19 loji hasil 1.5 juta liter biodiesel sebulan

19 loji hasil 1.5 juta liter biodiesel sebulan

AHMAD Zahid Hamidi bersama Pengerusi RISDA Manndzri Nasib (tiga kiri) ketika sesi lawatan selepas merasmikan Pasar Raya RisSMart Grocer di RisSMart GROCER di Pusat Bandar Kwasa Damansara, Shah Alam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 19 loji pengeluaran biofuel di seluruh negara berupaya menghasilkan kira-kira 1.5 juta liter biodiesel sebulan melalui pelaksanaan penyelarasan industri secara lebih bersepadu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kapasiti pengeluaran itu dijangka mampu menampung penggunaan dan permintaan tempatan, sekali gus membantu mengimbangi kenaikan harga diesel pada masa ini.

Katanya, semua loji berkenaan kini berada dalam rangka penyelarasan bagi memastikan pengeluaran dapat dilakukan secara lebih efisien, sekali gus mengurangkan kos operasi melalui konsep sinergi antara pemain industri.

“Kini terdapat 19 loji pengeluaran biofuel sama ada B15 hingga B50 dan kita akan gunakan sludge atau input pengeluaran daripada CPO (minyak mentah sawit), di mana terdapat 35 peratus sludge, dimanfaatkan untuk mengeluarkan biodiesel dan juga (minyak) jet A1,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian RisSMart Grocer di sini, semalam.

Penggunaan sisa minyak sawit atau sludge sebagai bahan asas utama pengeluaran turut meningkatkan nilai tambah kepada industri komoditi negara.

“Ini bukan sahaja soal pengeluaran, tetapi bagaimana kita memanfaatkan sisa industri untuk menjana sumber tenaga baharu yang lebih berdaya saing,” katanya.

Katanaya, projek tersebut dibincangkan bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan beberapa agensi berkaitan termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi serta syarikat berkaitan kerajaan.

Katanya, kerjasama strategik turut melibatkan Petronas yang telah menjalankan ujian dan penilaian terhadap kesesuaian penggunaan biodiesel tersebut, termasuk bagi memastikan ia memenuhi standard teknikal dan boleh digunakan meluas dalam sektor kenderaan diesel.

Penglibatan Petronas bersama pengeluar kenderaan penting memastikan biofuel ini bersedia untuk dipasarkan secara berskala besar di peringkat nasional.

“Apabila kita bergerak secara mass production melalui 19 loji ini, kos akan turun dan manfaatnya kembali kepada rakyat serta industri,” katanya.

Keupayaan pengeluaran itu turut diyakini mampu mengurangkan tekanan permintaan diesel di pasaran tempatan, di samping memberi kesan penstabilan terhadap harga bahan api tersebut.

Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkukuh agenda tenaga hijau negara serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×