Majikan resah biayai kos ujian Covid-19 - Utusan Malaysia

Majikan resah biayai kos ujian Covid-19

SEBAHAGIAN pesakit wanita dan kanak-kanak Covid-19 menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ujian saringan Covid-19 pekerja asing yang akan diperluaskan esok dilihat lebih membebankan majikan walaupun dibiayai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, Perkeso hanya menanggung kos ujian sampel pertama sahaja bagi pekerja asing yang mencarum tetapi majikan perlu membayar untuk ujian kedua.

Katanya, walaupun subsidi diberi, majikan perlu menanggung kos caj perkhidmatan yang ditetapkan antara RM30 sehingga RM80 oleh pusat kesihatan.

“Pada masa ini, majikan menghadapi masalah aliran wang tunai dengan perniagaan yang tidak memberangsangkan. Itu belum lagi majikan yang tidak membuat caruman Perkeso. Jadi kos ini sudah pasti memberi implikasi.

“Itu belum lagi perkara lain yang membebankan termasuk penyediaan tempat kuarantin untuk pekerja yang disahkan positif Covid-19. Dengan pengetahuan yang kurang, adakah majikan benar-benar mampu ‘menjaga’ mereka sekali gus membantu mengurangkan penularan? Kerajaan perlu fikirkan kaedah terbaik dan dalam masa yang sama tidak membebankan majikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini memberitahu akan memperluaskan saringan Covid-19 bagi pekerja asing Selasa ini dengan kerjasama klinik swasta menggunakan kaedah ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

Sebanyak dua sampel akan diambil membabitkan ujian ini iaitu satu pada hari pertama dan hari ke15.

Dalam pada itu, Shamsuddin tidak menolak kemungkinan berlakunya penipuan membabitkan keputusan ujian saringan Covid-19 pekerja asing sekiranya tiada penyelesaian diambil.

“Ini merupakan satu kebimbangan kerana majikan sudah semestinya mencari jalan singkat walaupun ia tidak wajar dilakukan,” ujarnya.

Shamsuddin dalam masa yang sama turut meminta kerajaan terus membenarkan sektor ekonomi beroperasi terutama pembinaan walaupun industri itu mencatatkan bilangan kluster tertinggi setakat ini.

“Jangkitan boleh berlaku di luar kawasan tempat kerja dan dibawa pekerja sendiri. Sepatutnya pekerja sendiri perlu ambil inisiatif bukannya tutup kerana ia mendatangkan masalah.

“Malah ia boleh menyebabkan satu-satu projek tertangguh dan ini akan sulitkan pelbagai pihak sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN