Mencari busana moden dan dramatik, koleksi Into The Light daripada Larney mungkin pilihan terbaik untuk anda gayakan Aidilfitri ini.
Walaupun terpaksa menempuh dugaan beraya ketika pandemik waktu ini, tiada salahnya untuk kelihatan cantik bergaya di hari kemenangan umat Islam ini.
Menurut Pengasas Larney, Zura Zabidi, koleksi itu dibahagikan kepada dua segmen iaitu rekaan baharu dengan siluet segar, manakala rekaan popular membawa semula rona baharu untuk koleksi sedia ada.
Sebagai contoh, rekaan Lockdown Kurung, diberi nafas baharu dan dinamakan Lockdown 2.0 Kurung.
“Ada 20 helai rekaan baharu terdiri daripada rekaan santai serta mudah seperti kaftan dan kurung Kedah, sehinggalah ke rekaan lebih dramatik dan moden seperti Tulle Mini Kurung yang sememangnya sinonim dengan jenama ini,” katanya.
Jelas beliau, koleksi itu cuba menampilkan mesej lebih sarat dengan tema optimis dan harapan untuk masa depan lebih bersinar.
Masih mengekalkan estetika Larney yang terkenal dengan sentuhan kewanitaan dan anggun, jenama tempatan ini turut menamakan setiap rekaannya dengan nama-nama penuh berinspirasi seperti Recover Lace Kurung, Rebirth Caftan, Relive Lace Kebaya, Recreate Kurung Kedah, Rebalance Pareo Kurung dan Revamp Puffed Kurung.
“Ia bagaikan pesanan penuh harapan kami kepada semua dalam menempuh kegelapan. Di kala kita mulai menemui sinar harapan, adalah penting terus mengekalkan sifat positif yang membawa kita pada fasa ketika ini. Saya yakin mesej positif disampaikan di sebalik setiap koleksi Aidilfitri kali ini dapat diterima baik oleh orang ramai,” katanya.
Pelbagai fabrik terdiri daripada sutera satin, kain kapas sehinggalah kemasan renda dan sulaman ada koleksi ini. Semuanya adalah hasil cita rasa Zura bagi menepati selera penggemar setia jenama itu.

Dalam pada itu, Zura turut memperkenalkan dua jelitawan versatil, Deborah Henry dan Fyza Kadir bagi mewakili ‘jiwa’ koleksi Into The Light.
“Pemilihan jelitawan ini adalah kerana mereka memiliki keyakinan tinggi, berjaya menyeimbangkan kerjaya dan peribadi dengan begitu baik.
“Saya amat mengagumi kekuatan, kesabaran dan ketabahan mereka dalam menempuh cabaran hidup,” katanya.
Koleksi berkenaan boleh didapati pada harga bermula RM379 hingga RM689.










