MUKADIMAH
“ADA yang mahu buat baik dengan mengambil anak angkat, malangnya individu berkenaan ditimpa masalah seperti anak angkat tanpa dokumen, perlu membayar kos rawatan mahal di hospital kerajaan selain sukar menempatkannya di sekolah kerajaan.
“Ada juga kes individu berkahwin dengan warga asing di luar negara dan apabila mereka pulang ke Malaysia, anak pasangan itu pula dinafikan hak sebagai warganegara.”
Itu antara situasi yang berlaku dalam kalangan rakyat kita apabila pasangan atau zuriat mereka dinafikan hak sebagai warganegara.
Menyedari kemelut tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosioekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Selangor, V. GANABATIRAU berhasrat mahu memastikan seluruh penduduk di negeri itu memiliki dokumentasi diri dan kewarganegaraan menerusi undang-undang yang saksama.
Ke arah matlamat itu, Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning memperkenalkan Pusat Dokumen Pengenalan Diri Mysel (MySel) bagi membantu golongan terbabit terutama kanak-kanak memperoleh dokumen peribadi seperti sijil kelahiran dan MyKad.
Ikuti temu bual Ganabatirau dengan wartawan Utusan Malaysia, TEON EG dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto FAUZI BAHARUDIN di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.
UTUSAN: Apa peranan MySel?
GANABATIRAU: MySel diwujudkan pada 2016 bertujuan membantu masyarakat di Selangor mendapatkan dokumen-dokumen peribadi seperti sijil kelahiran dan kewarganegaraan.
Masalah tiada dokumen dalam kalangan mereka berpunca daripada pasangan masing-masing mengunakan khidmat sindiket kahwin di sempadan atau kegagalan ibu bapa mendaftar kelahiran anak atas sebab-sebab tertentu.
Bagi menjayakan program ini, dua pegawai dilantik bagi membantu permohonan mendapatkan dokumentasi individu bermasalah agar berjalan lancar. Kedua-dua pegawai itu ditempatkan di pejabat Exco dan membantu mereka terutama yang miskin dan tiada pengetahuan, maklumat dan saluran untuk mendapatkan dokumen tersebut.
Dua pegawai MySel ini menjadi pengantara kepada pegawai di Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memudahkan proses tersebut.
Bagaimanapun pemohon harus faham, pegawai MySel hanya perantara dengan jabatan kerajaan terbabit, bukan ada kuasa untuk meluluskan permohonan.
Apa yang mendorong kerajaan negeri membantu mengurus dokumentasi ini?
Usaha ini selari dengan manifesto Pakatan Rakyat (PR) pada 2008, iaitu menyelesaikan masalah kewarganegaraan membabitkan majoriti kaum India.
Antara 2006 hingga 2007, kita banyak menyerahkan memorandum di Parlimen dan PR menang pilihan raya umum di beberapa negeri pada 2008. Bagaimanapun, hanya di Selangor wujud satu program khas untuk membantu menyelesaikan isu berkaitan kad pengenalan melalui kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketika itu, ramai yang meminta kami menyelesaikan isu ini. Namun, permasalahan tersebut sebenarnya perlu diselesaikan di peringkat Pusat. Ramai yang keliru antara peranan Kerajaan Pusat dan negeri menyebabkan pejabat kami menerima lambakan orang ramai yang mahu memohon bantuan berhubung proses dokumentasi tersebut.
Sehingga 2013, program asal tidak berjalan menyebabkan saya mengesyorkan melantik dua pegawai. Ketika itu (2014), pentadbiran Selangor di bawah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Setelah melalui proses birokrasi yang panjang, MySel akhirnya diwujudkan pada 2018 dan sejak itu program ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna.
Berapa ramai sudah dibantu MySel?
Sejak September 2018 hingga kini, kami menerima 2,875 kes. Daripada jumlah itu, 573 kes berjaya diselesaikan manakala 2,302 kes masih menunggu keputusan. Ia membabitkan 1,368 pemohon lelaki dan 1,507 wanita.
Kita perlu faham, kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi kerajaan dan penganugerahannya tertakluk kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kewarganegaraan tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya dan sudah tentu ia perlu mengikut syarat dan kelayakan.
Kes paling banyak diajukan kepada MySel?
Dalam tempoh tiga tahun ini, MySel menerima 857 permohonan berkaitan warganegara, sijil kelahiran (698), kad pengenalan merah (703) dan anak angkat (324).
Daripada jumlah itu, 40 peratus melibatkan kaum India yang majoritinya menghadapi masalah berkaitan warganegara, kad pengenalan merah dan sijil kelahiran.
Sebanyak 28 peratus kes membabitkan kaum Melayu yang menghadapi masalah berkaitan seperti imigresen, anak angkat dan warganegara. Bagi kaum Cina pula, kumpulan itu lebih kepada isu imigresen dan anak angkat yang tidak boleh didaftarkan menjadi warganegara.
Mengapa kaum India paling ramai terlibat?
Kebanyakan mereka tidak mendaftar perkahwinan dan kelahiran bayi melalui saluran betul menyebabkan tiada dokumentasi diri. Ini kerana mereka tinggal di ladang-ladang, anak-anak tidak menerima pendidikan tinggi, hanya setakat sekolah rendah.
Oleh sebab itu, mereka terlepas pandang mengenai kepentingan ini, malah isu melibatkan perkahwinan tidak didaftarkan dan kelahiran anak luar nikah hanya didiamkan kerana mereka melihat tiada keperluan. Ini adalah masalah yang diwarisi.
Jika tidak diselesaikan, anak-anak tidak dibenarkan ke sekolah, tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan, tidak boleh membeli harta, bahkan tidak boleh bekerja. Saya juga tertanya-tanya, bagaimana mereka boleh hidup selama ini?
MySel pernah menyelesaikan kes seorang warga emas berusia 80 tahun mahu mendapatkan kad pengenalan. Selain itu, ada juga warga emas yang dianugerahkan warganegara tetapi bila pegawai kita mahu memaklumkan khabar gembira itu, anaknya memaklumkan penerima (bapa) sudah meninggal dunia.

SINDIKET
Bagaimana proses untuk mendapatkan sijil kelahiran dan warganegara?
Pegawai kami membantu menyediakan dokumen dan keperluan berkaitan dan memastikan setiap permohonan dikemukakan kepada agensi dan jabatan berkenaan adalah lengkap dan teratur.
Kes mahu mendaftar kerakyatan bagi pasangan yang berkahwin dengan warga asing perlu membuktikan kesahihan perkahwinan. Anak mereka pula perlu melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai dokumen sokongan.
Begitu juga proses mengambil anak angkat. Ia tidak semudah A,B,C. Kita perlu mengetahui asal usul bayi berkenaan sebelum menyediakan dokumentasi.
Pelbagai perkara perlu dilakukan termasuk menyemak asal usul dan keturunan bayi. Selepas semua dokumen lengkap, terpulang kepada pegawai yang menguruskan kes tersebut.
Namun, kebiasaannya proses pengambilan anak angkat mengambil masa panjang. Jika tiada asal usul, ibu bapa angkat perlu bekerja lebih keras memohon kewarganegaraan buat anak dipelihara. Perkara-perkara tersebut seolah-olah tidak sepadan dengan apa yang cuba dilakukan dan pasangan perlu berdepan pelbagai kesusahan.
Apa masalah dan kekangan?
Kehidupan individu tanpa warganegara sangat susah kerana mereka dikelaskan sebagai individu tanpa negara (stateless). Mana mahu pergi jika Malaysia berterusan tidak mengiktiraf mereka?
Jika pendatang asing tanpa izin (PATI) masih ada negara sama ada Indonesia, Bangladesh atau Filipina. Rohingnya pun begitu, mereka tetap warganegara Myanmar walaupun berada di sini.
Individu tanpa warganegara, selepas ditangkap dan ditahan di depot imigresen selama dua minggu, mereka tidak boleh dihantar ke mana-mana negara lain. Sudahnya, dibebaskan semula ke negara ini kerana mereka tiada negara lain untuk dituju.
Permohonan warganegara juga sukar berikutan kerenah biroraksi di KDN dan JPN. Contoh, setiap pegawai yang bertugas ada interpretasi berbeza. Mudah cerita, lain pegawai lain caranya. Terdapat kes untuk mendaftar permohonan sahaja memakan masa berhari-hari, apatah lagi untuk diluluskan.
Pegawai yang mengendalikan kes sepatutnya mempertimbangkan permohonan mengikut akta tetapi adakalanya undang-undang tidak digunakan sebaiknya oleh pegawai terlibat. Ada yang terpengaruh dengan persepsi sendiri apabila melihat isu bukan warganegara, lebih-lebih lagi yang dianggap anak luar nikah.
Namun, saya juga menyedari, birokraksi bertujuan menjaga keselamatan negara tetapi janganlah sampai ‘mencekik’ terutama anak-anak yang memerlukan bantuan. Anak-anak yang dilahirkan tanpa asal usul, perkahwinan dengan warga asing, bukan salah mereka. Tetapi bebannya kepada si anak, lebih malang kepada keluarga angkat.
Pegawai JPN dan KDN kena semak pendaftaran permohonan dan jangan diskriminasi mereka yang layak untuk bergelar warganegara.
Sebanyak 99 peratus bayi dilahirkan di hospital tetapi tetap ada isu tiada sijil lahir dan MyKad?
Kebanyakan hospital berpindah serta menjalani ubah suai secara besar- besaran menyebabkan dokumen kelahiran yang menjadi satu-satunya bukti hilang entah ke mana.
Bayangkan mereka yang lahir pada 1950-an dan 1960-an, dokumen dan bukti mereka dilahirkan di sesebuah hospital tidak mungkin boleh dijumpai pada hari ini.
Ini antara masalah mereka yang dilahirkan di sini tetapi gagal diiktiraf sebagai rakyat Malaysia walaupun sudah menjadi warga emas. Kumpulan ini akhirnya hidup di bumi ini seperti pendatang asing.
Apa kesan ketidakseragaman akta ini?
Ini menyebabkan wujud pihak yang mengaut untung atas kelemahan kerajaan seperti sindiket menjual sijil kelahiran dan surat beranak palsu.
Mangsa menerima tawaran sindiket kerana tertekan ekoran tiada dokumen untuk menguruskan perkara penting seperti persekolahan, membuat pinjaman bank dan membeli aset.
Oleh itu, undang-undang perlu diseragamkan agar ada garis panduan untuk diikuti dan bukan berdasarkan pemikiran pegawai bertugas.
Jika tidak, ia akan menjadi seperti isu penduduk Pulau Ketam yang pernah tular. Dikatakan mereka merupakan PATI dan menyerbu JPN Putrajaya bagi mendapatkan kewarganegaraan. Sebenarnya, apa yang berlaku ketika itu adalah sekumpulan penduduk asal pulau berkenaan dibawa ke JPN untuk menyelesaikan pelbagai urusan atas inisiatif MySel.
Perkara ini tidak harus dikaitkan dengan politik, sebaliknya ia mengenai hak rakyat yang hidup tanpa dokumen diri.
Apa saranan MySel?
Secara jujur, unit ini tidak memiliki kuasa, malah tidak pernah dianggap sebuah unit penting oleh mana-mana pihak. Pegawai bertugas juga hanya lantikan kontrak.
Pegawai MySel sendiri pun masih perlu mengikut prosedur ketika menjalankan tugas termasuk mengambil nombor giliran ketika berurusan dengan kerajaan. Mereka tiada keistimewaan dan sekadar menjadi jurucakap kepada pemohon untuk mendapatkan dokumen yang sepatutnya mereka ada.
Hanya pada 2018 dan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kami dapat menyelesaikan lebih kes berbanding di bawah kerajaan sebelum itu.










