PETALING JAYA: Finalis Dewi Remaja 2025, Sharmaine Alexander, berpendapat, tiada sebab untuk seseorang memperlekeh hari graduasi orang lain kerana setiap kejayaan hadir bersama usaha dan pengorbanan yang berbeza.
Sharmaine atau Sharmaine Ilenna Rudy Alexander, 26, dia terkilan apabila melihat masih ada individu yang memandang rendah pencapaian orang lain termasuk mereka yang berkongsi momen graduasi di media sosial.
“Ada seseorang yang memuat naik gambar graduasi di Threads. Kemudian, ada pula individu lain memperlekeh dengan mengatakan seolah-olah dia seorang sahaja yang berjaya tamat belajar.
“Kenapa orang macam perlekehkan usaha orang itu? Tidak semua orang dapat menikmati semasa graduasi. Ada yang hanya mampu belajar sejauh SPM sahaja. Jadi, tidak kiralah diploma atau apa sahaja peringkat pengajian, jangan sesekali memperlekeh hari graduasi seseorang,” katanya menerusi satu hantaran video di Tiktok miliknya.
Tambah Sharmaine, dia turut menggalakkan graduan untuk meraikan kejayaan masing-masing tanpa perlu malu atau mempedulikan komen negatif segelintir pihak.
“Kongsilah sebanyak mungkin gambar konvokesyen nanti. Macam saya sendiri ada buat sesi fotografi sebelum hari konvokesyen dan juga pada hari konvokesyen di studio sebab semua itu memori yang nanti akan kita lihat semula di rumah. Itu yang saya letak di dinding-dinding rumah.
“Tiga atau empat tahun untuk mendapatkan satu sijil itu bukan mudah. Ada yang belajar dalam keadaan tidak cukup duit dan perlu berkorban macam-macam.
“Sebab itu kita perlu biarkan orang menikmati momen mereka dan jika mahu berkata sesuatu, cukuplah sekadar ucap tahniah,” katanya.
Untuk rekod, Sharmaine Alexander telah menamatkan pengajiannya dengan Ijazah Sarjana Undang-Undang (Master of Law – LL.M) di UiTM Shah Alam baru-baru ini.










