KOTA BELUD: Putus sumber pendapatan akibat penutupan sektor pelancongan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan penghalang bagi sekumpulan wanita di Kampung Padang, Pulau Mantanani terus memperoleh pendapatan.
Pengusaha inap desa (homestay), Rostinah Maulana, 57, sedikit pun tidak menyangka kebergantungan kepada sektor pelancongan akan menyebabkan mereka kehilangan satu-satunya mata pencarian.
Namun, penglibatannya dalam program komuniti, Cintai Mantanani yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Reef Check Malaysia seolah-olah memberi sinar baharu kepada kehidupan mereka di pulau yang terletak kira-kira 40 minit menaiki bot dari Kampung Rampayan ini.
Tidak disangka kelapa yang terbuang boleh digunakan untuk menjana pendapatan melalui penghasilan minyak kelapa dara.
“Selepas PKP, homestay terpaksa ditutup kerana tiada pelancong dibenarkan masuk ke pulau. Keadaan ini menyebabkan pengusaha homestay di sini berdepan kesukaran kerana langsung tiada sumber pendapatan.
“Namun, dengan bimbingan Reef Check, kami dibimbing untuk mencari sumber pendapatan lain dengan menghasilkan minyak kelapa dara secara tradisional.
“Kami bertuah kerana permintaan terhadap minyak ini amat baik. Walaupun PKP, kami masih boleh menjana pendapatan menerusi penjualan secara dalam talian,” kata wanita berbangsa Bajau Ubian ini.
Rostinah berkata, beliau dan lima wanita lain akan memarut kelapa bagi mendapatkan minyak dan santan yang kemudiannya akan dimasukkan dalam sebuah gelen.
Selepas itu, ia akan dihantar kepada Reef Check yang bertanggungjawab membantu dalam proses pembotolan sebelum dijual kepada pelanggan.
Minyak yang boleh digunakan untuk kesihatan dan kecantikan ini dijual pada harga RM38 hingga RM48 setiap botol.

KEDATANGAN PELANCONG MEROSOT
Seorang lagi pengusaha, Rina Saik Mohamad, 40, berkata, dia sudah mengusahakan inap desa sejak tiga tahun lalu namun, kemasukan pelancong amat kurang dan ada kalanya tiada langsung.
Namun atas bimbingan Reef Check, barulah mereka mula menerima kemasukan ramai pelancong untuk menginap di inap desa yang diusahakan penduduk kampung.
Rina berkata, dengan bimbingan yang diberi barulah kemasukan pelancong ke inap desa mereka semakin meningkat.
“Bagaimanapun, setelah pandemik Covid-19 melanda, pengusaha inap desa kembali berdepan kesukaran kerana penutupan sektor pelancongan.
“Tetapi kami bersyukur kerana Reef Check terus berusaha membantu penduduk kampung terutama wanita untuk terlibat dalam kebun komuniti. Sekurang-kurangnya kami masih mempunyai sumber makanan dan jika ada lebihan barulah kami jual sayur-sayuran yang dihasilkan,” katanya.
Ketika ini terdapat 17 inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang beroperasi di Pulau Mantanani. Pada 2019, pengusaha inap desa di sini mampu meraih pendapatan menjana hasil sehingga RM50,000 setahun.
Sementara itu, pembantu program Cintai Mantanani, Norhamsizah Enggu, 20, berkata, penglibatannya dalam aktiviti komuniti sebelum melanjutkan pengajian membolehkan dia mengetahui serba sedikit mengenai program Reef Check.
Norhamsizah baru menamatkan pengajian di peringkat persijilan dalam bidang perkhidmatan pelanggan di Baka Aircademy, Petaling Jaya hujung Julai lalu.
Katanya, menerusi program komuniti itu, orang kampung turut diajar cara mengasingkan sisa makanan dan botol plastik.
Kesemua botol akan dikumpulkan di luar rumah sebelum dikutip dan dihantar di pusat kitar semula yang terdapat di Kampung Padang itu manakala, sisa makanan pula akan dibawa keluar ke daratan setiap minggu.
Sisa makanan dan sampah yang dikumpulkan di Pulau Mantanani itu boleh mencecah sehingga 6,000 kilogram (6 tan) sebulan.
Selain itu, barangan kitar semula turut dihasilkan dan dijual. Barangan itu seperti dompet dan magnet peti sejuk.

Berbeza dengan Nani Peramli, 29, dia memilih untuk bekerja di resort berhampiran untuk membantu meringankan bebanan keluarga. Walaupun hanya bekerja sambilan di resort namun, pendapatan yang diperoleh agak memuaskan.
Nani berkata, dia lebih selesa bekerja di pulau kerana tidak perlu memikirkan tentang kos sara hidup dan pengangkutan berbanding jika perlu bekerja di Pekan Kota Belud atau di pusat bandar Kota Kinabalu.
Namun, semasa PKP, semua resort ditutup dan selama hampir setahun dia hanya duduk di rumah tanpa ada sebarang sumber pendapatan.
Kini, apabila Sutera@Mantanani Island Resort & Spa mula beroperasi semula menerusi gelembung perjalanan, Nani dipanggil untuk kembali bekerja di bahagian restoran di resort tersebut.










