Hilang wajah, tidak hilang semangat - Utusan Malaysia

Hilang wajah, tidak hilang semangat

RESHMA QURESHI memperaga gaun rekaan Archana Kochhar dalam Minggu Fesyen New York di New York pada September 2016. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN mengalami kecacatan di muka dan hilang penglihatan sebelah mata akibat disimbah asid, kekurangan tersebut tidak menjadi penghalang bagi seorang wanita dari India untuk terus menikmati kehidupan.

Malah peristiwa malang tujuh tahun lalu, langsung tidak mematahkan semangat Reshma Qureshi, 25, untuk terus bangkit dengan kekurangan yang dialami.

“Parut di wajah saya adalah sebahagian daripada diri saya dan saya tidak mahu menyembunyikannya lagi,” kata Reshma yang merupakan salah seorang mangsa serangan asid di India.

Berbeza dengan mangsa serangan asid lain, Reshma tidak diserang oleh kekasih yang cemburu mahupun lelaki sembarangan akibat ditolak cinta sebaliknya, perbuatan kejam itu dilakukan oleh abang iparnya bersama rakannya.

TRAGEDI TIDAK DAPAT DILUPAKAN

Dalam insiden berlaku pada 2014, Reshma yang ketika itu berusia 17 tahun, berada di Allahabad untuk menduduki peperiksaan.

“Tarikh 19 Mei 2014 sememangnya merupakan hari yang tidak dapat dilupakan sepanjang hidup saya. Kira-kira pukul 7.30 pagi, saya bersama kakak saya, Gulshan dalam perjalanan ke kolej untuk menduduki peperiksaan.

“Tiba-tiba, kami terdengar suara seorang lelaki memanggil nama Gulshan dan setelah menoleh ke belakang, terkejut melihat suami kakak menyerang kami.

“Kami cuba menyelamatkan diri tetapi rakan abang ipar menangkap saya dan menyimbah asid pada muka saya. Cecair itu juga terkena pada tangan kakak saya,” katanya.

RESHMA berehat di rumahnya di Mumbai pada Oktober 2014, beberapa bulan selepas insiden serangan asid. – AFP

Menurut Reshma, dia menjerit kesakitan namun tiada seorang pun yang berada di tempat kejadian tampil membantu.

Akibat insiden itu, Reshma mengalami luka terbakar teruk di wajah sehingga hilang penglihatan di mata bahagian kiri.

Reshma mengakui setiap kali memandang cermin, dia akan merasa sakit, pedih dan panas akibat disimbah asid.

TEKAD BAWA PERUBAHAN

Di sebalik semua kekangan, Reshma dan keluarganya tetap berdiri teguh tanpa rasa malu untuk berdepan masyarakat.

Reshma melibatkan diri dalam kempen kesedaran yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Make Love Not Scars yang berperanan membantu mangsa serangan asid.

Kempen dinamakan End Acid Sale memaparkan beberapa video Reshma menawarkan tips kecantikan dengan memberi mesej jelas untuk memerangi penjualan asid.

Video berkenaan berjaya memperoleh lebih dua juta tontonan sekali gus menjadikan Reshma terkenal dalam sekelip mata.

Lebih tiga juta tandatangan juga berjaya dikumpulkan melalui satu petisyen untuk menghentikan penjualan asid secara haram di pasaran.

Insiden itu membuatkan Reshma sedar dirinya lebih kuat daripada yang disangkakan dan bertekad untuk membawa perubahan drastik dalam masyarakat.

Ekoran itu, Reshma mula terlibat dalam pelbagai aktiviti bagi membantu mangsa serangan asid selain mendesak kerajaan melarang penjualan asid di India.

Kecacatan yang dialaminya tidak menghalang Reshma menempah nama di pentas peragaan sehingga menjadi sebutan dan rebutan pereka fesyen.

SERTAI MINGGU FESYEN NEW YORK

Pada 2016, Reshma muncul sebagai model mangsa serangan asid pertama yang menyertai pentas peragaan di Minggu Fesyen New York.

Reshma memperaga koleksi baju rekaan Archana Kochhar dari India dalam acara berprestij dunia itu.

Dia menyifatkan pengalaman di pentas peragaan antarabangsa sebagai salah satu detik paling indah dalam hidupnya.

Reshma juga menganggap pengalaman itu mengubah hidupnya dan menyampaikan mesej positif kepada mangsa serangan asid seperti dirinya di seluruh dunia.

GAMBAR Reshma sebelum dan selepas serangan asid. – AGENSI

KISAH BUKU BEING RESHMA

Ketua Pegawai Eksekutif Make Love Not Scars, Tania Singh menerbitkan sebuah buku berjudul Being Reshma mengisahkan pertemuannya dengan mangsa asid itu yang tidak gentar menghadapi dunia.

Selain mengupas kisah Reshma, buku itu juga antara lain menampilkan seruan untuk perubahan dan keperluan menguatkuasakan undang-undang bagi melarang penjualan asid di pasaran.

RESHMA bersama Tania Singh dalam majlis pelancaran buku, Being Reshma. – AGENSI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×