Hari Malaysia: Budi bahasa semai jiwa kemanusiaan

Hari Malaysia: Budi bahasa semai jiwa kemanusiaan

KITA berisiko melahirkan generasi yang bijak menggunakan teknologi tetapi longgar sahsiahnya jika budi bahasa tidak dihidupkan kembali dalam dunia nyata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPENA sambutan Hari Malaysia pada hari ini, marilah merenung kembali acuan bangsa yang ingin kita bina. Sambutan tahun ini yang mengangkat tema ‘Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati’ membawa mesej yang sangat bermakna.

Kesejahteraan yang hakiki bagi sebuah negara tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata. Kesejahteraan juga perlu dinikmati secara inklusif melalui keharmonian, rasa hormat dan kesantunan sosial dalam kalangan rakyat.

Hari Malaysia bukan sekadar memperingati penyatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak melalui pembentukan Malaysia pada 1963. Hari Malaysia turut membawa makna penyatuan hati dan jiwa seluruh warganya.

Gagasan ‘Pendidikan Manusiawi’ yang ditekankan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dalam Forum Ilmuwan Madani Siri 13 bertajuk Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Malaya pada 26 Ogos lalu, menegaskan kepentingan melihat masa hadapan dan pencapaian anak-anak daripada sudut yang lebih menyeluruh. Pendidikan bukan sekadar berorientasikan pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi kesejahteraan dan perkembangan murid secara holistik.

Gagasan ini mengingatkan kita bahawa watak sebuah bangsa yang besar tidak boleh dibina di atas kertas peperiksaan semata-mata. Watak bangsa dibentuk melalui adab, empati dan nilai kemanusiaan yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Di sinilah amalan sekecil senyum, sapa dan ucapan terima kasih berperanan sebagai batu asas yang membentuk keperibadian anak-anak kita.

Bahasa budi tidak memerlukan penterjemah. Apabila seorang pelanggan Melayu tersenyum kepada juruwang berketurunan Cina atau seorang anak Sarawak mengucapkan terima kasih kepada pelayan berketurunan India, di situlah keindahan watak Malaysia yang sebenar terpancar.

Mulakan dengan yang kecil. Apalah ruginya jika kita mengucapkan terima kasih kepada petugas yang menimbang sayur di pasar raya, petugas kaunter perkhidmatan atau kepada petugas di stesen minyak? Jika pelayan restoran tidak sempat menyapa, berikanlah senyuman terlebih dahulu. Amalan kecil ini mampu mencairkan hati, menjernihkan suasana dan menghidupkan kembali semangat kekitaan.

Dari perspektif psikologi pendidikan, anak-anak banyak belajar melalui peniruan atau modeling. Mereka memerhatikan cara ibu bapa berinteraksi dengan orang lain di tempat awam dan cara guru melayani murid. Melalui proses pembelajaran sosial inilah mereka membina pemahaman tentang rasa hormat, kasih sayang dan pengurusan emosi yang sihat. Jika nilai-nilai ini terus dihidupkan, jiwa mereka akan membesar dengan empati, ketenangan dan rasa hormat terhadap orang lain.

Perbuatan baik akan membuahkan kebaikan. Kata-kata yang baik pula mampu menenangkan jiwa dan menyatukan hati. Mungkin pada awalnya terasa janggal tetapi niatkanlah untuk memulakan amalan kecil ini setiap hari demi sebuah Malaysia yang lebih harmoni.

Jika budi bahasa tidak dihidupkan kembali dalam dunia nyata, kita berisiko melahirkan generasi yang bijak menggunakan teknologi tetapi longgar sahsiahnya, juga generasi yang cerdas akalnya, namun semakin kehilangan rasa dan jiwa. Adakah generasi sebegini yang ingin kita wariskan kepada Malaysia pada masa hadapan? –UTUSAN

 

DR. SITI NOOR FAUZIAH ABD. RAHIM

Pensyarah Psikologi Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV),
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×