Nelayan asing dibenar masuk kendali bot laut dalam - Utusan Malaysia

Nelayan asing dibenar masuk kendali bot laut dalam

BOT laut dalam dijangka kembali beroperasi tidak lama lagi ekoran keputusan membenarkan kemasukan pekerja nelayan asing ke negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lebih 400 pemilik bot laut dalam di negeri ini menarik nafas lega apabila mereka diberi kebenaran membawa masuk pekerja nelayan asing dari Thailand mulai minggu hadapan.

Ini bermakna aktiviti pe­nangkapan ikan laut dalam dapat beroperasi semula selepas hampir lumpuh berikutan ketiadaan tekong dan awak-awak warga asing yang tidak dibenarkan masuk ke negara ini sejak penutupan pintu sempadan ekoran penularan pandemik Covid-19, Mac tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Khas Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah (PPBINK), S. Sivakumar berkata, kebenaran membawa masuk pekerja nelayan asing untuk industri laut dalam itu penting bagi memastikan bekalan ikan mencukupi di pasaran negara.

Ini kerana, katanya, keba­nyakan bot terbabit tidak dapat beroperasi selepas pekerja nelayan asing dari Thailand tidak dibenarkan memasuki negara ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

“Pada setiap bulan, dianggarkan seramai 30 hingga 50 pekerja nelayan dari Thailand akan dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja dalam industri bot laut dalam,” katanya.

Utusan Malaysia pada 20 Februari lalu melaporkan kerajaan dijangka berbelanja besar untuk mengimport bekalan ikan dari luar negara bagi menampung permintaan di pasaran berikutan industri perikanan laut dalam di negara ini berisiko lumpuh kerana keba­nyakan bot nelayan tidak dapat beroperasi kira-kira setahun lalu.

Sivakumar berkata, kema­sukan pekerja asing itu akan diuruskan oleh PPBINK selepas mendapat kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand dan kerajaan negeri menerusi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Imigre­sen.

Menurutnya, kesemua pekerja nelayan asing yang di­benarkan masuk negara ini perlu mempunyai dokumen pengesahan negatif Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan Thailand dan diluluskan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Pekerja nelayan asing tidak dibenarkan memasuki negara ini dan diberikan kelulusan untuk mendapatkan My Travel Pass yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya tidak mempunyai surat pengesahan negatif Co­vid-19.

“Selain itu, nelayan asing yang dibenarkan memasuki negara ini perlu menjalani sa­ringan Covid-19 sekali lagi dan kuarantin di sini dalam tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya.

Beliau memberitahu, ke­semua kos dokumen membawa masuk pekerja nelayan asing, saringan covid dan tempat kuarantin itu akan ditanggung oleh pemilik bot.

“Kos membawa masuk pe­kerja nelayan asing melalui PPBINK dianggarkan antara RM4,000 hingga RM5,000 seo­rang berbanding lebih RM8,000 seorang sekiranya menggunakan agensi lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN