MASIH ingat dengan April 2020. Ketika itu negara tetangga kita di selatan, Singapura menyesal kerana tidak mengisytiharkan lockdown (mereka panggil circuit breaker) bermula 7 April.
Tapi sudah terlambat. Kes Covid-19 di republik itu menjadi tidak terkawal. Pada April itu mereka menerima 287 kes positif – lebih tinggi daripada kadar harian paling buruk negara ini.
Pada 15 Oktober 2020, ruangan komentar laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang merujuk Malaysia memaparkan tajuk: “Sebuah negara bersatu mendepani pandemik”.
Wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr. Ying-Ru Jacqueline Lo menyifatkan keupayaan besar Malaysia dalam kesiapsiagaan dan tindak balas mendepani wabak membantu mewujudkan asas yang stabil bagi tindak balas terhadap pandemik Covid-19.
Kata Dr. Lo lagi, infrastruktur dan tenaga kerja terlatih untuk menawarkan jagaan kesihatan berkualiti tinggi yang dimiliki negara ini turut menyumbang kepada perkara itu.
MENCEMBURUI
Di seberang Selat Melaka sana, Indonesia, juga sekitar April 2020, kebanyakan rakyatnya mencemburui keprihatinan kerajaan kita membantu rakyat ‘berperang’ bersama Covid-19.
Langkah-langkah diambil Kuala Lumpur, kata mereka, menyebabkan rakyat Malaysia tidak panik dan kelam kabut menghadapi bencana sebegini besar.
Netizen mereka melontarkan: “Enak banget jadi orang Malaysia ya. Kenapa orang Sumatera dulu milih gabung Indonesia…? Padahal mayoritas etnis Sumatera sama-sama Melayu padahal,” luah Prabu Ranga Susana.
Seorang netizen, Marini Ooi yang bekerja di negara ini turut meluahkan perasaannya dalam media sosial:
“Nasib rakyat kecil di negeri tercintaku Indonesia bagai buah si mala kama. Keluar mati, tinggal di rumah juga mati.
“Tiada bantuan kewangan. Orang yang ekonomi ke bawah yang penghasilan dari buruh, ngojeng, jualan di jalan semua mereka macam mana mau hidup. Negeri ku yang kaya tapi rakyat hidupnya susah nasib mereka tidak terbela.
“Salut dengan Malaysia walaupun tidak sebesar Indonesia dan tak punya sumber daya alam yang banyak seperti Indonesia tapi kebajikan dan hak rakyatnya dijamin.”
Di sebelah Eropah sana, seorang netizen dari negara ini melayangkan April tahun lepas juga:
“Itali merupakan Juara World Cup sebanyak 4 kali. Itali adalah pusat rujukan fesyen dari seluruh dunia.
“Itali – pengeluar jentera jalan raya paling hebat di dunia seperti Ducati, Ferrari, Lamborghini dan Maserati.
“Itali lah yang memulakan era Renaissance, seterusnya mengubah haluan sejarah Eropah dan dunia amnya.
“Itali secara literal adalah The Great Roman Empire yang pernah menerajui ketamadunan manusia hampir 1,000 tahun lamanya.
“Tapi, pada era moden, sebagai salah sebuah negara maju di Eropah, kita (di Malaysia) terkejut dengan situasi Covid yang tidak terkawal di Itali. Kalau terus degil buat kepala tak mendengar kata, maka tunggulah lagi besar bencana tiba.”
Apa yang diungkapkan oleh netizen itu akhirnya benar seperti yang dikata.
TABIAT
Selepas setahun berlalu sejak April 2020, kes Covid-19 negara ini mencanak melebihi 4,000 kes sehari – luar biasa dan mengejutkan, padahal tahun lepas angkanya cuma puluh dan ratus sehari. Malah ada satu hari itu, sifar (kosong).
Bahkan kini muncul pula kes sporadik iaitu tiada punca jangkitan atau tidak diketahui puncanya. Membimbangkan, ada kelibat varian-varian baharu dari India (B.1.617) dan Afrika Selatan (varian B.1.351) yang ganas dan boleh mencetuskan jangkitan lebih tinggi. Itu belum lagi varian United Kingdom dan Brazil.
Tolonglah bantu diri sendiri dan negara, dengan ubah tabiat hidup kita. Perketatkan prosedur operasi standard (SOP) keluarga masing-masing. Pakai pelitup muka itu dengan betul. Kemaskan, pastikan sarung bukan bawah hidung.
Dr. Maxwell Maltz dalam bukunya Psycho-Cybernetics menyatakan, sesuatu tabiat itu dapat dibentuk ataupun dimusnahkan dalam masa 21 hari secara berterusan.
Apabila kita melakukan satu perkara yang sama berulang-ulang, ia akan menjadi amalan dan tabiat.
Bersyukurlah kita lahir di negara yang masih peduli rakyatnya. Ziarah dari rumah ke rumah sempena Aidilfitri 1 Syawal, Khamis lalu jika tidak dilarang, tak tahulah nasib kita. Sedangkan setelah dikuatkuasakan pun Covid-19 masih mencanak melepasi 4,000 kes.
Saya petik kata kata seorang netizen Itali tahun lepas:
“We lost control of the epidemic. We died physically and mentally, we don’t know what to do anymore. All solutions on earth have ended. The only solution is to the sky”.
Malaysia mesti menang perang ini!











