Mukadimah
Fenomena kebangkitan anak muda dalam politik bukan satu yang baharu, lantaran sifat memberontak dan anti-establishment. Bukan sedikit negara malah empayar yang telah tumbang ke tangan kumpulan ini.
Buktinya boleh dilihat di seluruh dunia, seperti kumpulan Turki Muda yang meruntuhkan empayar Uthmaniyah (1908), Bosnia Muda yang membunuh maharaja Austria-Hungary bernama Franz Ferdinand sampai mencetuskan Perang Dunia Pertama (1914), pembabitan golongan muda dalam pergerakan Arab Spring di Asia Barat (2011), sampailah kepada kebangkitan golongan itu di Malaysia sewaktu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Dalam konteks tanah air pula, nama yang tak asing lagi mengepalai pergerakan ini ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Ahli Parlimen Muar berusia 29 tahun ini memang terkenal sebagai pendebat dan pemidato handal. Bahkan beliau mampu merekrut ramai penyokong menyertai wadah baharunya, parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Persoalannya, mampukah Muda yang baru setahun jagung ini melangkaui dominasi parti lain yang lebih veteran? Apa agenda beliau? Paling utama, ke manakah hendak dibawa anak-anak muda di tanah air, adakah nak jadi liberal-progresif atau tegar berhaluan nasionalis?
Berbekalkan persoalan ini di minda, wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub, Fahmi Faiz dan Aida Rizmariza Kamaruddin bertemu bual dengan beliau di Petaling Jaya, Jumaat lalu. Ia turut disertai jurukamera Fauzi Baharudin dan juruvideo Mohd. Fikri Fadzil.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa mendorong tubuhkan Muda?
SYED SADDIQ: Malaysia memerlukan satu gerakan politik yang inovatif, yang mewakili rakyat berbilang bangsa dan agama, yang dipimpin lebih banyak pemimpin muda yang kompeten untuk gerakkan satu corak politik baharu.
Corak politik macam mana?
Ia harus fokus kepada dua perkara, pertama politik khidmat dan kedua adalah politik dasar. Ini berbeza berbanding sedia ada, yang hanya bergaduh isu personaliti, isu kepimpinan yang dibayangi pemimpin sama selama berdekad lamanya. Kita sekarang terlalu fokus kepada isu sebegini terutama personaliti sampai kita tidak membicara soal reformasi melalui dasar. Sebenarnya dasar ini paling penting kerana dasar ini melangkaui personaliti, yang mana personaliti boleh berubah tapi dasar itu selalunya akan berterusan.
Ada sebab lain tubuhkan Muda?
Selain itu juga, selepas gerakan Sheraton, saya ingat ada pernah saya terfikir untuk meninggalkan politik. Ini kerana mungkin saya terlalu idealistik, saya tak pernah sangka bahawa demokrasi Malaysia boleh sampai ke tahap itu, boleh tukar di tengah-tengah, tikam menikam, dan ia bukan soal dasar dan pembaharuan, tapi soal percaturan kuasa. Saya tahu sebab ini libatkan parti saya sebelum ini. Ada banyak perbincangan berkenaan dengan itu. Waktu itu soal kerusi, jawatan Menteri dan Perdana Menteri akan dikekalkan, jawatan kanan akan dikekalkan, cara nak menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, tapi mana perbincangan soal dasar? Bukan itu sahaja, di pihak pembangkang juga saya agak terkesan apabila perbincangan masih bersoalkan isu kepimpinan. Sebelum Sheraton, sewaktu kita masih dalam kerajaan lagi dan memegang kuasa, masih bergaduh soal Perdana Menteri.
DANA POLITIK
Dari mana Muda dapat dana politik? Ada oligarki yang membiayai atau bergerak sendiri?
Tiga perkara, pertama sekali kita fokus kepada pengumpulan dana khalayak (crowdfunding). Sebab itu kalau lihat segala jenis aktiviti kumpul dana (fundraising) dalam Muda, kita buat secara pengumpulan dana khalayak. Baru-baru ini kita lancarkan salah satu portal khas untuk pengumpulan dana, yang mana kita buat project based atau activity based. Contoh, Muda Muar perlukan 50 kerusi roda untuk disumbangkan kepada keluarga susah. Daripada kita hanya minta, “bro, kasi kita RM50,000”, sebaliknya kita minta dana ini, dedahkan kepada umum kita nak dana sejumlah ini, khas bagi program ini.
Kita dedahkan nama siapa penerima, audit mana duit itu pergi, jadi jelas dan orang tengok pun dia akan ada keyakinan. Jadi lain kali pun dia sumbang. Kedua kita lebih fokus kepada in kind contribution. Contoh kita jumpa dengan syarikat-syarikat, boleh tak tuan sumbangkan 50 kerusi roda? Atau peralatan perubatan atau ruang pejabat yang boleh kita guna pakai? Semua itu kita buat dan dedahkan juga, jadi ia sangat jelas. Dan yang terakhir, sumbangan daripada individu.
Sumbangan individu ini, bukankah berpotensi menjerat politikus termakan budi?
Kalau mereka hendak bantu pun, dari segi individu kita hadkan. Sekarang yang kita hadkan tak boleh melebihi RM100,000 atau RM200,000, dan jumlah ini masih dalam perbincangan. Maksudnya kita fokus lebih kepada ramai orang sumbang, sebab kita tak terhutang budi kepada satu, dua bilionair. Kerana mungkin saudara tahu, sekarang ini bilionair pun pandai, dia akan sumbang kepada semua parti. Maka sesiapa dalam kerajaan, dia akan kawal. Tapi dia pandai, sumbang kepada parti kerajaan RM100 juta, tapi pada pembangkang dia sumbanglah RM500,000 saja.
Kalau kita hanya fokus kepada beberapa figura elit, maka habislah. Walaupun mungkin kita kata kita bebas, tapi tetap terhutang budi. Tapi kalau senarai penyumbang itu panjang, mana boleh dikawal. Maksudnya seseorang itu tidak akan berkuasa hendak membeli sesebuah parti.
WINNERS TAKE ALL
Setiap yang muda pasti akan tua, jadi apa jaminan politikus Muda yang jadi tua nanti tak akan buat perangai tipikal seperti rasuah, salah guna kuasa dan jadi proksi kuasa asing?
Betul point ini, dan sebab itu tadi saya tegaskan dua perkara yakni khidmat dan dasar. Sebab itu saya jelaskan tadi, personaliti politik boleh berubah, dan kalau sistem politik kita tak dirombak, idealis-idealis akan mati. If you don’t play the game, you akan kena makan.
Sebab itu saya tekankan politik dasar, contohnya isu Akta Dana Politik (PFA) , isu menghapuskan sistem pemusatan kuasa agar Perdana Menteri dan Kabinet tak boleh menguasai segalanya. Tak boleh winners take all, sebaliknya pulangkan peruntukan kepada semua kawasan kerajaan dan pembangkang, tak perlu lagi melalui Penyelaras Parlimen dan sebagainya. Kalau winners take all, maka orang akan bermati-matian hendak dapat kuasa, kerana tanpa kuasa tak boleh bergerak. Sebab itulah muncul budaya lompat-melompat sekarang.
IDEOLOGI
Apa ideologi Muda, nasionalis kanan, centrist atau progresif-sosialis-kiri?
Saya rasa, saya centrist di tengah-tengah. Kenapa saya tak nak terhadkan kepada kiri, kanan, sosialis dan kapitalis? Kerana kekuatan Malaysia adalah kepelbagaiannya. Contohnya, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak orang Melayu, kedudukan Islam dan bahasa Melayu perlu dipertahankan. Jangan kompromi bab itu. Tapi, kita juga akan naif kalau kita kata dari segi dasar, kita tak boleh ada penambahabaikan. Contohnya Dasar Ekonomi Baharu (DEB), hak untuk bantu orang Melayu perlu ada, MARA kekalkan, Felda dan semua memang perlu dikekalkan, itu perlu ada.
Tapi perlu ada penambahbaikan, macam MARA sebelum ini ditubuhkan untuk bantu orang Melayu paling susah, dan fokus kepada bidang pendidikan. Maka kita fokuslah kepada perkara itu. Tak bolehlah biasiswa akhirnya dapat kepada golongan pertengahan atasan atau T20 (golongan atasan elit) yang sekarang ini sedang berlaku. Macam MRSM dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), kena fokus, janganlah beri kuota alumni terlalu tinggi sampai kuota B40 jadi terlalu sedikit!
MENJELANG PILIHAN RAYA
Muda belum diluluskan penubuhan, jadi apa perancangan menghadapi pilihan raya?
Muda walaupun belum didaftarkan secara normal, tapi kami tetap akan keluarkan mesej-mesej yang sama. Ini perubahan yang ingin kita bawa. Ini ketetapan Muda dari segi dasar, yang mana ada yang kita bersetuju dengan kerajaan dan ada yang kita tidak bersetuju. Tapi, kalau kita masuk pilihan raya, kita akan bekerjasama dengan pembangkang. Malah, memang sekarang kita dalam blok pembangkang.
Komen terhadap penubuhan PN, yang mana Bersatu buat kerjasama dengan UMNO yang sebelum ini dilabel dengan bermacam tohmahan?
Saya tidak bersetuju, kerana saya rasa perkara ini akan bunuh Bersatu. Dan kita lihat apa yang berlaku sekarang. Sebab bila kita tikam kawan, kawan baru kita akan tikam kita balik. Mungkin UMNO hendak bekerjasama sampai pilihan raya, dan selepas itu akan buang kita. Itu saya kata kepada pimpinan pembangkang pun, dalam PH kalau kamu bekerjasama tubuhkan kerajaan bersama mereka (UMNO), tubuhlah tidak mengapa, tapi saya tak akan sertai dan saya duduk dalam pembangkang.
YB sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM)
Untuk jelaskan bab itu, saya tidak ada masalah untuk angkat Anwar sebagai PM, kerana ini perjanjian yang saya juga tandatangani bila saya bersama Bersatu. Dalam Majlis Presiden PH, transisi Tun Dr. Mahathir kepada Anwar perlu dihormati. Dan pendirian saya dalam Bersatu sampai sekarang tidak pernah berubah.
UNDI 18 TAHUN
Boleh ulas mengenai senario membabitkan Undi 18 kini?
Saya rasa itu adalah pencabulan yang paling jelas kepada perlembagaan negara. Ini kerana, pindaan itu dibuat dalam Parlimen dalam Dewan Negara, diluluskan dua pertiga majoriti dan perlu ada konsensus. Selepas saya bincang dengan semua parti, dan juga telah pun dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong, hanya sekarang perlu gazet sahaja. Semua itu kita sudah lalui, perlembagaan sudah dipinda, tiba-tiba kerana political convenience, takut dengan suara anak muda maka ia tersekat.
YB rasa pengundi berusia 18 tahun sudah bersedia menentukan hala tuju kepimpinan negara?
Jawapan saya mudah, politik ini bukan sekadar kita perlu tahu pemimpin politik, perlu tahu selok belok politik, pemimpinnya siapa, partinya pendirian apa. Politik ini adalah semua isu yang melibatkan kita. Isu pendidikan, kos sara hidup, perumahan. Siapa pemimpin atau parti politik yang membela hak tersebut, akan mendapat undi rakyat. Ringkasnya, politik ini tidak terhad kepada satu golongan sahaja, bukan milik kumpulan elit semata-mata. Selain itu juga, kalau kamu berumur 18 tahun, kamu sudah diiktiraf sebagai dewasa di mahkamah, sebab itu kamu boleh dimasukkan ke penjara. Kamu sudah boleh ada lesen dan kamu sudah boleh menyertai tentera. Kamu sudah boleh menandatangani kontrak jangka masa panjang, sudah boleh kahwin. Tetapi tiba-tiba hak mengundi sekali setiap lima tahun, kamu jadi budak-budak, tidak boleh melibatkan diri.
KONSPIRASI ANWAR-ZAHID
Komen tentang back door deal Zahid dengan Anwar?
Dalam perkara ini saya tidak akan bersetuju kerana soal prinsip. Tadi baru saya katakan mengapa saya kena buang daripada Bersatu. Saya akan jadi hipokrit paling besar kalau tiba-tiba menyokong.
Back door deal antara PH dan segelintir top gun UMNO memang wujud atau fantasi?
Tidak perlu kita berselindung, bukan saya sahaja yang cakap malah Anwar pun cakap. Surat yang dikeluarkan oleh Zahid dan Najib ke istana itu betul. Sampai sekarang semua tahu itu betul. Jadi pendirian saya, saya masih dalam blok pembangkang. Saya tidak ada masalah sokong Anwar, dasar-dasar pembaharuannya saya sokong. Tetapi berkenaan kerjasama politik, kalau tiba-tiba dia kata “Saddiq, sertai kerajaan bersama Zahid dan Najib”, saya akan kata, tidak mengapa dan saya akan tolak.
SERTAI PEJUANG?
Kenapa lepas langkah Sheraton, YB tak ikut Tun Dr. Mahathir tubuhkan pejuang?
Hubungan saya dengan Tun tetap baik, baru jumpa dia Jumaat lepas. Jumpa pun tak ada masalah. Bab soal kerjasama dasar pun tidak ada masalah, cuma saya telah maklumkan dengan Tun sebelum awal-awal penubuhan Bersatu sewaktu perbincangan pada 2015, 2016. Pada masa itu sendiri ketika dijemput masuk oleh Tan Sri Muhyiddin, saya maklumkan, Tan Sri, jadikanlah parti ini berbilang bangsa dan agama, tetapi terasnya tetap ramai Melayu Islam, dan perlembagaan parti dijadikan hala tuju. Tapi masa itu Tan Sri Muhyiddin kata tak boleh kerana Malaysia belum lagi bersedia. Tun pun kata benda yang sama. Malaysia belum bersedia. Akhirnya tetap terperangkap dengan pergelutan politik kuasa dan terjadilah Langkah Sheraton.
Jadi, kenapa tak sertai Pejuang?
Bila sudah habis pergelutan kuasa ini, lepas itu bila ada parti-parti lain nak ditubuhkan, saya kata saya tak mahu fikir jangka pendek, sebaliknya mahu fokus 20, 30 tahun akan datang. Dan saya rasa corak paling efektif adalah parti yang berbilang bangsa, yang mengangkat suara orang muda yang dipimpin oleh orang muda, yang mungkin tidak ada latar belakang politik. Kita latih sekarang yang bersih, berintegriti, yang berpengalaman dalam sektor mereka sendiri tidak kira korporat atau yang lain, kita berikan peluang untuk pimpin parti pada masa hadapan.
MASIH DI MUAR
Untuk PRU-15, ingin kekalkan kerusi Muar?
Dalam dunia politik ini, mana kamu bertanding, penerimaan kamu itu semua terletak di tangan rakyat. Saya sekadar kenderaan kepada aspirasi rakyat, boleh bertukar pada bila-bila masa. Kalau orang Muar masih mahukan saya, saya masih mahu pertahankan Muar. Dan memang fokus saya adalah untuk menabur bakti dan khidmat di Muar. Jadi kalah atau menang itu biarlah di Muar. Tapi penerimaan itu terletak di tangan rakyat. Kalau kalah pun tak apa. Tapi saya tak faham dengan orang politik, takut sangat kalah. Kalau kalah jadilah pensyarah, masuklah sektor swasta, NGO atau banyak benda boleh buat. Jangan sampai kita bermati-matian nak pertahankan kuasa sampai takut nak hilang kuasa. Tapi kalau takut sangat memang ada sesuatulah. – Mingguan Malaysia










