Sifu kata suara saya ‘biasa-biasa’ je... – Zarul - Utusan Malaysia

Sifu kata suara saya ‘biasa-biasa’ je… – Zarul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak sekadar lontaran suara, malah pakej yang ada pada dirinya seringkali menjadi bualan. Bukan ingin memuji, tetapi itulah hakikat. Tidak keterlaluan mengandaikan nisbah peminatnya dipelopori golongan wanita. Begitulah aura yang dimiliki sosok ini.

Mentelaah peribadi yang tertulis dalam diari hidupnya cukup menggambarkan ketabahannya dalam menelusuri liku-liku kehidupan. Tidak mudah melatah dan berputus asa, prinsip hidupnya mudah, di mana ada kemahuan, nescaya di situ ada jalan terbentang.

Bertemu Mingguan Malaysia, pemilik nama sebenar Zairulkefli Husin, 47 atau lebih sohor dengan panggilan Zarul Umbrella, berkongsi cerita. Pelbagai kisah suka duka sepanjang melayari kehidupan sebagai seorang penghibur dikongsi bersama pembaca.

“Ditawarkan menjadi penyanyi oleh komposer, Saari Amri setelah mendapat tempat kedua ketika menyertai pertandingan nyanyian di Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 1994 ibarat bulan jatuh ke riba,” katanya membuka bicara.

“Ketika itu saya cukup teruja. Maklumlah nama Saari Amri cukup ‘besar’ dan dikenali. Tapi saya serba salah bila dia kata nak tawar jadi penyanyi untuk kumpulan yang akan ditubuhkan. Mood terus down sebab saya lebih selesa menyanyi solo. Tapi bila fikir balik ini adalah peluang yang datang bergolek. Kalau tolak mungkin tiada peluang lain.

“Ketika berjumpa dengannya di studio, dia tanya jika ada kawan-kawan yang boleh bermain muzik. Tapi syaratnya mestilah kacak dan ada rupa. Dia tak nak muka ganas-ganas macam budak-budak Ukays,” katanya ketawa.

Pemilihan anggota akhirnya dibuat Saari. Ketika datang ke studio untuk sesi rakaman, dia terkejut kerana salah seorang anggota kumpulan datang membawa sekaki payung masuk ke studio.

“Payung yang dibawa adalah payung kubur yang sering digunakan di majlis pengebumian. Akhirnya barulah saya tahu rupa-rupanya Saari rancang nak ambil gambar untuk buat cover album. Saya garu kepala.

“Ketika Saari serahkan demo tape untuk vocal guide, saya lihat ada tertera perkataan ‘Umbrella’. Saya tanya Umbrella ini apa? Dia jawab inilah nama band kau orang. Saya telan air liur. Dalam hati mengomel juga, dah kenapa nama kumpulan ini Umbrella? Tak komersial. Macam lirik lagu kanak-kanak tadika pula,” ujarnya.

 

Mengakui ilmu masih cetek, dia tidak membantah. Proses rakaman diteruskan walaupun ada kalanya berasa cukup tertekan kerana Saari seorang yang cukup cerewet dan teliti.

“Banyak kali juga Saari tegur pasal vokal sehinggakan saya pernah terfikir untuk angkat kaki. Lagipun saya tak kisah kerana waktu itu masih bertugas sebagai pembantu tadbir di MPK.

“Album pertama Umbrella yang diterbitkan pada 1996 mendapat sambutan luar jangkaan apabila terjual lebih 80,000 unit. Waktu itu bos di tempat kerja panggil dan suruh buat pilihan sama ada nak terus kerja atau menyanyi. Maklumlah waktu itu saya kerap ambil cuti untuk promosi dan persembahan. Setelah berfikir panjang dan tanya keluarga akhirnya saya ambil keputusan berhenti kerja,” jelasnya.

Meniti populariti di usia muda memberi kejutan budaya kepada dirinya. Dia mula dikenali apabila sering menghiasi dada akhbar, majalah dan muncul di kaca televisyen.

Sesi rakaman album kedua terganggu apabila Saari terlibat dalam kemalangan motosikal. Insiden tersebut merencatkan perancangan kerana sentuhan Saari masih diharap untuk meneruskan kecemerlangan seperti mana album terdahulu.

Bila Saari sedar lain pula jadinya. Ingatannya sedikit bermasalah. Kalau nak terus rakam album dengan lagu sedia ada rasanya takkan boleh ‘pergi jauh’. Tiada ‘killer song’ yang setanding lagu Ramalanku Benar Belaka.

Pergolakan dalaman syarikat menjadikan Umbrella terumbang-ambing. Mereka diminta membuat pilihan sama ada ingin terus bersama Mekar Production atau mengikut Saari yang baru menubuhkan Menora Music Entertainment.

Setelah berbincang, mereka mengambil kata sepakat untuk terus bernaung di syarikat rakaman lama, namun ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi antaranya terpaksa memberikan semula lagu Saari yang sepatutnya dirakam oleh Umbrella.

Ternyata album kedua berjudul Hujan Panas tidak berjaya menandingi album terdahulu. Popularitinya juga menurun sebaik sahaja berumah tangga. Komitmen terhadap kumpulan mula terjejas apabila dia lebih banyak menumpukan masa bersama keluarga.

Umbrella mencari pengganti. Namun dia sama sekali tidak menyalahkan rakan-rakananya kerana apa yang berlaku berpunca daripadanya.

“Album ketiga Umbrella lahir tanpa saya. Ketika itu saya sudah membantu ayah berniaga apam balik di Bandar Kinrara, Puchong. Ramai wartawan mencari saya sehingga dijadikan cover majalah. Dalam hati berkata juga, masa jadi penyanyi dulu tiada seorang pun offer nak jadikan aku cover, bila jual apam balik ini dapat pula jadi cover.

“Oktober 1999, saya pergi temuduga pramugara di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Alhamdullillah berjaya. Pada Januari 2000 saya secara rasminya mula berkhidmat dengan MAS,” katanya.

Dia akui pada awalnya pekerjaan itu cukup menyeronokkan, namun lama-kelamaan timbul rasa bosan dan ingin menyanyi semula. Ponteng kerja dan ambil cuti sakit mula menjadi rutin. Kerjayanya terjejas. Akhirnya dia digantung kerja selama tiga bulan.

Melalui seorang rakan dia dipertemukan dengan M. Nasir. Rancangannya untuk merakamkan album solo, namun berlaku sebaliknya.

“Ketika berjumpa M. Nasir dia tanya saya sama ada masih bekerja ataupun tidak. Saya jawab masih bekerja. Dia kata, elok teruskan sahaja kerja macam biasa sebab suara saya hanya biasa-biasa saja. Saya terdiam. Dalam hati menyirap juga. Bila pasti apa yang dirancangkan tidak jadi kenyataan, saya akhirnya ambil keputusan untuk kembali bekerja,” katanya.

Selepas kontrak disambung semula, Zarul bertekad membina semula reputasi kerjayanya. Usahanya tidak sia-sia apabila majikan kembali menaruh kepercayaan padanya.

Antara kerjaya, nyanyian dan bisnes

Tawaran persembahan datang melimpah ruah walaupun sibuk dengan kerjaya. Bermula dengan persembahan di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) pada 2013, dia kemudiannya dilamar Hafiz Hamidun untuk merakamkan semula lagu hitsnya bersama Umbrella.

Pada 2014, dia mengorak langkah setapak lagi apabila lagu duetnya bersama Masha berjudul Satu Rasa menjadi hits dan diterima peminat.

“Setelah berkhidmat hampir 16 tahun bersama MAS, akhirnya pada 2016 saya ambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak. Pada tahun sama juga saya diberi peluang menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketiga, sekali gus kembali aktif secara sepenuh masa.

“Pada 2020 lalu saya sudah ada plan untuk buat reunion dan mini showcase bersama Umbrella. Namun pandemik covid-19 merencatkan plan tersebut,” ujarnya. Di kala pandemik yang melanda dunia ketika ini, Zarul sudah merancang masa hadapannya. Ilmu perniagaan yang diwarisi dari keluarga tidak disia-sia, malah ketika ini dia cukup sibuk menguruskan permintaan produk sambal Aichik keluarannya.

Produk ini mempunyai lima jenis citarasa, antaranya sambal bawang bilis, sambal terasi bilis, sambal udang, sambal hijau serta sambal belacan. Permintaan cukup menggalakkan terutamanya tempahan dari negara jiran, Singapura.

Kepada yang berminat untuk mencuba produk keluaran Zarul ini bolehlah menghubunginya di talian 012-6922581 atau Instagram sambalaichik_hq.

“Sempena perintah kawalan pergerakan (PKP) ini saya akan memberi harga diskaun untuk pelanggan. Sesiapa yang berminat boleh hubungi saya,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya