Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas penganjuran sambutan Hari Kebangsaan.
Perubahan yang diharapkan dapat dilihat dengan masa yang lebih panjang. Perkumpulan beramai-ramai memberi erti, dan rakyat mesti terus bergiat cergas secara berterusan demi kejayaan negara.
Sebagai seorang yang pernah menyertai perayaan sebelum ini, saya melihat penonton yang bersemangat hadir bersama keluarga menjadikan sambutan lebih meriah. Kehadiran mereka bersama-sama keluarga juga merupakan satu keindahan tambahan.
Sebagai veteran tentera, saya melihat senjata berat Tentera Darat dan Tentera Udara yang dipamerkan dalam perarakan. Semuanya merupakan senjata untuk menyerang dan menyerang balas.
Namun, siapa yang akan menyerang kita pada masa kini dan masa hadapan?
Negara-negara ASEAN mahu hidup aman demi pembangunan ekonomi masing-masing. Pada masa sama, negara-negara besar mempunyai senjata jarak jauh yang boleh memusnahkan bangunan dan membunuh penduduk.
Dalam keadaan keselamatan serantau yang terus berubah, strategi pertahanan juga perlu disesuaikan dengan ancaman semasa, termasuk kemungkinan campur tangan atau sokongan pihak luar terhadap pemberontakan dalam sesebuah negara.-UTUSAN
LT. JEN. DATUK ABDULLAH SAMSUDIN (B)
Kuala Lumpur










