Kami serius laksanakan amanah - Utusan Malaysia

Kami serius laksanakan amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

HARI ini genap 16 tahun penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai cabaran dihadapi agensi ini dalam memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) selamat. Pada masa sama, banyak kejayaan dicapai yang pastinya membanggakan kita semua.

Kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, DATUK MOHD. ZUBIL MAT SOM berkongsi cabaran, pencapaian dan hala tuju Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan terbaik dunia.

UTUSAN: Bagaimana sambutan pada tahun ini?
MOHD. ZUBIL: Sambutan pada kali ini adalah secara maya sepenuhnya, tanpa perhimpunan dan pergerakan fizikal, 100 peratus maya.

Kita memanfaatkan kemudahan teknologi semasa berteraskan internet serta laman sosial rasmi kami sebagai platform sambutan.

Tema sambutan pada tahun ini, Kami Serius Melaksanakannya.

Dipilih berdasarkan pencapaian dan cabaran dilalui sepanjang 2020 membawa maksud yang luas, bukan sekadar komited dalam melaksanakan tanggungjawab hakiki, Mengawal, Melindung,Menyelamat di perairan negara atau ZMM sahaja. Namun, sentiasa dan terus komited secara serius dalam menggalas apa jua tugasan serta amanah demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Bagi saya, tema ini sangat objektif, rasional dan realistik, malahan ia juga boleh dijadikan ‘mantera’ kepada seluruh warga Maritim Malaysia.

Boleh Datuk kongsi cabaran dan pencapaian?

Cabaran

Keluasan ZMM 614,000 kilometer (km) persegi dengan pantai sepanjang 4,490 km menjadi ruang lingkup tanggungjawab Maritim Malaysia secara amnya. Bersempadan dengan Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Singapura, mendedahkan perairan kita kepada jenayah rentas sempadan dan pencerobohan perairan.

Di Laut China Selatan, kita ada lebih 200 pelantar minyak dan gas yang merupakan penyumbang utama ekonomi negara. Lebih 76,000 kapal dagang melalui Selat Melaka setiap tahun melibatkan urus niaga berbillion ringgit.

Ancaman perairan seperti pencerobohan bot nelayan asing, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan dadah serta barangan terkawal lain. Lebih memburukkan, ancaman pandemik Covid-19 terutama daripada PATI dan nelayan asing.

Sebagai agensi penguat kuasa dan frontliner maritim, kita berhadapan dengan cabaran-cabaran ini.

Pencapaian

Menerusi Op Benteng di bawah National Task Force (NTF), Maritim Malaysia merekodkan penahanan 116 vessel serta 1,204 PATI termasuk 22 tekong. Nilai rampasan dianggarkan RM41 juta merangkumi vessel serta peralatan. Sebanyak 520 vessel dan 2,747 PATI yang cuba memasuki negara secara tidak sah melalui jalan laut berjaya diusir.

Berikutan itu juga, pada tahun lepas kita meneruskan Op Naga, melancarkan Op Kuda Laut bagi memerangi pencerobohan bot nelayan asing yang mencuri hasil laut negara.

Kita berjaya menahan 210 bot nelayan asing bersama 2,018 krew yang menceroboh perairan negara terutama dari Vietnam dan Indonesia dengan nilai rampasan RM463.5 juta.

Melalui Op Dallal, kita menahan enam ejen atau tekong darat warga Myanmar di utara Semenanjung sekitar April tahun lepas yang menyaksikan penurunan statistik penyeludupan PATI Rohingnya berskala besar ke Malaysia.

Pada Disember lalu, Maritim Malaysia mencatat sejarah dengan tangkapan dan rampasan dadah terbesar seberat 2,118 kilogram bernilai kira-kira RM106 juta di perairan Pulau Pinang.

Selain itu, menggagalkan 46 cubaan penyeludupan dadah dan merampas dadah dengan anggaran nilai RM148 juta.

Dalam aspek koordinasi Carilamat, kita mengendalikan 241 kes dengan kejayaan menyelamatkan 1,786 nyawa daripada 1,918 mangsa. 93 mangsa maut dan 39 lagi masih hilang. Pada masa sama, kita menyelamatkan harta benda bernilai RM3.19 juta daripada RM3.43 juta yang terlibat dalam insiden dan kemalangan. Ini menjadikan prestasi Carilamat sepanjang 2020 mencapai 91.61 peratus keseluruhannya.

Rasionalnya, kejayaan-kejayaan ini tidak mungkin mampu dicapai tanpa komitmen yang serius. Itulah saya katakan, tema kali ini adalah signifikan, objektif dan realistik.

Apa harapan Datuk?

Kami Serius Melaksanakannya adalah kata perangsang untuk warga Maritim Malaysia agar terus serius melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai mana Akta 633 demi mendukung amanah Kepada Rakyat dan Negara seiring slogan kami, Mengawal, Melindung, Menyelamat.

Namun, harapan kami ini tidak mampu dicapai sepenuhnya tanpa sokongan dan komitmen seluruh rakyat terutama komuniti maritim.

Jadi, kami menyeru seluruh komuniti maritim agar bersama-sama dalam membanteras sebarang salah laku jenayah di laut terutama melibatkan penyeludupan manusia, dadah serta barangan terkawal lain dan menasihati komuniti maritim menghentikan aktiviti sebagai ejen atau tali barut sindiket.

Bersama kita membanteras jenayah rentas sempadan dan Maritim Malaysia, serius melaksanakannya bersama anda semua.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×