Angka bukan ‘wahyu’ politik - Utusan Malaysia

Angka bukan ‘wahyu’ politik

TERNYATA ramai dalam kalangan kita sudah tidak ambil peduli terhadap ancaman Covid-19. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INGAT lagi ketika negara kita mula-mula diserang pandemik Covid-19? Ada segelintir dalam kalangan kita yang tidak percayakannya. Sekitar Januari dan Februari 2020, tiada sebarang tindakan serius diambil oleh sesiapa bagi menjauhkan diri daripada dikunjungi Covid-19.

Sehinggalah kerajaan memperkenal dan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, barulah masing-masing terasa janggal, takut dan tidak tentu arah.

Hendak keluar dari kawasan rumah pun kita cukup berwaspada dan berhati-hati pada waktu itu. Pelitup muka sentiasa dipakai seperti mana kita memakai baju dan seluar. Cecair sanitasi sentiasa habis dek kerana kerap betul kita mencuci tangan.

Namun selepas kerajaan melonggarkan penguatkuasaan dan membuka sektor ekonomi sedikit demi sedikit, kadar pematuhan kita terhadap prosedur operasi standard (SOP) kian kendur.

Selepas lebih setahun kita berhadapan dengan virus tidak nampak ini, ternyata jelas sekali ramai dalam kalangan kita sudah tidak ambil peduli terhadap ancaman Covid-19.

Lebih memilukan, ada yang menganggap Covid-19 sekadar rekaan dan bermotifkan teori-teori tertentu.

Sebenarnya trend dan pemikiran yang menganggap SOP sekadar perkara remeh amat membimbangkan para petugas kesihatan.

Menurut seorang rakan yang merupakan pengamal perubatan di negara ini, dia masih percaya ramai rakyat Malaysia yang belum faham tentang seriusnya situasi dihadapi perkhidmatan kesihatan dalam melawan pandemik ini.

KECEWA

Mereka juga terasa hati dan kecewa apabila ada segelintir daripada kita menganggap angka-angka kes harian yang dilaporkan itu boleh diubah suai atau direka mengikut ‘wahyu’ politik sesetengah pihak.

Sedangkan yang bertungkus lumus siang hingga malam sampai masuk waktu subuh ialah golongan penjawat awam kesihatan, keselamatan dan ketenteraman awam kita.

Jika kita beranggapan kes-kes harian yang dilaporkan itu sekadar manipulasi data, maka kita telah menghancurkan semangat juang para petugas barisan hadapan.

Terkini ramai yang kecewa dan marah kerana tidak dapat rentas negeri untuk pulang berhari raya.

Walhal tidakkah kita sedar, mereka yang menguatkuasakan undang-undang juga turut tidak boleh pulang berhari raya?

Tetapi demi menjaga kemaslahatan lebih besar, mereka tidak dapat pulang juga, sama seperti kita.

Oleh itu, sekarang adalah waktu kita berganding bahu sesama sendiri bagi memutuskan rantaian penularan virus maut ini agar kita dapat pulang berhari raya pada tahun hadapan dengan selesa.

Berdoalah agar suatu hari nanti kita sudah tidak perlu mengekalkan jarak satu meter antara kita, tidak perlu lagi memakai pelitup muka dan tidak perlu lagi disekat untuk ke sana sini.

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×