Kompaun PKP boleh ‘dicabar’ di mahkamah - Utusan Malaysia

Kompaun PKP boleh ‘dicabar’ di mahkamah

ABD. RAHIM JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 82,000 rakyat yang dikenakan kompaun melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu mempunyai hak mempertahankan diri di mahkamah sekiranya mereka enggan membayar kompaun berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar memaklumkan, individu yang dikenakan kompaun sepatutnya menjelaskannya dalam tempoh dua minggu atau dihadapkan ke mahkamah jika gagal membuat pembayaran di pejabat kesihatan daerah.

Ujarnya, apabila dihadapkan ke mahkamah individu ber­kenaan boleh ‘mencabar’ tindakan kompaun dengan mengemukakan bukti-bukti berkaitan yang menyatakan mereka tidak bersalah.

“Sejak akhir-akhir ini banyak kejadian di mana individu yang dikompaun tidak puas hati lalu menularkan dalam media sosial yang mereka dikenakan kompaun dalam situasi tidak wajar. Tindakan mereka itu seakan-akan meletakkan kesalahan pada pihak berkuasa pula.

“Daripada bertengkar di media sosial menyalahkan pihak lain, lebih baik bawa sahaja perkara itu ke mahkamah. Beri penjelasan dan tunjukkan bukti. Selepas itu, terpulang kepada kuasa mahkamah menentukan sama ada tindakan kompaun itu wajar ataupun tidak (digugurkan),” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Abd. Rahim, pihak berkuasa hanya menjalankan pemantauan pematuhan SOP bagi memastikan penularan wabak Covid-19 ini terkawal dan terdapat lapisan kedua di peringkat timbalan pendakwa raya.

“Timbalan Pendakwa Raya yang akan menentukan (kompaun). Kalau tiada kesalahan, jadi mereka akan NFA (tiada tindakan lanjut) kes tersebut. Pihak polis tiada kuasa untuk membatalkan kompaun,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa individu mempertikaikan kompaun pelanggaran SOP PKP yang dikenakan terhadap mereka menerusi media sosial sehingga mencetuskan ketegangan seperti pihak berkuasa mengenakan kompaun kepada rakyat secara sesuka hati.

Walau bagaimanapun, Abd. Rahim juga tidak menafikan terdapat kekangan daripada pihak penguatkuasaan sendiri kerana masih dalam proses untuk me­nyalurkan maklumat mengikut SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada pegawai dan anggota terlibat.

Jelasnya, terdapat lebih 30,000 pegawai dan anggota terlibat sepenuhnya dalam pematuhan SOP manakala jika diambil kira anggota dan pegawai tugas hakiki yang turut diamanahkan pematuhan SOP, jumlahnya lebih 100,000.

“Kita tak nafikan kadang-kala pemahaman setiap orang berlainan jadi memang akan terbit masalah mengenai hal ini. Dalam mesyuarat juga kita tekankan minta Ketua Polis Daerah sendiri turun padang sampaikan maklumat yang betul mengenai pematuhan SOP kepada anggota,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN