GELOMBANG ketiga wabak Covid-19 telah bermula di Malaysia dengan peningkatan kes harian yang agak drastik.
Kegagalan komunikasi risiko boleh dilihat sebagai salah satu sebab yang menyumbang kepada peningkatan kes harian Covid-19.
Di era pandemik Covid-19 ini, pelbagai maklumat penting perlu disalurkan oleh pihak berwajib kepada rakyat. Pelbagai bentuk maklumat berkenaan virus itu perlu disampaikan dengan secara teratur, teliti, konsisten dan tepat.
Oleh yang demikian, komunikasi maklumat berkaitan perkara berisiko atau komunikasi risiko adalah perkara asas yang perlu difahami oleh pihak berwajib dalam menguruskan risiko penyebaran virus Covid-19.
Komunikasi risiko dapat memastikan rakyat keseluruhannya memahami konteks yang sebenarnya dan secara tidak langsung dapat membantu mereka dalam membuat keputusan yang tepat.
Komunikasi risiko merangkumi dua dimensi iaitu komunikasi dalaman dan komunikasi luaran. Komunikasi dalaman merujuk kepada sesuatu situasi di mana penganalisis risiko dan pihak yang dipertanggungjawabkan dalam menguruskan risiko, berusaha untuk memahami bidang tugasan dan tanggungjawab masing-masing.
Manakala komunikasi luaran merujuk kepada penyampaian maklumat berkaitan risiko secara dua hala di antara dua pihak bagi tujuan meningkatkan pemahaman para pemegang taruh dan rakyat berkaitan dengan impak negatif berkenaan risiko dan langkah mitigasi dan peranan yang boleh dilakukan.
Dalam konteks Malaysia, komunikasi dalaman boleh ditafsirkan sebagai komunikasi yang berlaku antara pihak Kementerian Kesihatan, Kerajaan Pusat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Manakala komunikasi luaran adalah proses komunikasi harian yang berlaku antara pihak Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan orang ramai secara amnya.
CHINA
Di China contohnya, proses komunikasi berkaitan risiko jangkitan virus Covid-19 ini telah bermula seawal 27 Disember 2019 apabila kes pertama jangkitan dikesan di Wuhan. Bagaimanapun, proses komunikasi ketika itu dianggap oleh para pengkritik di sana sebagai tidak begitu berkesan pada awalnya kerana pendekatan yang diambil oleh kerajaan adalah tidak bersifat telus dan tidak menyeluruh.
Walaupun begitu, kajian yang dilakukan selepas itu oleh para ahli akademik di China merumuskan bahawa pendekatan yang diambil oleh pihak kerajaan China dalam menyampaikan maklumat berkaitan risiko Covid-19 dilihat lebih berkesan setelah melepasi tempoh awal jangkitan itu di Wuhan.
Oleh itu, pendekatan yang diambil oleh kerajaan China dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai berkaitan risiko jangkitan dilihat semakin berkesan dan kejayaan mereka dalam mengawal penyebaran virus Covid-19 ini adalah hasil daripada implementasi beberapa aspek penting dalam komunikasi risiko seperti berikut. Pertama, segala butiran penting berkaitan dengan risiko jangkitan Covid-19 ini diterapkan bersama dalam hal ehwal penggubalan polisi semasa kerajaan.
Kedua, menganggap risiko komunikasi berkaitan Covid-19 ini sebagai satu proses yang dinamik. Ketiga, memastikan semua komunikasi risiko berkaitan Covid-19 adalah bersesuaian dengan budaya masyarakat setempat. Keempat, komunikasi risiko mengambil kira kapasiti orang ramai yang berbeza dari segi pemahaman berkenaan fakta yang bersifat saintifik dan teknikal. Kelima, mengadakan dialog bersama orang ramai.
Keenam, memastikan hanya maklumat yang tepat dan sahih sahaja mengenai risiko virus Covid-19 ini dikomunikasikan kepada orang ramai dengan proses tapisan maklumat yang ketat. Ketujuh, memastikan penyebaran maklumat berkaitan risiko jangkitan Covid-19 itu sendiri dapat diterima oleh orang ramai melalui pelbagai saluran maklumat. Kelapan, mewujudkan koordinasi antara pelbagai agensi dalam penyebaran maklumat berkaitan risiko jangkitan Covid-19.
KRITIKAL
Berdasarkan kajian lepas, secara asasnya terdapat empat faktor kritikal yang berkaitan dengan proses komunikasi risiko yang berkesan dalam konteks pengurusan hal ehwal kesihatan awam iaitu faktor kepercayaan orang ramai terhadap penyampai maklumat, faktor isi kandung maklumat risiko yang hendak disampaikan, faktor pemilihan saluran untuk berkomunikasi dan faktor yang berkaitan dengan persepsi orang ramai terhadap risiko itu sendiri.
Di dalam konteks Malaysia, faktor kepercayaan dan persepsi orang ramai terhadap risiko merupakan dua cabaran utama yang perlu ditangani oleh pihak kerajaan.
Masih ada yang tidak mempercayai kewujudan virus Covid-19 ini sehingga ke satu tahap yang menyebabkan mereka ini tidak menganggap pengambilan vaksin itu sebagai sesuatu yang penting dan juga memandang remeh protokol mitigasi seperti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Kesimpulannya, pihak kerajaan perlu terus berusaha memastikan komunikasi risiko yang lebih konsisten, teratur dan efektif dengan mengambil kira dua faktor utama iaitu kepercayaan dan persepsi risiko sebagai cabaran utama yang perlu ditangani dalam usaha kerajaan membasmi penularan wabak Covid-19 di negara ini.
DR. Rosmi Yuhasni Mohamed Yusuf ialah Pensyarah Kanan Pengurusan Risiko, Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Puncak Alam.










