PETALING JAYA: Drama lompat parti yang kali terakhir berlaku sehingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan, berulang dengan sekurang-kurangnya sembilan wakil rakyat pembangkang berbuat demikian.
Semalam, ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon daripada PKR menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin menyifatkan sokongan itu mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkinkan kebangkitan semula ekonomi negara.
Kedua-dua ahli Parlimen itu pula menjelaskan sokongan terhadap kepemimpinan Muhyiddin kerana mahu menyelesaikan isu-isu rakyat.
Pada masa sama, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor iaitu Khairuddin A. Rahim (Senggarang); Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) dikatakan meninggalkan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menyertai PKR.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan mereka mahu menjadi calon PKR bagi mengisi kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu selepas wakil rakyat sebelum ini keluar daripada parti tersebut.
“Mereka difahamkan menyertai PKR untuk mencari peluang dipilih sebagai calon ahli Parlimen mewakili PKR dan tindakan itu adalah satu lonjakan ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, antara empat hingga enam ahli Parlimen Warisan disebut-sebut berminat untuk menyertai PN, namun perkara berkenaan disangkal Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong yang menyifatkannya sebagai berita palsu.
Beliau berkata, tiada sebarang masalah sehingga mendorong wakil rakyatnya berpaling tadah.
“Ya, wakil rakyat masih baik dan setia bersama Warisan,” katanya.
Tindakan melompat parti itu dipercayai dibuat menjelang sidang Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.
Tindakan itu juga dipercayai bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan PN yang kini mempunyai 111 kerusi manakala PH 107 kerusi di Dewan Rakyat,
Bagaimanapun, ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini dilaporkan tidak lagi menyokong kerajaan Muhyiddin.
Berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, ahli Dewan Rakyat ada 222 orang tetapi dua ahli Parlimen meninggal dunia iaitu ahli Parlimen Batu Sapi di Sabah dan ahli Parlimen Gerik, Perak.
Sebelum ini, lebih 10 ADUN Sabah melompat parti dan menyatakan sokongan kepada Tan Sri Musa Aman sehingga menyebabkan PRN terpaksa diadakan.
Selain itu, antara bekas ahli PKR yang meninggalkan parti itu ialah Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dua bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (ahli Parlimen Indera Mahkota), Datuk Mohd Rashid Hasnon (ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri D.r Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Datuk Kamaruddin Jaffar (ahli Parlimen Bandar Tun Razak). – UTUSAN











