Vaksin Covid-19 selamatkan negara, dunia - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19 selamatkan negara, dunia

SEORANG petugas sebuah syarikat farmasi di China mengendalikan vaksin yang dihasilkan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mampu mengecapi kejayaan dalam membendung wabak Covid-19 melalui program vaksinasi.

Ini menyorot kepada pe­ngalaman dan kejayaan negara dalam membendung beberapa penyakit berbahaya yang pernah melanda negara seperti virus influenza A (H1N1), virus Nipah dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) walaupun bukan dalam skala besar.

Pakar perubatan kesihatan awam, Jabatan Perubatan Tentera Hospital Tuanku Mizan, Kolonel Dr. Mohd. Arshil Moideen berkata, hanya dengan penggunaan vaksin dapat membendung penularan Covid-19 yang setakat ini sudah merekodkan 248,316 keseluruhan kes dan 909 kematian di negara ini.

Kata beliau, suntikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 65 peratus populasi negara ini sudah cukup untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

“Cara paling utama sekarang ini hanyalah vaksin ke­rana mustahil kita membasmi wabak Covid-19 tanpa langkah pencegahan melaluinya sebab jangkitan sudah merebak di seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Malaysia dijadualkan mene­rima 12.8 juta dos vaksin Pfizer bermula akhir Februari ini dan telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

Pakar Mikrobiologi Klinikal, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Zamberi Sekawi berkata, pengambilan vaksin terbukti berkesan menyingkap negara luar seperti Afrika yang berdepan dengan serangan virus Ebola.

Ini termasuklah kecekapan kerajaan Malaysia dengan memberikan suntikan vaksin polio dinamakan vaksin polio oral hidup (OPV) dan polio tidak aktif berurutan (IPV) sebanyak empat dos bersama vaksin difteria, pertussis, tetanus dan Haemophilus influenzae type b (Hib) kepada kanak-kanak yang berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

“Kita mesti menerima hakikat bahawa vaksin memang berkesan. Di negara luar juga terdapat laporan kes jangkitan sudah menurun selepas pelaksanaan program vaksinasi. Bagi mereka yang enggan meneri­manya, kena faham bahawa kita buat keputusan mestilah berdasarkan fakta dan bukti emperikal bukan hanya cakap-cakap sahaja,” kata Zamberi.

Pakar kesihatan sebuah hospital swasta, Datuk Dr. Kuljit Singh secara peribadi akan membawa semua ahli keluarganya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

“Kita kena menggalakkan lebih ramai lagi mengambil suntikan vaksin dengan cara mendidik mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN