PETALING JAYA: Kenaikan mendadak harga diesel melebihi 200 peratus sejak Februari 2026 kini menjadi ancaman utama kepada margin kontraktor tempatan, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan berkata, situasi itu sekali gus meningkatkan risiko tekanan kos dan kelewatan projek dalam sektor pembinaan akibat daripada kesan tidak langsung rantaian industri.
“Harga diesel meningkat daripada hanya RM2.15 seliter awal Februari 2026 kepada RM6.72 pada minggu lalu susulan konflik Asia Barat mengganggu laluan minyak global di Selat Hormuz.
“Sebagai negara pengimport bersih bahan api, Malaysia amat terdedah kepada kejutan ini, khususnya apabila kira-kira 40 peratus sumber penapisan diperoleh terus dari rantau berkenaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Selain bahan api, harga bahan binaan turut meningkat dengan simen mencatat kenaikan 9.1 peratus tahun ke tahun dan konkrit siap campur naik 7.9 peratus didorong kos tenaga dan logistik yang lebih tinggi.
Menurut firma penyelidikan itu, keadaan menjadi lebih mencabar selepas kerajaan memansuhkan subsidi diesel bagi lori jenis ‘tipper’, menyebabkan kontraktor kini terdedah sepenuhnya kepada harga pasaran semasa.
“Kontraktor berdepan risiko penyusutan margin, khususnya bagi kontrak harga tetap yang sukar memindahkan kenaikan kos berkenaan untuk diserapkan pula kepada pelanggannya.
“Berdasarkan analisis sensitiviti, kenaikan 10 peratus dalam harga diesel dan bahan binaan boleh naikkan kos pembinaan sekitar 1.2 peratus serta menjejaskan margin bersih mereka hingga 87 mata asas,” katanya.
Dalam senario lebih buruk, jika harga minyak mentah Brent melebihi AS$100 (kira-kira RM397.49) setong dan kos input meningkat 50 peratus margin kontraktor itu boleh menyusut sehingga 434 mata asas.
TA Securities turut memberi amaran tekanan berpanjangan menyebabkan kelewatan projek, peningkatan kos lebihan serta risiko penalti lewat siap (LAD), terutama dalam kalangan kontraktor kecil.
Selain itu, persekitaran kos tinggi berpotensi memperlahankan pelaksanaan projek infrastruktur dan pembangunan hartanah apabila kerajaan serta pemaju mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.
“Namun, kami menilai impak ini masih boleh dikawal jika lonjakan kos bersifat sementara, disokong mekanisme seperti tempahan pelbagai (VO) dan klausa pelarasan harga dalam kontrak,” ujarnya.
Pada masa sama, kata TA Securities, cadangan kerajaan untuk mengaktifkan mekanisme kepelbagaian harga (VOP) bagi bahan binaan dilihat mampu membantu kontraktor dalam mengurangkan tekanan kos.
Tambahnya, langkah ini walaupun masih di peringkat awal, dilihat lebih kepada usaha perlindungan margin daripada kerugian berbanding pemangkin pertumbuhan pendapatan kepada pemain industri itu.
Justeru, firma tersebut masih lagu mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan, disokong oleh pelaksanaan pelbagai projek yang berterusan dalam sektor awam dan swasta.
“Antara pilihan utama kami ialah Gamuda Berhad dengan harga sasaran (TP) sesaham RM5.62, di samping IJM Corp Berhad (TP: RM3.46) dan Binastra Corp Berhad (TP: RM3.04),” ujar TA Securities.
Gamuda dan IJM ada kelebihan dari segi skala operasi, kepelbagaian projek antarabangsa serta keupayaan menyerap kos, manakala Binastra disokong model perniagaan ringan aset dan berulang. – UTUSAN










