MESKIPUN sudah 69 tahun merdeka, bangsa Malaysia masih sebuah bangsa yang sangat terjajah budayanya. Sangat pahit untuk ditelan, namun jelas kelihatan di depan batang hidung. Terakhir saya masih melihat kemampuan menguasai bahasa Inggeris sebagai syarat wajib utama untuk memohon pekerjaan di Malaysia yang bersifat tinggi sedikit dari buruh 3D.
Bagaimana boleh jadi begini? Sebagai seorang pekerja pembersihan, saya sering berasa marah kerana pekerjaan saya sering dianggap rendah meskipun syarat utamanya ialah mampu membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Saya belum pernah berjumpa dengan satu pun pegawai dagang yang bergaji minimum.
Saya meragui jika pegawai dagang itu memiliki kemahiran yang jauh lebih hebat dari orang tempatan. Pastinya ramai rakyat tempatan berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta mampu menyelesaikan masalah-masalah yang bersifat tempatan.
Namun sifat minda kita yang masih terjajah begitu terpesona dengan ‘orang putih’. Saya suka menjadikan ‘orang putih’ sebagai ‘kambing hitam’ kerana Malaysia merdeka dari penjajahan British.
Maka, antara syarat penting dalam mempertahankan kemerdekaan ialah mempunyai kesedaran dan ketegasan terhadap golongan yang pernah memandang rendah kepada kita pada era penjajahan dahulu. Ketika itu, segala yang kita lakukan sering dianggap tidak bertamadun oleh mereka.
Maka, tiada kemerdekaan jika kita masih mendakap erat budaya mereka dengan penuh hormat. Apa yang ingin saya utarakan di sini bukanlah untuk kita ‘meludah’ mereka setiap kali berjumpa tetapi sebagai sebuah bangsa, perlu menggalas tugas berat untuk merubah diri dan mula mendakap erat budaya Malaysia selain menggunakan segala sumber yang dikurnia Allah sebaik mungkin. Dalam masa sama berhenti mengimport budaya ‘orang putih’, mengagumi perbuatan mereka atau yang paling utama memupuk agar tiada lagi perasaan rendah diri terhadap bangsa penjajah itu lagi.
Di usia 69 tahun, bangsa Malaysia sudah sepatutnya memiliki ciri-ciri dan kebudayaan diri yang mantap. -UTUSAN
MUHAMAD JAMAL SHARIF
Kg.Triang, Tengah Klawang,
Negeri Sembilan










