Perundangan faraid dalam Islam menetapkan terma-terma tertentu berkaitan waris kepada si mati. Tiga terma yang sangat berkait rapat dengan waris ialah ashab al-furud, ‘asabah dan dhawi al-arham.
Kepentingan memahami tentang penarafan waris faraid ini bagi menunjukkan keunikan ilmu faraid dalam Islam yang sangat teliti dalam sudut hukum pensyariatan dan agihan yang dibuat bagi setiap kes kematian.
Dua terma waris yang pertama iaitu waris ashab al-furud dan ‘asabah merupakan golongan yang disepakati untuk mendapat faraid jika berlaku kematian dalam sesebuah keluarga.
Kategori ketiga iaitu waris dhawi al-arham merupakan golongan yang diperselisihkan antara mazhab fiqh.
Waris ashab al-furud adalah kelompok pertama yang perlu diselidiki dalam senarai semak waris si mati.
Golongan waris ini merujuk kepada mereka yang mewarisi bahagian tetap secara pecahan daripada harta pusaka si mati.
Terma ashab al-furud berasal daripada bahasa arab yang terdiri daripada dua perkataan iaitu ashab dan al-furud. Ashab bermaksud ahli atau orang. Al-furud bermaksud bahagian yang tetap.
Dari sudut istilah ilmu faraid, waris ashab al-furud ialah ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.
Bahagian yang ditetapkan melalui hukum faraid ialah berdasarkan enam pecahan utama iaitu satu perdua (1/2), satu perempat (1/4), satu perlapan (1/8), dua pertiga (2/3), satu pertiga (1/3) dan satu perenam (1/6).
Sejumlah 12 waris ashab al-furud iaitu empat orang lelaki dan lapan orang perempuan akan mewarisi setiap pecahan faraid mengikut syarat dan situasi yang ditetapkan oleh syarak.
Ringkasan formula pecahan faraid kepada setiap waris ashab al-furud adalah seperti Jadual 1.

WARIS LELAKI
Empat waris ashab al-furud dalam kalangan lelaki ialah suami, saudara lelaki seibu, bapa dan datuk. Suami berhubung dengan si mati disebabkan ikatan perkahwinan. Tiga yang lain pula berhubung dengan si mati melalui hubungan nasab kekeluargaan.
Dari sudut bahagian faraid pula, suami dan saudara lelaki seibu hanya memperolehi harta pusaka melalui pecahan yang ditetapkan sahaja. Namun bapa dan datuk mempunyai sedikit keunikan kerana mempunyai dua status iaitu kombinasi sebagai waris ashab al-furud dan ‘asabah mengikut kondisi masing-masing.
Suami kepada si mati (isterinya) memperolehi dua bahagian faraid iaitu 1/2 atau 1/4. Suami si mati akan mendapat 1/2 apabila isterinya meninggal dunia dan tidak meninggalkan sebarang zuriat iaitu anak atau cucu daripada anak lelaki dan ke bawah.
Suami akan dapat 1/4 apabila isterinya yang meninggal dunia meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki dan ke bawah.
Saudara lelaki seibu iaitu adik beradik lelaki satu ibu dengan si mati akan memperolehi dua bahagian faraid iaitu 1/6 dan 1/3.
Saudara lelaki seibu akan memperolehi 1/6 apabila bilangannya seorang sahaja dan mewarisi jika si mati (saudara seibunya) tiada anak lelaki atau anak perempuan, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki, bapa atau datuk.
Satu pertiga akan diwarisi oleh saudara lelaki seibu apabila bilangan mereka dua orang atau lebih dan saudara seibunya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, bapa, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki atau datuk.
Namun, saudara lelaki seibu akan terdinding jika syarat sebelum ini ada iaitu wujudnya anak lelaki atau anak perempuan, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki, bapa atau datuk kepada si mati (saudara seibunya).
Bapa si mati mendapat 1/6 jika si mati meninggalkan keturunan lelaki dan ke bawah (iaitu cucu atau cicit ke bawah kepada bapa tersebut).
Bahagian bapa secara lebihan baki pula akan diperoleh oleh bapa apabila anaknya yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat sama ada lelaki atau perempuan.
Adapun dua kombinasi iaitu 1/6 dan ‘asabah secara serentak akan diberi kepada bapa jika si mati meninggalkan zuriat perempuan.
Datuk akan mewarisi faraid sama seperti bahagian bapa iaitu 1/6 atau 1/6 bercampur ‘asabah atau menerima ‘asabah sahaja menyerupai syarat yang diperolehi oleh bapa. Tiga bahagian ini akan diperolehi oleh datuk dengan syarat bapa kepada si mati sudah tidak wujud.
Selain itu, datuk ada pengiraan tersendiri terutama ketika bersama adik-beradik si mati.
Para fuqaha’ berbeza pandangan sama ada datuk berkuasa menghijab saudara si mati (adik-beradiknya) daripada mewarisi harta pusaka sebagaimana kuasa bapa, atau datuk akan mewarisi secara bersama dengan mereka dalam situasi tersebut.

WARIS PEREMPUAN
Lapan waris ashab al-furud dalam kalangan perempuan ialah isteri, ibu, nenek, anak perempuan, cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara perempuan seibu. Isteri berhubung dengan si mati disebabkan ikatan perkahwinan.
Sementara, tujuh yang lain pula berhubung dengan si mati melalui hubungan nasab kekeluargaan. Bagi waris perempuan ini, terdapat empat orang yang mempunyai keunikan untuk mendapat faraid sebagai waris ashab al-furud dan ‘asabah. Mereka ialah anak perempuan, cucu perempuan, saudara perempuan kandung dan saudara perempuan sebapa.
Isteri dapat dua bahagian faraid iaitu 1/4 atau 1/8. Isteri si mati mewarisi 1/4 jika suaminya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau perempuan, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki.
Sejumlah 1/8 akan diberi jika suaminya yang meninggal dunia turut meninggalkan zuriat (furu’) sama ada anak lelaki atau perempuan, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki.
Bahagian faraid kepada ibu si mati terdiri daripada dua yang utama iaitu 1/3 atau 1/6. Satu pertiga diberi kepada ibu ketika si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah (far’ warith) atau tidak meninggalkan lebih daripada seorang saudara lelaki atau perempuan sama ada adik beradik kandung, sebapa atau seibu.
Bahagian dikurangkan kepada 1/6 apabila syarat yang diperolehi berlawanan dengan situasi sebelumnya iaitu si mati meninggalkan keturunan ke bawah atau mempunyai lebih seorang adik beradik.
Nenek mendapat satu bahagian faraid sahaja iaitu sebanyak 1/6 ketika bersendirian atau ramai, di mana mereka akan berkongsi antara mereka iaitu apabila penghubungnya dengan si mati tidak wujud. Penghubung yang dimaksudkan ialah ibu dan bapa.
Ibu si mati (kedua-dua belah pihak) menyebabkan nenek tidak mewarisi kerana nenek ialah pengganti ibu. Begitu juga bapa akan mendinding nenek di sebelah bapa. Nenek sebelah ibu tidak akan terhijab dengan kewujudan bapa. Jika penghubung ini masih hidup, maka nenek tidak akan mewarisi faraid.
Anak perempuan mendapat dua bahagian faraid iaitu 1/2 atau 2/3. Satu perdua diberi kepada anak perempuan jika bilangannya seorang dan si mati iaitu bapa atau ibunya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan yang lain.
Namun jika bilangan anak perempuan si mati melebihi seorang maka mereka layak mewarisi dua pertiga. Seperti yang disebut sebelum ini, status anak perempuan boleh bertukar menjadi waris ‘asabah ketika si mati (ibu atau bapanya) meninggalkan anak lelaki.
Oleh itu, keturunan si mati akan memperolehi pusaka secara bersama dengan nisbah mereka ialah anak perempuan akan mendapat satu bahagian dan anak lelaki mendapat dua bahagian.
Cucu perempuan iaitu anak perempuan kepada anak lelaki dan ke bawah layak mewarisi tiga bahagian faraid iaitu 1/2, 2/3 dan 1/6. Cucu perempuan pula mendapat 1/2 jika bilangannya seorang dan datuk atau neneknya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki daripada anak lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki lebih daripada seorang.
Sementara 2/3 diberi kepada cucu perempuan apabila bilangan mereka melebihi seorang dan tiada bersamanya anak lelaki, dua atau lebih anak perempuan atau cucu lelaki daripada anak lelaki.
Satu perenam pula diwarisi oleh cucu perempuan ketika bersama seorang anak perempuan si mati dan tiada bersama mereka anak lelaki atau dua orang anak perempuan. Seperti anak perempuan, cucu perempuan juga boleh berubah status menjadi waris ‘asabah jika bersamanya cucu lelaki kepada si mati.
Saudara perempuan kandung iaitu adik-beradik perempuan seibu sebapa mendapat dua pecahan faraid iaitu 1/2 atau 2/3. Satu perdua diberi apabila si mati iaitu saudaranya meninggal dunia dan meninggalkan seorang saudara perempuan seibu sebapa sahaja dan tidak wujud saudara lelaki seibu sebapa yang akan mengubah kedudukannya kepada ‘asabah atau tidak wujud keturunan perempuan.
Saudara perempuan kandung layak dapat 2/3 jika si mati meninggalkan lebih daripada seorang saudara perempuan seibu sebapa dan tiada saudara lelaki seibu sebapa yang akan mengubah kedudukannya kepada ‘asabah dan juga tidak didinding.
Bagi saudara perempuan sebapa, ada tiga pecahan yang melayakkan dapat faraid mengikut syarat tertentu iaitu 1/2, 2/3 atau 1/6.
Satu perdua diperolehi ketika bilangan saudara perempuan sebapa seorang sahaja, tiada sesiapa yang mendindingnya dan tidak wujud saudara lelaki sebapa yang akan mengubah kedudukannya kepada ‘asabah dan tiada saudara perempuan seibu sebapa.
Adapun syarat saudara perempuan sebapa mendapat 2/3 ialah terdapat dua orang saudara perempuan sebapa atau lebih, dan tiada bersamanya anak lelaki atau anak perempuan, bapa, saudara lelaki atau perempuan kandung, cucu lelaki atau perempuan daripada anak lelaki, saudara lelaki sebapa atau datuk sebelah bapa.
Bahagian satu perenam diperolehi ketika bersama dengan seorang saudara perempuan kandung kerana mencukupkan dua pertiga yang merupakan hak saudara perempuan kandung.
Saudara perempuan seibu mewarisi harta pusaka sama seperti situasi saudara lelaki seibu iaitu 1/6 atau 1/3. Satu perenam diwarisinya jika bilangan saudara perempuan seibu ialah seorang sahaja dan si mati (saudara seibunya) tiada anak lelaki atau anak perempuan, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki, bapa atau datuk.
Jika bilangan mereka melebihi seorang, mereka layak untuk mendapat 1/3. Dari aspek lain, saudara perempuan seibu akan terdinding jika syarat sebelum ini ada iaitu wujudnya anak lelaki atau anak perempuan, cucu lelaki atau cucu perempuan daripada anak lelaki, bapa atau datuk kepada si mati (saudara seibunya).
PENEGASAN
Pengetahuan tentang waris ashab al-furud amat penting dalam menyelesaikan sesuatu kes agihan harta pusaka.
Perlu diingat jika semua 12 waris ashab al-furud ini wujud, maka tidak semua akan memperolehinya secara serentak. Ini kerana terdapat kaedah al-hajb atau proses saringan waris yang perlu dibuat melihat kepada keutamaan masing-masing.
Tidak salah bermuafakat antara waris, namun telitilah terlebih dahulu waris yang sepatutnya didahulukan dalam senarai semak waris.
Sabda Rasulullah SAW: Berilah kadar yang ditetapkan kepada waris yang berhak. Jika berbaki maka agihkan kepada waris lelaki yang utama. (Al-Bukhariyy. Al-Jami’ al-Musnad al-Sahih. Kitab al-Fara’id (85). Bab: mirath al-walad min abihi (5). No: 6732).
- Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan ialah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










