DEWASA ini, isu rogol dan remaja mengandung luar nikah semakin menjadi-jadi. Namun, penerimaan masyarakat terhadap wanita mengandung pada usia remaja akibat menjadi mangsa rogol atau terlanjur masih di takuk lama.
Stigma masyarakat yang kerap menuding jari terhadap remaja mengandung luar nikah merupakan antara punca golongan itu mengambil pendekatan menyembunyikan diri daripada tampil membuat laporan polis.
Bagaimanapun, golongan itu bernasib baik kerana masih ada lagi pihak yang menyayangi dan bersedia membantu mereka. Di Kota Kinabalu ada rumah perlindungan wanita pertama di Sabah yang diusahakan oleh Good Shepherd Services.
Sejak dibuka pada 1989, Pusat Jagaan Seri Murni menerima lebih 500 kes wanita yang memerlukan perlindungan termasuk mangsa rogol, remaja terlanjur mahupun penderaan domestik.
Menurut penyelianya, Jossie Sili, kebanyakan penghuni rumah perlindungan itu sama ada datang secara sukarela, dihantar oleh keluarga atau kes-kes yang dirujuk dari hospital bandar dan luar bandar.
“Ada kes kami terima membabitkan remaja bawah umur mengandung selepas melakukan hubungan seks pada pertemuan pertama dengan lelaki yang hanya dikenali melalui internet.
“Hubungan dengan lelaki itu kemudian berakhir begitu sahaja dan kejadian sebegini berlaku di luar bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Berkat sokongan keluarga, remaja ini dapat meneruskan persekolahan sementara anak dijaga oleh ibunya. Mereka berada di rumah perlindungan tersebut untuk sementara waktu bagi membina keyakinan diri sebelum kembali semula kepada keluarga dan masyarakat.
“Ada juga mangsa yang dirujuk ke rumah perlindungan kami yang mengandung pada usia 11 tahun akibat dicabul anggota keluarga sendiri. Kes cabul membabitkan keluarga sendiri memang banyak dan ia membabitkan bapa, abang, datuk, mahupun bapa saudara,” jelasnya.
PKP
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, terdapat lebih daripada empat kes sedemikian membabitkan kira-kira 15 orang ditempatkan di rumah perlindungan tersebut.
Bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat yang suka mendesak remaja mengandung luar nikah untuk berkahwin biarpun remaja itu tidak mahu berbuat begitu.
Dalam kes sebegini, Good Shepherd Services akan membawa remaja itu ke rumah perlindungan untuk diasingkan daripada komuniti yang terlalu mendesak.
Berkahwin bukan satu-satunya penyelesaian kerana remaja yang terlanjur atau mangsa rogol tetap mempunyai pilihan untuk meneruskan hidup dan mencapai impian.
“Atas sebab itu, saya tekankan sokongan moral daripada keluarga sangat penting. Mentaliti masyarakat juga perlu diubah bahawa tidak bermakna remaja mengandung luar nikah, tiada masa depan,” ujar Jossie.
Jika keluarga boleh berikan sokongan dan fikirkan masa depan anak, masih ada peluang untuk anak tersebut membina hidup baharu. Tersilap langkah dalam perhubungan bukan bermakna itulah takdir yang harus dilalui sepanjang hidup.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) Rosnah Kuyung berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan Rumah Perlindungan Wanita Sabah (Rupawan) untuk menempatkan wanita dewasa yang berdepan masalah sosial. Ia diwujudkan di bawah Akta Umur Dewasa 1971.
Sejak dibuka pada Mac 2018, sebanyak tujuh wanita berusia antara 19 hingga 42 tahun ditempatkan di situ kerana menghadapi masalah tekanan mental, kes rogol dan sumbang mahram, mengandung luar nikah serta memerlukan tempat tinggal sementara bersama anak-anak selepas diceraikan.
Dalam usaha memperkasa golongan wanita, Jhewa sentiasa menjalankan program reach out termasuk klinik guaman bergerak untuk mendedahkan masyarakat luar bandar tentang hak-hak perundangan serta tuntutan nafkah penceraian.
Bagi tempoh 2018 hingga Mac 2020, bantuan guaman wanita yang direkodkan Jhewa adalah sebanyak 357 kes dengan nafkah anak merekodkan kes tertinggi, 78 kes.










