PETALING JAYA: Berdebar menantikan kehadiran ahli baru dalam keluarga, Datin Nelydia Senrose mengumumkan dia dan suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid bakal menimang cahaya mata lelaki tidak lama lagi.
Khabar gembira itu dikongsikan oleh pelakon dan usahawan, Nadiyah Shahab ketika menghadiri majlis Gender Reveal pasangan tersebut semalam.
Segak mengenakan pakaian sedondon berwarna merah hati, Nelydia atau Nik Zaris Nelydia Nik Sen itu dilihat gagal menahan sebak selepas mendedahkan jantina anak sulungnya itu.
“Tahniah Nelydia! Dapat anak lelaki!,” tulis Nadiyah menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Menerusi hantaran tersebut, rata-rata ahli keluarga dan kenalan rapat yang hadir di majlis tertutup itu turut bersorak gembira selepas pengumuman tersebut dilakukan.
Pada 8 April lalu, Nelydia mengumumkan dirinya bakal menimang cahaya mata pertama selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta.
Untuk info, Nelydia dan Hafez mendirikan rumah tangga pada 6 April 2019.- UTUSAN










