PETALING JAYA: Golongan lelaki lebih culas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Buktinya dari 18 Mac tahun lepas hingga 3 Februari lalu, sebanyak 81 peratus atau 66,697 lelaki dikenakan kompaun akibat ingkar SOP seperti tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan berada di luar tanpa alasan munasabah.
Daripada jumlah keseluruhan 82,141 kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut, hanya 19 peratus atau 15,444 daripadanya adalah pesalah wanita.
Jumlah kompaun paling banyak dikeluarkan pula di empat negeri iaitu 19,765 di Selangor, ibu negara (17,798), Perak (7,471) dan Johor (7,309).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, setakat ini, kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan orang kena kompaun melunaskan bayaran di pejabat kesihatan daerah seluruh negara.
Katanya, polis hanya bertanggungjawab dalam pemantauan pematuhan SOP dan pembayaran kompaun RM1,000 adalah di bawah seliaan Kementerian Kesihatan.
“Individu yang dikenakan kompaun perlu menyelesaikannya dalam tempoh dua minggu namun sejak penguatkuasaan tahun lalu, hanya 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pesalah PKP yang sudah membuat pembayaran supaya tidak dikenakan tindakan susulan.
“Buat masa sekarang kita belum mendapat arahan untuk kesan individu yang masih tidak membayar kompaun. Itu semua di bawah Kementerian Kesihatan, jadi kita tunggu apa keputusan sama ada mohon waran tangkap dari mahkamah atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Dalam pada itu, ditanya bagaimana polis memastikan pendatang asing tanpa izin di negara ini tertakluk kepada penguatkuasaan, Abd. Rahim menegaskan, tindakan tetap dikenakan kepada mereka sekiranya dikesan ingkar pematuhan SOP ditetapkan.
“Memang sukar untuk kompaun mereka jika didapati melanggar SOP bagi mengekang penularan wabak ini kerana mereka tiada dokumen perjalanan yang sah. Jadi, sekiranya pasukan pematuhan mendapati mereka lakukan kesalahan, kita akan tangkap.
“Kalau tidak, nanti mereka akan lari kerana mereka tiada dokumen dan sudah tentu mereka boleh lepas begitu sahaja,” jelasnya. – UTUSAN










