PETALING JAYA: Lambakan istilah tidak rasmi atau bahasa slanga di pasaran media sosial kini amat membimbangkan kerana boleh menyebabkan pencemaran bahasa Melayu itu sendiri.
Pakar bahasa berpendapat suasana dan trend penggunaan bahasa slanga dalam kalangan anak muda sepatutnya diseimbangkan dengan penggunaan bahasa yang ‘ringkas’ dan betul mengikut situasi.
Istilah yang digunakan oleh golongan muda ini bukan sahaja kelihatan seperti kejutan budaya tetapi juga bagaikan satu garis pemisah yang agak tebal membezakan golongan muda dan yang lebih berusia.
Lebih memeningkan kepala, istilah ini dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris sekali gus menjadikan bahasa Melayu itu kelihatan sudah kehilangan akar kata.
Antara beberapa contoh istilah yang digunakan ialah seperti ‘gg/mampoi’ (tiada hasil), ‘fuyoh’ (kagum), ‘b2b2b’ (bertubi-tubi), ‘pishang’ (bosan), ‘xtvt’ (aktiviti), ‘payung’ (belanja) dan ‘cayunk’ (sayang) yang sering diguna pakai di media sosial terutamanya aplikasi WeChat, Facebook dan WhatsApp.
Mengulas perkara tersebut, penulis novel dan cerpen tempatan, Syed Mohd. Zakir Syed Othman berkata, penggunaan istilah sedemikian lama kelamaan akan merosakkan cara komunikasi dan akhirnya merosakkan corak berfikir generasi muda sendiri.
“Corak dan kaedah berfikir akan menjadi tidak tersusun kerana sering dilatih dengan bahasa ‘pasar’ yang tidak tersusun.
“Bahasa akan menentukan sama ada corak pemikiran kita teratur dan sempurna dengan menggunakan bahasa pasar atau menggunakan bahasa yang teratur dan sempurna,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Syed Mohd. Zakir yang juga dikenali sebagai SM Zakir dalam dunia penulisan berkata, istilah seumpama itu merupakan satu lagi bahasa ‘pasar’ akan melemahkan cara, sistem dan kaedah berfikir secara sistematik sesebuah masyarakat kerana bahasa pasar tidak dapat membantu kepada pemikiran yang tersusun.
Bagi pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan juga seorang penulis, Uthaya Sankar SB, generasi muda sekarang lebih suka mengambil sikap sambil lewa dalam penggunaan bahasa Melayu sama ada ketika berkomunikasi atau menulis.
“Mereka hanya berfikir, sekiranya mesej mereka sudah sampai maka itu sudah memadai.
“Dari segi logik, perkara tersebut benar tetapi bahasa sebenarnya bukan hanya alat komunikasi sahaja, bahasa Melayu adalah alat yang melontarkan budaya kesopanan, alat perpaduan dan bahasa ilmu.
Katanya, rakyat Malaysia kurang memahami perlunya peningkatan penguasaan bahasa dari segi pertuturan supaya bahasa itu menjadi bahasa ilmu.
“Guru boleh memainkan peranan walaupun kemungkinan untuk mereka mengajar menggunakan bahasa ‘pasar’ itu ada, tapi harapannya agar guru boleh menjadi contoh baik yang bukan hanya mengajar subjek untuk peperiksaan, tetapi menggalakkan dan menanam kecintaan terhadap bahasa dalam diri pelajar,” katanya. – UTUSAN











