Martabat puasa Imam al-Ghazali - Utusan Malaysia

Martabat puasa Imam al-Ghazali

PUASA bukan sekadar berlapar dan dahaga tetapi kita perlu berusaha mencapai sekurang-kurangnya ke tahap puasa ahli khusus. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di awal bulan Ramadan, sudah menjadi adat bagi umat Islam untuk mencari pengetahuan tentang keistimewaan bulan yang mulia ini. Bulan Ramadan sangat mulia apabila al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit-langit bumi.

Seperti yang difirmankan oleh Allah SWT, malam diturunkannya al-Quran ialah malam laylah al-qadar iaitu malam lebih afdal daripada 1,000 bulan.

Pada bulan Ramadan juga diriwayatkan sebagai bulan segala kebaikan dan para syaitan yang jahat dibelenggu. Lebih istimewa lagi, bulan Ramadanlah bulan di mana umat Islam menjalankan rukun Islam keempat iaitu berpuasa sepanjang bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Definisi puasa secara bahasa ialah menahan. Sedangkan secara istilah syarak; puasa ialah sebuah ibadah yang khusus dengan cara menahan dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti menahan diri dari makan, minum, muntah dengan sengaja, melakukan hubungan suami-istri, mengeluarkan mani dengan sengaja dan lain-lain.

Selain perbuatan fizik ini, umat Islam dianjurkan untuk menghayati puasa Ramadan mereka dengan keimanan (membenarkan kefarduan puasa Ramadan) dan menghitung-hitung (ganjaran pahala) ibadah ini, seperti yang disabdakan Nabi Muhammad SAW: Barang siapa berpuasa Ramadan dengan keimanan dan menghitung-hitung (ganjaran pahalanya) maka diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun ibadah puasa adalah ibadah fizik, akan tetapi sisi rohaninya sangat penting di dalam Islam seperti sabda Baginda Muhammad SAW ini. Agar dapat memahami sisi rohani ini, Imam al-Ghazali (w. 505H/1111M) telah merumuskan di dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din bahawa orang berpuasa boleh dibahagi kepada tiga tingkatan.

Tingkatan pertama disebut dengan puasa awam, tingkatan kedua puasa ahli khusus dan tingkatan ketiga puasa ahli khusus lagi khusus.

Imam al-Ghazali menjelaskan secara terperinci bahawa tingkatan pertama iaitu puasa awam ialah berpuasa hanya sekadar menahan perut dan kemaluan dari menunaikan hajat yang dapat membatalkan puasa iaitu sekadar menahan lapar dan keperluan biologi syahwat manusia.

Tingkatan kedua pula iaitu puasa ahli khusus yang dikenal juga sebagai puasa orang yang soleh. Puasa mereka dapat menjadi sempurna kerana menjaga enam perkara penting.

Pertama: menjaga pandangan dari segala penglihatan yang diharamkan, dimakruhkan atau apa-apa perkara yang dapat menganggu hati mengingati Allah SWT seperti permainan yang tidak berfaedah. Sabda Baginda Nabi Muhammad SAW: Penglihatan ialah seperti anak panah yang beracun dari anak panah iblis. (Riwayat Tabrani, al-Hakim dan Abu Nu’aim)

Kedua: Menjaga lidah dari menipu, mengumpat, batu api, mencarut, bergaduh, dan lain-lain maksiat mulut. Sebaliknya menggunakannya untuk berzikir dan membaca al-Quran, atau diam lebih baik. Inilah puasa lidah, seperti kata-kata Imam Sufyan al-Thauri: “Mengumpat membatalkan puasa”.

Ketiga: Menahan pendengaran dari mendengarkan segala perkara yang diharamkan untuk mengucapkannya. Seperti firman Allah SWT: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). (al-Maidah: 42)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyamakan antara mendengarkan berita dusta yang diharamkan untuk menyebutnya maka haram juga mendengarnya dengan memakan harta haram seperti rasuah dan sebagainya.

Keempat: Mencegah anggota-anggota lain dari berbuat dosa seperti tangan, kaki, perut, dan lain-lain. Misalnya tangan jangan digunakan untuk mencuri, mengambil tanpa hak dan lain-lain.

Dalam sebuah hadis, Baginda SAW bersabda: Berapa banyak orang berpuasa, tiada dalam puasanya kecuali lapar dan dahaga? (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut Abu Talib al-Makki (w. 386H/998M): dia adalah orang yang berbuka dengan makanan haram.

Kelima: Tidak memperbanyak makanan yang halal ketika berbuka puasa sekira sampai penuh perutnya. Menurut salah satu riwayat dari Imam al-Tirmidzi; tiada sebuah bekas yang paling dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan perkara yang halal.

Inilah perkara yang ditekankan oleh Imam al-Ghazali, ketika ada fulan yang siang tahan makan malam berbuka dipenuhkan perutnya seperti membalas dendam nafsu yang seharian tidak dilayan. Rahsia puasa menurutnya adalah bagi melemahkan kekuatan syahwat badan yang menjadi wasilah kepada dakyah syaitan untuk berbuat kekejian.

Keenam: Hati orang berpuasa tersebut berbalut kerisauan antara takut (khauf) dan berharap (raja’), kerana ia tidak tahu apakah puasanya diterima atau tidak. Kerisauan ini menunjukkan dirinya sangat peduli dengan ibadah yang dilaksanakan dan berharap menjadi ibadah yang diterima Allah SWT. Inilah tanda puasa orang yang soleh dan digolongkan sebagai ahli khusus. Terkenal di dalam ilmu tasauf sebagai makam khauf dan raja’.

Imam al-Ghazali pula menjelaskan bahawa puasa golongan khusus lagi khusus ialah ketika orang tersebut berpuasa dengan segala jiwa dan raganya. Dia menjauhi segala fikiran yang bersifat duniawi dan mencegah dirinya (zahir dan batin) dari kepentingan selain Allah SWT. Bagi mereka ini, segala pemikiran yang selain Allah SWT dan hari akhirat hanya akan membatalkan puasa.

Menurut Imam al-Ghazali, inilah darjat puasa para nabi, siddiqin dan muqarrabin. Katanya lagi, perbahasan darjat tertinggi ini bukanlah tempat untuk dibahas panjang lebar tetapi dibuktikan dengan pengamalan.

Di awal Ramadan ini, tiada yang wajib bagi kita sebagai umat Islam melainkan berusaha untuk memperbaiki diri agar meningkatkan derajat amalan kita dan senantiasa istiqamah dalam ubudiyyah kita. Semoga Allah SWT menerima amal puasa kita, amin ya Rabb al-Alamin!

  • PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini