ali Khalaf al-Husaini semasa pemerintahan Malik Fuad pertama.
Kalimah qili berasal daripada rangkai kata yang bermakna waqf lebih aula daripada wasl (sambung). Dan waqf sili berasal daripada rangkai kata yang bermakna wasl lebih aula daripada waqf (berhenti).
Semasa cetakan mushaf ini kali kedua, Universiti al-Azhar meminta beberapa tokoh al-Quran untuk melakukan semakan penandaan waqf dan rasm al-Quran.
Mereka yang dilantik ialah Sheikh Ali Dabba’, Sheikh Muhammad Ali Najjar dan tjuga Sheikh Abdul Fattah al-Qadhi. Semakan dilakukan dengan teliti dan banyak tempat waqf dibuat pembetulan.
Namun begitu Sheikh Abdul Fattah al-Qadhi amat teliti terhadap semakan perubahan dan segala penandaan yang telah diputuskan ulama terdahulu.
Sebagai contoh berkaitan penandaan permulaan juzuk di mana terdapat beberapa juzuk yang ditanda permulaannya tetapi masih mempunyai hubungan makna dengan ayat sebelumnya.
Selepas beliau membuat kajian dan rujukan yang mendalam perkara berkaitan, beliau berjumpa Sheikh Azhar ketika itu iaitu Sheikh Mahmud Syaltut untuk mendapatkan pandangan.
Beliau menyatakan dalil dan hujah, namun Sheikh Syaltut memberi jawapan yang tuntas dengan berdalilkan pandangan Imam Malik kepada seorang khalifah yang ingin membuat pembinaan kaabah dengan bentuk yang lebih baik.
Imam Malik berkata, jika hasrat itu dilakukan maka kaabah akan menjadi bahan untuk diubahsuai para pemerintah selepasnya.
Selepas Sheikh Syaltut meninggal dunia, penggantinya ialah Sheikh Abdul Rahman al-Taj. Sheikh al-Qadhi bertanya tentang perkara yang sama untuk melihat pandangannya berkaitan penandaan yang perlu diubahsuai dalam al-Quran.
Jawapan Sheikh Abdul Rahman al-Taj adalah: “Datangkan kepada-ku 50 ulama dalam bidang fiqh, 50 ulama dalam bidang qiraat dan bidang-bidang yang lain jika mereka semua sepakat mahu buat perubahan terhadap cadang yang dikemukakan maka aku akan bersetuju”.
Mendengar jawapan tersebut maka Syeikh al-Qadhi tidak lagi meneruskan cadangannya. Ini menunjukan ketelitian beliau dalam membuat keputusan.
Sheikh al-Qadhi meninggalkan legasi sekumpulan ulama qiraat sama ada yang bertalaqi dengannya di Mesir seperti Sheikh Khalil al-Husari, Sheikh Mustafa Ismail atau di Madinah Munawarah seperti Sheikh Ali Huzaifi, Sheikh Ibrahim al-Akhdar.
Beliau juga meningalkan karya-karya yang menjadi sumber rujukan.
- PM Dr Khairul Anuar Mohamad Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM










