KAJANG: Mungkinkah ada khabar gembira buat kira-kira 2,000 banduan Malaysia yang kini menghuni di 40 penjara di seluruh dunia termasuk di Asia, Eropah dan Amerika Selatan untuk kembali ke tanah air dan dekat dengan keluarga bagi menjalani hukuman.
Menerusi Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 (ITOP), Jabatan Penjara kini sedang mengusahakan program pemindahan banduan Malaysia yang ditahan di luar negara bagi menjalani baki hukuman di tanah air.
Menerusi ITOP juga membolehkan banduan warganegara asing di negara ini dipindahkan ke negara asal mereka bagi menjalani baki hukuman masing-masing.
Perkara itu selaras dengan deklarasi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1985 yang mengalakkan dan menyarankan agar program pemindahan banduan dapat dilaksanakan bagi banduan menjalani hukuman di negara asal mereka.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Komisioner Jabatan Penjara Malaysia, Hafidz Othman berkata, akta itu diwujudkan bagi memastikan kebajikan semua banduan terbela kerana masing-masing perlu mengikuti acuan program pemulihan yang berbeza dari segi budaya, agama dan bahasa di negara asal.
Bahkan, ada juga banduan beragama Islam menjadi tahanan di negara bukan Islam dan menyebabkan mereka terdedah dengan makanan yang diragui status halalnya sepanjang menjalani hukuman.
“Atas faktor keselamatan, akta ini diwujudkan kerana kita tidak mahu rakyat Malaysia yang menjadi tahanan di penjara seperti itu hidup dalam keadaan tidak menentu dan tiada program pemulihan yang bersesuaian dengan budaya kita,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut beliau, penahanan di negara sendiri juga dilihat lebih memudahkan dari segi reintegrasi mereka sebaik dibebaskan selain memudahkan urusan lawatan ahli keluarga sekali gus boleh membantu mengurangkan kos bagi lawatan dan panggilan jarak jauh.
Bagaimanapun, katanya, program pemindahan banduan hanya boleh dilaksanakan melalui hubungan dua hala menerusi negara yang bersetuju menandatangani perjanjian atau triti berkenaan.
“Setakat ini, hanya Ukraine bersetuju menandatangani triti tersebut yang dijangka berlangsung bulan depan meskipun masing-masing ketika ini tiada banduan menjalani hukuman antara kedua-dua negara.
“Persetujuan itu dibuat selepas perbincangan sejak tiga tahun lalu yang mana ketika itu terdapat lima rakyat mereka berada di penjara negara ini manakala dua rakyat kita jalani hukuman di negara mereka.
“Namun disebabkan proses rundingan yang panjang, maka banduan-banduan tersebut telah tamat proses hukuman di penjara dan kini sudah pun bebas. Pun begitu, ia tidak menjadi masalah kerana akta tersebut sudah termetera dan boleh diaplikasikan pada bila-bila masa,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Hafidz memberitahu, beberapa negara lain seperti Romania, China, Iran, Hong Kong juga dalam proses rundingan yang dijalankan oleh Jabatan Penjara bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar.
Selain itu, kata beliau, rundingan kali ketiga masih berjalan antara Malaysia dan Thailand pada tahun ini.
“Walaupun akta ini mula diperkenal pada 2012, namun perlu faham bahawa ia memerlukan proses teliti kerana melibatkan undang-undang dan kedaulatan sesebuah negara.
“Dalam pada itu, tidak semua negara bersedia dengan pelaksanaan itu selain bukan semua negara mempunyai akta ini terutama negara-negara Asia yang masih baharu dalam program ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai syarat-syarat yang melayakkan mana-mana banduan asing atau Malaysia terlibat dalam pemindahan ini, ujar Hafidz, apa sahaja kesalahan yang disabitkan dan melalui semua proses perbicaraan serta rayuan boleh dipertimbangkan selain banduan akhir untuk mengemukakan permohonan pemindahan bagi meneruskan hukuman di negara asal.
“Ini bermakna hampir semua kesalahan jenayah boleh dipindahkan tetapi ia tidak termaktub kepada mana-mana banduan akhir yang sedang menunggu hukuman tali gantung serta mereka yang direman atau masih dalam proses perbicaraan.
“Terdapat halangan bagi proses pemindahan mereka yang menunggu hukuman mati kerana beberapa negara seperti di Eropah tiada polisi tersebut. Malah, banyak negara juga memansuhkan hukuman berkenaan. Jadi, bagaimana mahu memindahkan banduan sedangkan hukuman yang harus diterimanya tiada di negara asal mereka?,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebahagian besar rakyat Malaysia yang menjalani hukuman penjara di luar negara didapati terlibat kesalahan dadah.
Selain itu, kata beliau, ada juga yang terlibat dalam penipuan dan juga kesalahan Kastam dan Imigresen.
“Berdasarkan rekod, antara enam negara Asia paling ramai rakyat Malaysia ditahan iaitu di Singapura apabila sebanyak 719 banduan direkodkan diikuti Korea Selatan (400 orang), Thailand (380 orang), China (364 orang), Indonesia (120 orang) dan Australia (84 orang).
“Di Eropah pula, negara seperti United Kingdom mencatatkan sebanyak 20 rakyat Malaysia ditahan diikuti Romania (10 orang) dan Perancis (dua orang) selain 32 individu lagi menjadi tahanan di Amerika Selatan,” katanya.
Bagaimanapun, tambah Hafidz, pihaknya yakin masih ada rakyat negara ini menjadi tahanan di negara-negara lain tetapi pihaknya belum menerima maklumat tersebut.
“Jabatan Penjara juga tiada maklumat jumlah rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau berdepan hukuman mati di luar negara,” katanya.










