TANGAN menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia. Ia melambangkan betapa hebatnya peranan kaum wanita dalam pelbagai bidang demi agenda pembangunan negara.
Lebuhraya Plus Malaysia Berhad (PLUS) antara syarikat konsesi yang tidak ketepikan golongan hawa.
Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew berkata, industri berkenaan mengiktiraf dan menghargai pencapaian pekerja wanita.
Malah setiap individu diberi peluang sama rata menjadi tulang belakang syarikat tanpa mengira perbezaan jantina dalam membuat keputusan penting dalam syarikat.
Katanya, perbezaan fizikal wanita dan lelaki memang akan menyebabkan perbezaan tugas dan tanggungjawab daripada pandangan umum.

“Namun sebagai salah satu watak penting di dalam sesebuah organisasi, saya percaya wanita memiliki peluang sama rata untuk memimpin dalam usaha menonjolkan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran mereka.
“Selain berdepan ruang kerja mencabar, ia menuntut daya tahan tinggi ketika bertugas di lapangan.
“Namun ia diseimbangkan dengan meluangkan masa menjalani aktiviti riadah bersama keluarga selepas waktu bekerja untuk mengurangkan tekanan di samping memastikan kesihatan mental dan fizikal berada pada tahap terbaik,” katanya.
Sebanyak 48 peratus daripada keseluruhan 3,700 pekerja syarikat itu dibarisi oleh kakitangan wanita.
Daripada angkat tersebut, 350 terlibat dalam bidang pengurusan, manakala 1,400 lagi dalam bidang operasi lebuh raya dan barisan hadapan termasuklah pembantu khidmat pelanggan, penyelia serta petugas pusat kawalan trafik.
Sebanyak 48 peratus daripada keseluruhan jumlah peniaga di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pula terdiri daripada wanita manakala kerja penyelenggaraan lebuh raya turut diperkuatkan oleh kira-kira 16 peratus tenaga kerja wanita.
Sementara itu, Eksekutif Pengurusan Kanan PLUS, Nur Azila Rahmat, yang bertugas di unit Unmanned Aerial Vehicle (UAV) di ibu pejabat PLUS berkata, beliau diberi peluang sama rata untuk menguji keupayaan dan kepakaran diri dalam kalangan kaum lelaki.
“Situasi ini menjadikan saya berani dan bersemangat untuk berdepan dengan apa jua cabaran. Saya mempunyai pasukan sangat berdedikasi dan positif dalam usaha memberikan gambaran penting kepada syarikat,” katanya.
Beliau berkhidmat di situ sejak dua tahun lalu bertanggungjawab menerajui pasukan penganalisa data bagi imej UAV.
Analisis data geospatial dijalankan unit tersebut membantu melakukan proses mitigasi penyelenggaraan melalui penggunaan kapal terbang kawalan jauh tanpa pemandu (dron) dalam memantau dan memeriksa aset lebuh raya seperti cerun dan sebagainya.










