PUTRAJAYA: Malaysia menerima penambahan pelaburan sebanyak RM5.4 bilion melalui syarikat pengeluar kertas dan paperboard terbesar di Asia, Nine Dragons Paper (Holdings) Limited.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahan pelaburan syarikat terbabit jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.
Katanya, pelaburan terbabit merangkumi dua fasiliti perkilangan iaitu ND Paper (Malaysia) Sdn. Bhd. di Bentong, Pahang, yang melibatkan pengambilalihan kilang kertas dan pulpa dengan pelaburan keseluruhan RM1.2 bilion.
“Selain itu, syarikat ini tersenarai di papan utama Bursa Hong Kong dan menduduki senarai China Fortune 500 turut mengambil alih ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn. Bhd. di Banting, dengan pelaburan RM4.2 bilion.
“Kedua-dua projek ini akan menjana 2,180 peluang pekerjaan dengan hampir 90 peratus adalah rakyat tempatan. Projek di Banting dijadual beroperasi pada 2022,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau semalam.
Nine Dragons Paper diwakili Pengerusinya, Cheung Yan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zhang Cheng Fei.
Yang turut hadir Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.
Muhyiddin berkata, sehingga Disember tahun lalu, sejumlah 572 projek perkilangan dari China bernilai RM78.61 bilion telah diluluskan MIDA, termasuk Kumpulan Nine Dragons Paper.
“Saya tegaskan kerajaan adalah amat pro business dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu ke dalam negara.
“Malaysia juga bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke negara ini. Semoga ekonomi negara terus pulih dan bertambah kukuh,” katanya. – UTUSAN











