Kek buah kak Za tak kedekut buah, tahan lama - Utusan Malaysia

Kek buah kak Za tak kedekut buah, tahan lama

Hasil kerja Rosniza Said boleh dilihat di IG kek panas dari oven.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kek tradisional seperti kek buah dan sarang semut, memiliki kumpulan peminat tersendiri, lebih-lebih di Aidilfitri.

Sekiranya dibandingkan dengan kek moden, kek tradisional ini memiliki rasa tidak berlebih-lebihan menjadikan tidak muak menjamahnya.

Malah kalau betul aspek penyimpannya, ia boleh bertahan hingga berbulan-bulan.

Pengusaha kek tradisional, Rosniza Said, 52 berkata permintaan kek buah dan sarang semut dihasilkkannya mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya kaedah memasak dalam kuantiti kecil, suatu kelebihan kepada produknya kerana kandungan buah-buahanya dalamnya sekata.

“Kalau masak sekali banyak dalam loyang besar, saya khuatir ada kek yang banyak buah dan ada yang sedikit. Walaupun cara ini lebih mengambil masa tetapi saya dan pelanggan sukakan cara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang mesra dipanggil Kak Za, memanfaatkan platform media sosial Instagram kek panas dari oven untuk mempromosi hasil air tangannya itu.

Rosniza berkata, menjadikan kek tradisional sebagai sumber pendapatan bermula secara tidak sengaja sejak tujuh lalu, pada usianya 45 tahun.

“Seorang rakan meminta saya membuatkan kek chocolate moist. Saya memberitahunya tidak tahu membuat kek malah nak hidupkan ketuhar pun tak berani sebab takut meletup.

“Siapa sangka perkara tidak dirancang untuk akhirnya menjadi sumber pendapatan,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata ini mengimbau kenangan.

Kata pepatah mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Bakat memasak diwarisi ibunya yang meniaga kuih di sekitar bandar Temerloh. Rutin kanak-kanak dipenuhi membantu ibu membuat kuih seawal jam empat pagi.

SEMANGAT
Begitupun laluan berjaya tidak semudah disangka. Selepas bersemangat membuat kek sementelah kek chocolate moist dihasilkan sebelum itu menjadi, Rosniza menghadapi dilema apabila kebanyakan kejiranannya turut membuat kek, tetapi jenis kek moden.

Mahu tampil berbeza, Rosniza memberanikan diri membuat kek tradisional, kebetulan dirinya memang penggemar kek buah dan kek sarang semut.

“Masalah waktu itu saya tidak memiliki resepi. Saya rujuk internet, belajar dengan guru. Malah melakukan banyak kali percubaan. Berpuluh kek masuk ke tong sampah, sebelum mendapat ramuan yang benar-benar serasi dengan selera saya,” katanya.

Berkat kesabaran dan usaha tanpa jemu, akhirnya resipinya mendapat permintaan ramai.

“Pelanggan berpuas hati. Mereka beritahu kek Kak Za tidak kedekut buah tetapi tidak manis sangat,” katanya yang pernah menerima tempahan sehingga 100 biji kek sebulan.

Namun beliau akur, pandemik menyebabkan pengguna kini lebih berhati-hati dalam berbelanja.

“Bagi wanita yang ingin berjinak-jinak dalam dunia masakan dan pembuatan kek, nasihat saya tekun dan tidak putus asa. Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

“Hingga kini saya masih belajar. Bila masuk ke kelas, kita akan dapati bahawa banyak ilmu baharu termasuk tips yang boleh kita praktikkan dalam poduk kita,” katanya.

Istimewa musim perayaan Rosniza masih terus menerima tempahan kerana sajian pemanis mulut itu bukan sahaja dimakan di Aidilfitri tetapi untuk majlis rumah terbuka kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×