Rumahku, Sekolahku (Catatan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid - Utusan Malaysia

Rumahku, Sekolahku (Catatan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUMAH bukan sekadar tempat untuk berteduh dan melepaskan kelelahan. Rumah juga tidak dilihat kesempurnaan secara fizikal disebabkan oleh kemewahan atau keluasannya. Begitu juga tidak kerana keindahan dekorasi, perhiasan dan kecantikan warna tirai yang bersesuaian dengan warna dinding. Walaupun demikian, itu semua merupakan kenyamanan dan keselesaan bagi penghuni rumah.

Sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Empat perkara yang membawa kebahagiaan: Isteri yang solehah, jiran yang baik, rumah yang luas dan kenderaan yang selesa. (Riwayat al-Hakim)

Namun, rumah juga merupakan sumber pendidikan awal bagi anak-anak. Rumah juga merupakan sebuah sekolah untuk institusi keluarga. Bahkan ia merupakan salah satu faktor yang penting dalam membentuk jati diri dan membangun syakhsiah yang beradab dan berakhlak.

Jelas di sini bahawa ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam membina keperibadian anak-anak mereka sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci, namun sesungguhnya kedua orang tuanyalah yang menjadikan bayi itu Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Muslim).

Anak adalah hadiah suci daripada Allah kepada ibu bapanya. Ia juga amanah bagi ibu bapa agar menjaga dan memelihara jasmaninya untuk sentiasa sihat melalui pemakanan yang berkhasiat, mendidik hati dan mindanya untuk beriman dan beramal soleh.

Anak akan mudah terpengaruh dan belajar daripada apa jua yang dilihat dan yang didengar. Baik daripada perkara-perkara yang baik atau sebaliknya.

Oleh sebab itu, selain daripada ilmu yang bermanfaat diajarkan kepada anak, lingkungan dan suasana yang sihat juga menjadi faktor penting yang akan mempengaruhi sikap dan sifat anak itu.

Dalam zaman moden ini, adalah sangat penting ibu bapa memberi perhatian yang jitu terhadap sekeliling anak-anak yang dapat mempengaruhi minda dan sikap, lebih-lebih lagi terhadap akidah dan iman.

Cabaran semasa bagi generasi penerus bangsa ini ialah peralatan-peralatan teknologi yang canggih seperti telefon pintar, peranti tablet dan peranti pintar lainnya yang memberi ruang akses terbuka ke alam maya.

Ia menjadi cabaran yang paling berat bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak lebih lagi dalam mengimbangi pengawalan dan pendedahan yang patut diberikan kepada mereka.

Menyentuh tentang ancaman lingkungan dan kesannya terhadap pertumbuhan minda dan sikap kanak-kanak, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hati-hatilah kamu dari yang bernama Khadra’ Addiman! Sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasulullah?” Nabi menjawab: “Perempuan yang cantik di lingkungan yang rosak”. (Riwayat Ad-Darulquthni).

Oleh sebab itu, pendidikan awal di rumah sangat penting dan perlu diutamakan untuk pertumbuhan anak-anak demi keselamatan akidah dan akhlak mereka.

Ingatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Perintahkan anakmu untuk melaksanakan solat pada usia tujuh tahun, dan pukullah ia apabila dia meninggalkan solat pada usia 10 tahun, dan pisahkanlah mereka pada tempat tidur mereka. (Riwayat Abu Daud).

Perintah dalam hadis ini ditujukan kepada ibu bapa atau penjaga anak-anak. Tentulah ibu bapa akan belajar terlebih dahulu sebelum mengajarkan anak-anak mereka. Anak yang terdidik dengan baik sejak awal di rumah akan terbentuk keperibadian mulia dan akhlaqul karimah, sebaliknya pun juga demikian.

Seorang lelaki pernah datang bertemu Saidina Umar r.a untuk mengadukan perihal anaknya yang derhaka. Maka saidina Umar memanggil anak tadi lalu menegurnya. Maka anak tadi bertanya: “Wahai Amirul mukminin! Adakah seorang anak mempunyai hak ke atas ayahnya?” Jawab Umar: “Ya”.

Si anak bertanya lagi: “Apakah ia (yakni hak anak ke atas ibu bapanya)?” Jawab Umar: “Memilih ibu yang baik untuknya, memberi nama yang baik padanya dan mengajarkannya al-Qur’an.”

Si anak berkata: “Wahai Amirul mukminin! Ayahku tidak melakukan semua itu. Dia menikahi ibuku yang dahulunya di bawah jagaan seseorang yang beragama Majusi (penyembah api), dia menamakan saya “Ju’al” (sejenis serangga kumbang, kalau dinisbahkan pada manusia bererti orang yang buruk) dan dia tidak mengajarkan al-Quran padaku walaupun hanya satu huruf”.

Maka Saidina Umar menoleh kepada si ayah dan berkata: “Adakah engkau mengadu padaku bahawa anakmu derhaka padamu? Engkau telah derhaka pada anakmu sebelum ia derhaka padamu

dan engkau telah berbuat buruk padanya sebelum ia berbuat buruk padamu”.
Kisah ini memberi pengajaran kepada kita, salah satu faktor anak jadi derhaka ialah kegagalan orang tua dalam mendidik.

Pendidikan di rumah tidak hanya tertumpu kepada anak-anak tetapi kepada para ibu juga. Adalah kewajipan seorang ayah mendidik anak-anaknya agar suatu hari nanti mereka mampu menjadi ayah dan ibu yang baik. Antara kewajipan suami juga ialah memilih ibu yang baik dan mengajarkannya ilmu yang bermanfaat untuk mendidik anak-anak dengan baik.

Apabila seorang suami tidak mampu mengajar isterinya maka janganlah dia melarang isterinya untuk belajar tanpa mengabaikan kewajipannya sebagai isteri dan juga sebagai ibu.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus Pentadbir-Nya, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. (al-Ahzab: 34)

Dalam ayat di atas, Allah telah memerintahkan isteri-isteri Nabi untuk belajar serta mengamalkan apa telah dipelajari daripada ayat al-Quran dan sunnah Nabi SAW. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN