Strategi halus nak pecah belah Melayu – Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Strategi halus nak pecah belah Melayu – Ismail Sabri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Berbahang suhu politik negara sejak seminggu dua ini, apabila pihak di sana mendakwa ada buat rundingan bersama pemimpin parti pihak yang di sini. Habis dipukul canang satu Malaysia, kononnya pintu kerjasama mungkin wujud antara UMNO-PKR yang sekali gus mencetus pelbagai teka-teki dan spekulasi.
Tak cukup dengan kemelut itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kerap berubah semakin menambah rasa gundah dalam kalangan rakyat. Sebagai pengundi, sudah tentu rakyat rimas dan lemas dengan dua faktor ini.
Bagi yang memerhati secara rapat, hal ini dikhuatiri mampu menggoncangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), malah memberi ‘peluru’ kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berkuasa semula.
Persoalannya, sejauh mana kedua-dua isu ini mempengaruhi kestabilan blok politik PN? Adakah UMNO-Bersatu sekarang ini tekad berkerat rotan, berpatah arang sampai tiada langsung titik muafakat?
Mendepani persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia Fahmi Faiz, Aida Rizmariza Kamaruddin dan jurugambar Muhammad Faris Rusadio bertemu bual dengan Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri. Ikuti wawancara ini yang mengupas aspek pandemik serta politik dari kaca mata Ahli Parlimen Bera ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu?
Ismail: Kalau kita lihat, selepas kita isytihar PKP yang mana hari ini 18 Mac 2021 genap setahun PKP dilaksana, kita boleh lihat kejayaannya. Kes berjaya diturunkan sehingga sifar, selama tiga hari berturut-turut sehinggalah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Maka kita terus lawan Covid-19 ini dan sekarang sekali lagi tunjukkan bukti kejayaan apabila kes turun. Walaupun satu ketika naik sehingga 5,000 lebih kes, tapi dalam minggu ini, dah kurang daripada 1,500 kes.

Pengkritik dakwa SOP sering berubah tak ikut keperluan?
Sebenarnya SOP berubah mengikut keperluan. Kalau kita lihat kes, komen tentang SOP berubah ini mula timbul apabila PKP kedua dilaksanakan, yang mana semasa PKP pertama, tiada komen, tak banyak. Di sini, kita kena ubah beberapa SOP itu ikut kesesuaian masa. Kedua, kita tak boleh terlalu rigid dengan SOP awal dulu.

Maksudnya?
Pada asasnya SOP itu sama. Kalau PKP, PKPP (PKP Pemulihan) dan PKPB (PKP Bersyarat), sama dengan yang pernah kita umumkan. Tapi perlu longgarkan berdasarkan pengalaman kita. Dulu kita tiada pengalaman, kita tutup semua sekali.

Contohnya?
Aktiviti gunting rambut misalnya, dulu di kawasan PKP, gunting rambut langsung tak dibenarkan. Bila diumumkan gunting rambut dibenarkan waktu itu, rakyat seluruh negara marah, mereka bandingkan dengan rakyat di Amerika misalnya yang ada kes mati kerana kluster gunting rambut. Jadi kita tak berani, akhir sekali baru kita benarkan. Tapi sekarang, di kawasan PKP pun kita benarkan gunting rambut, sebab pengalaman.

KOMPAUN
Apa mendorong kerajaan kenakan kompaun sehingga RM10,000?
Kalau kita tahu, hukuman ini, dalam undang-undang ini ada tujuan. Pertama pencegahan. Ini kita tingkatkan dalam bentuk hukuman supaya orang lebih takut. Kedua untuk mendidik dan ketiga sebagai pengajaran pada orang lain supaya tak buat perkara yang sama.

Boleh ulas lanjut?
Kalau kita tengok, kesalahan berlaku bukan soal topeng muka semata-mata. Sebenarnya bab topeng muka ini ada kepatuhan yang baik, tapi banyak kesalahan besar yang dilakukan sebenarnya.

Boleh beri contoh?
Sebagai contoh pengunjung kelab malam. Ini dalam senarai terlarang sejak dari 18 Mac tahun lalu, kelab malam tak dibenarkan sama sekali. Tapi sebenarnya setiap hari, ada sahaja tangkapan yang melibatkan kelab malam. Maknanya kelab malam masih dibuka secara haram. Hukuman di bawah Akta 342, maksimum adalah RM1,000 sahaja. Jadi kalau tauke kelab malam didapati menganjurkan kelab malam walaupun salah besar, tapi RM1,000 sahaja lah.
Pada masa sama, kilang melindungi pekerja yang positif seperti yang berlaku di Top Glove dulu, kita hanya boleh denda RM1,000 saja. Kalau setakat RM1,000, kelab malam ini untung berpuluh ribu ringgit satu malam. Kilang berbilion untungnya, maka RM1,000 ini tak setimpal.

Maksudnya bagi rakyat boleh buat rayuan?
Boleh merayu sebelum membayar, buat rayuan ke Jabatan Kesihatan Daerah. Kerana bayar untuk kompaun di situ, jadi merayu di situ. Tapi kini rakyat keliru, kita dah kata jangan risau, hanya kes-kes besar sahaja yang kena RM10,000. Kes kecil ini kalau rayu, boleh turun sampai RM100 pun boleh. Malah ada pengurangan lagi, kalau orang kampung, orang miskin atau pelajar yang tiada pendapatan, mungkin RM50 sahaja, terserah kepada pegawai kesihatan daerah itu.

CALL the BLUFF
Sejauh mana kenyataan Anwar Ibrahim tentang back door deal dengan UMNO mempengaruhi Perikatan Nasional (PN)?
Saya minum air dulu lah, panas ni (tertawa). Saya tak tahu sejauh mana mempengaruhi PN, sebab saya tak berada dalam PN. Barisan Nasional (BN) ini tak bergabung dengan PN dan tak jadi ahli PN. Itu dari segi parti lah, tapi dari segi kerajaan, kita masih berada dalam kerajaan PN. Maka ada dua beza, PN sebagai kerajaan dan PN sebagai satu blok parti. Jadi kita tiada dalam PN sebagai blok parti maka kita tak tahu kesannya.

Komen mengenai pendedahan Anwar itu?
Anwar memang sentiasa keluarkan kenyataan, tapi setakat hari ini, satu pun tak betul apa yang dia keluarkan. Dia kata ada nombor SD (akuan bersumpah), tapi bila Yang di-Pertuan Agong minta SD, satu SD pun dia tiada. Tapi dia kata dia ada nombor, campur-campur termasuk Sabah, Sarawak, agaknya dia ada 180 agaknya (tertawa). Semua masuk dalam penyokong dia. Jadi beberapa kali dah dia macam orang panggil call the bluff.

Maksudnya?
Dia akan umum dengan sangat yakin, tapi akhirnya tiada apa-apa. Baru-baru ini sebelum sidang media, dia umumkan nama individu dalam UMNO, Presiden kita, bekas Presiden kita berbincang dengan dia. Semua orang tunggu dalam sidang media sehari esoknya, kalau-kalau dia nak sebut nama.
Tiba-tiba dalam sidang media itu, dia bukan sahaja tak sebut nama, malah akhir sekali dia hanya cakap, “saya tak tolak kemungkinan”. Itu sahaja. Tak boleh nak dikaitkan. Jadi sebab itu saya katakan, kenyataan Anwar ini, setakat hari ini satu pun tiada yang betul lagi.

PENDIRIAN MAJLIS TERTINGGI
Bagaimana pendirian Majlis Tertinggi (MT) dalam isu ini?
MT dah buat keputusan, kalau tak silap saya, masa Perhimpunan Agung 2019, dah pun buat keputusan bahawa kita tak akan bekerjasama dengan PKR, Anwar Ibrahim dan DAP. No DAP, no Anwar. Itu keputusan kita. Malah berkali-kali dalam mesyuarat MT, itulah keputusan kita. Walaupun tiga, empat kali, kita tetap bincang yang sama, no Anwar, no DAP.

Jadi prinsip tolak Anwar, tolak DAP ini masih kekal?
Ya, prinsip no Anwar, no PKR, no DAP ini masih dipegang sehingga hari ini. Dan kalau ada antara kita dalam UMNO ini yang berunding dengan Anwar dan DAP, ia melanggar keputusan MT. Jadi saya percaya, tentu tidak ada yang akan berunding dengan Anwar, kecuali Anwar seperti cabaran yang dibuat oleh Ketua Pemuda hari ini (18 Mac), dia (Anwar) sebut namalah. Tapi setakat hari ini tiada nama, dia main sebut sahaja ada rundingan tapi tak sebut pun nama.

Apa agaknya agenda dia?
Mungkin tujuan dia untuk pecah belahkan sesama UMNO. Mungkin tujuan dia supaya kita saling syak prasangka dan sangsi antara satu sama lain, itu sahaja tujuan dia. Kita pun tak tahu apa agenda dia yang sebenar. Ini cara mereka yang cukup halus nak pecah belahkan kita, dan memanglah ini strategi musuh nak pecah belahkan Melayu.

KESAN TERHADAP PAS
Apa kesan pergolakan UMNO-Bersatu terhadap Pas?
Hakikatnya perpecahan itu masih belum berlaku lagi. Kalau Pas dengan UMNO misalnya, mesyuarat MN setiap dua minggu sekali tetap diadakan sampai sekarang, Jawatankuasa Pemandu namanya. Jadi kalau nak kata perpecahan berlaku antara UMNO dengan Pas, itu tak betul.

Bagaimana pula UMNO dengan Bersatu?
UMNO dengan Bersatu ini, kita memang tak pernah berada dalam satu blok parti. Itu beza dia, kecuali kita berada dalam PN. Oleh sebab kita (UMNO) tak berada dalam PN, jadi macam mana nak kata kita berpecah dengan Bersatu? Sebab kita tiada gabungan dengan PN, yang ada hanyalah sokongan ke atas kerajaan.

PERTEMBUNGAN MULTI PENJURU
Ada kemungkinan bertembung kerusi PRU nanti?
Ya atau tidak, maksudnya boleh jadi ya atau boleh jadi tidak bertembung. Sebab setakat hari ini dalam keputusan yang diumumkan oleh Presiden dan Setiausaha Agung (UMNO), bahawa kita menyokong kerajaan hari ini sehingga PRU-15 nanti. Apabila dibubarkan Parlimen nanti, maka terpisahlah antara UMNO dengan Bersatu.

Maksudnya boleh berlaku pertembungan?
Ya, boleh berlaku pertembungan. Tapi mungkin boleh ada rundingan yang mana kita tidak bersama dalam satu gabungan dengan Bersatu, tapi kita cuba elakkan pertembungan PRU nanti, itu pun mungkin boleh. Tapi apapun perkara ini masih terlalu awal.

Sudah ada rundingan sebegitu?
Setakat hari ini, belum ada apa-apa rundingan dilaksanakan. Rundingan pembahagian kerusi hanya antara UMNO dengan Pas, itu dah berlaku awal sebelum Pas sertai PN lagi. Kini dah sampai sehingga tahap 70 peratus selesai. Tapi dengan Bersatu, belum bermula pun lagi sebarang rundingan.

RUNDINGLAH…
Tiada hasrat berunding dengan Bersatu?
Bagi saya yang pentingnya Melayu memerintah, tapi kaedah dan strateginya setakat ini belum nampak lagi. Sebab setakat ini, itulah keputusannya bahawa UMNO dengan MN tiada masalah, cuma dengan Bersatu sudah diputuskan kita tak akan melakukan kerjasama untuk pilihan raya. Jadi kemungkinan tiga penjuru itu ada.

Datuk Seri sendiri berpandangan macam mana?
Sebab itu saya mencadangkan bahawa apapun, mesti kita buat kajian yang terperinci dan mendalam, berserta data lengkap kalau berlaku tiga penjuru, apakah akibatnya.

Sudah adakah kajian sebegitu?
Sedang dijalankan oleh semua pihak, UMNO buat, Pas buat dan Bersatu pun buat dan kita akan bentangkan keputusan kajian tersebut.

Apa solusi nak pastikan UMNO-Bersatu tak bertembung?
Solusinya, rundinglah. Tapi setakat ini belum ada rundingan lagi. Namun hakikatnya solusi yang terbaik adalah melalui rundingan. Itu pandangan saya secara peribadi, tapi parti sudah buat keputusan dan mungkin dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) nanti, PAU akan buat keputusan juga. Apabila PAU buat sahaja keputusan, maka itulah yang akan jadi keputusan rasmi.

Tapi bolehkah ada keputusan berbeza berbanding diputuskan MT baru-baru ini, yang nak tamatkan hubungan dengan Bersatu?
PAU boleh buat keputusan yang berbeza dengan MT, sebab autoriti yang tertinggi dalam parti adalah PAU.

Jadi mungkinkah ada keputusan ‘mengejutkan’ dalam PAU kali ini?
Saya tak tahu sejauh manakah yang akan berlaku sebab biasanya keputusan MT itu, walaupun ia boleh dirombak melalui PAU, tapi MT itu biasanya kalau tiada PAU, MT lah yang buat keputusan.

BERLAPANG DADA
Bersetuju dengan keputusan MT?
Keputusan sudah pun dibuat, parti sudah pun buat keputusan jadi pandangan peribadi saya sudah tidak relevan lagi. Kalau sebelum mesyuarat boleh bagi pandangan lagi, tetapi memandangkan mesyuarat sudah selesai, Setiausaha Agung juga sudah ambil tindakan jadi sudah tiada makna.

Tak bolehkah UMNO berlapang dada terima Bersatu?
Seperti yang kita katakan tadi parti sudah buat keputusan. Terserah kepada MT, sebab pilihan raya pun kita tidak tahu lagi bila. Mungkin kita boleh bincang selepas PAU akan datang.

Maksudnya, ada kemungkinan keputusan MT akan berubah?
Saya tidak boleh berikan jawapan ya atau tidak. Cuma kita ada dua cara sahaja yang boleh mengubah apa yang sudah diputuskan. Pertama, MT boleh mengubah keputusan MT sendiri, yang kedua di PAU kalau tiba-tiba setiap negeri membawa usul supaya meneruskan kembali rundingan (dengan Bersatu), maka keputusan boleh berubah.

KLUSTER MAHKAMAH
Pemimpin UMNO yang terpalit kes, walaupun belum dibuktikan mahkamah, perlu direhatkan?
Susah saya nak jawab ini (tertawa). Macam-macam pandangan, ada yang mengatakan dari segi undang-undang, innocent until proven guilty jadi tidak boleh lah hukum hanya kerana kes dihadapkan di mahkamah. Kalau tiba-tiba didapati tidak bersalah, maknanya dia tidak bersalah. Jadi wujud pelbagai pandangan.

Apa Datuk Seri cuba sampaikan?
Ada yang setuju untuk mereka tidak berada dalam parti, maka akan cari justifikasi untuk keluarkan mereka. Bagi yang kata masih layak berada dalam parti, maka akan cari justifikasi juga. Jadi semua tertakluk kepada persepsi. Kalau tengok pembangkang dahulu pun, Rafizi kena (dakwa) sewaktu dalam PKR, Anwar sudah masuk penjara berapa lama? Tetapi bila keluar, masih jadi presiden.

Boleh ulas lanjut?
Ketika dalam penjara lagi, dia masih memegang jawatan Ketua Umum, yang masih tidak pisahkan dia dengan parti. DAP, Lim Guang Eng berapa lama waktu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, dihadapkan ke mahkamah yang mana kes tidak selesai, tapi dia juga tidak berhenti dari parti.
Sebab itu saya kata, lihat daripada sudut mana yang mahu dilihat. Dari situ akan wujud pandangan yang berbeza-beza.  – Mingguan Malaysia 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×