Bandar di Myanmar dikawal tentera - Utusan Malaysia

Bandar di Myanmar dikawal tentera

ANGGOTA tentera menutup jalan ke Parlimen di Naypyidaw semalam selepas tentera Myanmar merampas kuasa dan menahan beberapa pemimpin negara itu termasuk Presidennya, Win Myint dan Aung San Suu Kyi. – STR/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Situasi di Yangon masih terkawal tanpa berlaku sebarang tindakan tunjuk pe­rasaan dalam kalangan rakyat, namun pasar raya dan kedai ditutup manakala jalan-jalan utama dikawal anggota tentera.

Menceritakan kepada Utusan Malaysia, seorang rakyat Malaysia yang menetap di bandar terbesar di Myanmar itu, Ahmad Sukeri Ahmad, 42, berkata, pasar raya dan kedai keperluan mulai tutup pukul 6 petang dan beberapa jalan utama dikawal tentera.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan berlaku pembelian panik dalam kalangan penduduk dan ramai sudah mula beratur depan bank untuk me­ngeluarkan duit, manakala mata wang dolar Amerika (AS$) tidak laku dan harga beras naik mendadak.

Dia yang menetap di negara itu sejak 2016 berkata, keba­nyakan jalan utama ditutup manakala sistem komunikasi tempatan dan talian internet yang pada mulanya disekat sudah beransur-ansur pulih, namun siaran televisyen antarabangsa masih disekat.

“Setakat ini terdapat kira-kira 600 rakyat Malaysia di Myanmar dalam kalangan ahli perniagaan dan profesional. Mereka termasuklah kakitangan Kedutaan Malaysia, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan beberapa syarikat swasta. Hari ini juga sepatutnya bahagian perakaunan ke bank untuk membuat pembayaran gaji tetapi sistem bank pula offline. Tergendala urusan sementara,” katanya yang be­kerja sebagai pengurus projek sebuah firma hiasan dalaman.

Ahmad Sukeri berkata, situasi di beberapa bandar utama se­perti Naypyidaw dan Mandalay pula lengang dan ditutup kepada orang luar.

Menurutnya, perintah darurat masih belum dikuatkuasakan ketika ini walaupun sudah diumumkan untuk dilaksanakan dalam tempoh setahun.

“Penduduk sudah biasa de­ngan tindakan ketenteraan hampir 50 tahun di bawah Junta.

“Rakyat agak berdisiplin dan dengar nasihat pemimpin mereka untuk tidak melakukan protes di jalanan. Kedutaan Malaysia di sini telah menasihatkan agar masing-masing kekal di rumah,” katanya.

Menurut laporan Agensi, tentera Myanmar mengambil alih pentadbiran kerajaan negara itu selepas Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik ditahan semalam.

Rampasan kuasa itu berlaku ketika pertikaian keputusan pilihan raya negara itu terus memuncak.

Beberapa jam selepas itu, tentera mengisytiharkan darurat selama setahun.

Kuasa pentadbiran kerajaan diserahkan kepada ketua tentera, Jeneral Min Aung Hlaing.

Sementara itu, Malaysia menyeru tentera Myanmar dan semua pihak berkaitan memberi keutamaan kepada keamanan dan keselamatan, menegakkan kedaulatan undang-undang serta menyelesaikan sebarang pertikaian keputusan pilihan raya negara itu melalui meka­nisme undang-undang dan dia­log secara aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN