EAST RUTHERFORD: Neymar memberi bayangan bahawa karier antarabangsanya bersama Brazil mungkin telah berakhir selepas pasukan itu disingkirkan oleh Norway di pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026.
Pada perlawanan tersebut di Stadium MetLife, Neymar yang dimasukkan sebagai pemain gantian lewat perlawanan berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
Namun, jaringan itu hanya sekadar gol sagu hati selepas Erling Haaland meledak dua gol untuk membantu Norway menewaskan Brazil 2-1.
Pemain berusia 34 tahun itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil.
Ironinya, dia turut menjaringkan gol antarabangsa pertamanya di stadium yang sama ketika Brazil menewaskan Amerika Syarikat (AS) 2-0 pada tahun 2010.
“Saya sudah mencuba dan terus mencuba. Kini semuanya berakhir. Ia bermula di sini dan berakhir di sini,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada wartawan Globo Esporte selepas perlawanan.
Selepas wisel penamat, Neymar dilihat rebah dalam tangisan dan ditenangkan oleh rakan sepasukan, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya bersama skuad Selecao.
Difahamkan, pemain yang pernah beraksi bersama Barcelona dan Paris Saint-Germain itu kembali ke kelab asalnya, Santos selepas berdepan pelbagai masalah kecederaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Neymar juga menjadi antara pilihan mengejut dalam skuad Brazil kendalian Carlo Ancelotti bagi saingan Piala Dunia kali ini.
Kecederaan menyaksikan Neymar terlepas dua perlawanan awal peringkat kumpulan, namun dia sempat beraksi ketika Brazil menewaskan Scotland 3-0 di Miami.
Perlawanan tersebut merupakan penampilan antarabangsa pertamanya sejak Oktober 2023 dan juga satu-satunya aksi dia di AS sebelum perlawanan menentang Norway yang menyaksikan Brazil tersingkir dari kejohanan. – AFP










