KEPALA BATAS: Pengeluaran beras di negeri ini dikhuatiri terancam apabila pesawah sukar mendapat bekalan benih padi sah untuk memulakan kerja-kerja menanam padi yang didakwa akibat daripada monopoli pihak-pihak tertentu.
Apa yang membimbangkan, masalah itu dihadapi majoriti pesawah padi di daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini yang mana 60 peratus bekalan beras negeri ini ketika ini disumbangkan oleh pesawah dari daerah berkenaan.
Seorang pesawah dari Unit Padang Tembusu, Mohd. Yusri Mustafa, 42, berkata, isu kesukaran mendapatkan bekalan benih padi itu mula timbul susulan beberapa pendekatan baharu yang cuba diperkenalkan Kementerian Pertanian dan industri Asas Tani bermula tahun ini.
Antara yang menjadi pertikaian jelasnya, termasuk kuasa untuk mengedar serta menjual benih padi sah kepada pesawah yang didakwa dimonopoli oleh pertubuhan peladang kawasan (PPK) sahaja.
Mohd. Yusri yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Guar Kepah berkata, majoriti pesawah juga tidak bersetuju dengan tindakan PPK mengeluarkan surat akujanji yang perlu ditandatangani mereka bagi mendapatkan benih padi.
Tambahnya, menerusi surat aku janji itu pesawah tidak diberikan pilihan untuk menentukan jenis benih padi yang diperlukan memandangkan tidak semua benih padi yang dibekalkan sesuai dengan keadaan semasa.
“Sebenarnya, kami sudah biasa hidup susah tapi, apabila berlaku keadaan seperti ini, kaki dan tangan kami seolah-olah diikat dan mulut kami pula disumbat dengan sesuatu. Maka, kami tak boleh buat apa-apa lagi.
“Pendek kata, apa yang mereka buat ni macam bermaksud, kalau ‘hang mau, jalan, hang tak mau sudah’ (kalau nak, ambil dan tak mahu, terpulang). Tak bolehlah macam ni,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Mohd. Yusri, isu itu telah diutarakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin serta Pengarah Pertanian negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim dalam satu pertemuan khas bersama wakil pesawah baru-baru ini.
Bagaimanapun, ujarnya, tiada kata putus dicapai dalam pertemuan tersebut hingga menyebabkan rata-rata pesawah bimbang untuk mengusahakan tanaman padi masing-masing terutama dalam keadaan negara sedang berdepan pandemik Covid-19.
Difahamkan, sesi pendaftaran untuk pengambilan benih padi itu sepatutnya bermula Januari lalu, namun ditangguhkan ke bulan ini dan dijalankan secara berperingkat mengikut unit yang ditetapkan.
Dalam pada itu, seorang lagi pesawah, Lee Seng Wye, 64, turut menyifatkan peraturan baharu itu sebagai menyusahkan ramai pesawah terutama apabila membabitkan perjanjian ‘hitam-putih’ seperti surat atau borang akujanji.
Seng Wye yang berpengalaman menguruskan bendang selama 41 tahun berkata, apabila pengedaran serta penjualan benih padi dimonopoli PPK, perkara yang paling ‘ditakuti’ kebanyakan pesawah ialah dari segi kenaikan harga benih padi.
“Daripada maklumat yang kami dapat, harga benih padi yang dijual dari kilang kepada Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) ialah RM28 (bagi setiap beg seberat 20 kilogram) dan PPK memperolehinya dengan harga RM31 sebelum menjualnya kepada kami pada ‘harga mati’ iaitu RM35,” katanya. – UTUSAN










