Setiap kali tiba musim perayaan, pastinya ada penyakit menyerang terutama dalam kalangan individu yang tidak menitikberatkan aspek kesihatan.
Ini kerana sesetengah daripada kita menganggap musim perayaan adalah masa melepaskan geram, menikmati pelbagai jenis makanan enak disediakan.
Sedangkan aspek kesihatan mesti dijaga dengan baik tanpa mengira masa. Ia tidak boleh diambil sambil lewa pada bulan tertentu. Sebabnya ia boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri.

Menurut Ketua Jabatan Kecemasan, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr. Mohammed Ridzuan Abdul Razak, pada waktu perayaan, jabatan kecemasan di hospital seluruh negara akan dibanjiri dengan pelbagai kes sehingga membuatkan kakitangan dan pakar perubatan tidak menang tangan.
“Selain daripada kes kemalangan, kebanyakan pesakit datang ke bahagian kecemasan mengalami sakit perut seperti gastrik dan cirit-birit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Dr. Mohammed Ridzuan, bagi mengelakkan masalah kesihatan berkaitan makanan, antara perkara perlu diberi perhatian adalah keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.
Katanya, setiap sajian diambil haruslah pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit dengan penyakit kronik bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.
“Kita tidak menghalang pesakit mahupun golongan yang sihat menikmati juadah, tetapi perlulah bijak memilih jenis dan kuantiti hidangan.
“Kurangkan pengambilan sajian manis, berlemak dan masin contohnya air berkarbonat atau kordial, kuih-muih manis dan lauk pauk yang mengandungi kandungan santan dan minyak yang tinggi,” jelasnya.
CEGAH KERACUNAN
Dr. Mohammed Ridzuan memberitahu keracunan makanan ialah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar.
Situasi berkenaan menyebabkan individu mengalami gejala cirit-birit, muntah dan sakit perut.
Dalam kes serius, ia juga boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal.
Antara sebab terjadinya keracunan makanan ialah makanan ditinggalkan pada suhu bilik untuk tempoh yang lama, makanan tidak dimasak dengan sempurna, makanan tidak disimpan dengan baik dan tidak dipanaskan dengan sempurna dan amalan pengendalian makanan yang tidak bersih,” katanya.
Justeru beliau menasihati orang ramai supaya memastikan makanan dan minuman diambil adalah bersih dan bebas kuman.
“Jangan terlalu gelojoh tanpa memikirkan aspek kebersihan,” katanya.
STOK UBAT
Sementara itu, beliau menyarankan pesakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung, asma dan lain-lain hendaklah memastikan semua ubat diperlukan ketika cuti perayaan mencukupi.
“Jika kehabisan stok, sila ambil atau sambung terus ubat-ubatan di klinik dan pastikan ia mencukupi.
“Bagi pesakit diabetes, jangan tinggalkan rumah selagi ubat-ubatan diperlukan tidak dibawa bersama. Ambil ubat mengikut aturan dan arahan daripada doktor,” katanya.
Tambah Dr. Mohammed Ridzuan, pesakit diabetes dinasihatkan untuk mengelak daripada menjamah makanan dengan kadar gula tinggi.
Bagi pesakit darah tinggi pula, elakkan daripada makan makanan yang masin (tinggi kandungan garam) dan berkolestrol tinggi.
PATUHI SOP
Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dipatuhi jika mahu menziarahi ahli keluarga terdekat dalam daerah yang sama pada Aidilfitri.
Dr. Mohammed Ridzuan berkata, kepatuhan orang ramai kepada SOP dikeluarkan Kementerian Kesihatan adalah penting dalam aktiviti kunjung-mengunjung.
“Yang penting, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, kerap cuci tangan, pakai topeng muka serta mengelakkan perhimpunan.
“Individu yang ada demam atau selesema tidak sepatutnya bergaul dengan orang lain,” katanya.
Beliau menegaskan, kepatuhan kepada SOP itu yang paling penting, bukannya angka 15 atau 20 orang, seperti ditetapkan kementerian.
“Kita perlukan kerjasama daripada semua supaya kebolehjangkitan Covid-19 dapat diturunkan,” katanya.
SIMPTOM:
Boleh bermula beberapa jam hingga beberapa hari selepas makan. Antara tandanya:
* Loya
* Muntah
* Cirit-birit atau cirit-birit berdarah
* Kesakitan dan kekejangan perut
* Demam










