Pelaburan RM183.7 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap Kedah

Pelaburan RM183.7 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap Kedah

MUHAMMAD Sanusi Md Nor berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Prestasi pelaburan Kedah yang mencatat nilai diluluskan sebanyak RM183.7 bilion dalam tempoh lima tahun membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap kepimpinan serta tadbir urus kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pencapaian itu direkodkan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025 dan menjadi petunjuk jelas dasar pembangunan negeri terus diyakini pelabur meskipun ekonomi dunia berdepan pelbagai cabaran. 

Katanya, Kedah kekal destinasi pelaburan yang kompetitif hasil kedudukan strategik, ekosistem industri yang kukuh serta pentadbiran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang komited serta mesra pelabur.

“Keputusan pelabur antarabangsa dari Austria, AT&S untuk menambah pelaburan sebanyak RM10 bilion di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) baru-baru ini menjadi manifestasi kejayaan tadbir urus kerajaan Tuanku yang terang lagi nyata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, hari ini.

Beliau berkata, selain pembangunan di KHTP, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan Koridor Perindustrian Kulim, Kedah Rubber City dan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (BKH-SBEZ).

Katanya, projek strategik di bawah BKH-SBEZ termasuk Delapan SBEZ dan Kedah Science & Technology Park (KSTP) telah merekodkan pelaburan awal bernilai RM1.4 bilion yang kini sedang direalisasikan.

Muhammad Sanusi berkata, bagi memastikan rakyat Kedah dapat merebut peluang pekerjaan berpendapatan tinggi hasil kemasukan pelaburan baharu, kerajaan negeri melancarkan Program Kedah Young Professionals yang dijangka memberi manfaat kepada 1,000 belia.

“Kerajaan juga sedang merangka satu dasar hala tuju Pembangunan TVET di Kedah melalui Kedah TVET Implementation Roadmap yang dijangka siap pada suku ketiga 2026 sebagai persediaan belia Kedah memenuhi keperluan industri.

“Melalui pelaksanaan dasar pembangunan TVET Negeri Kedah kelak, patik menaruh keyakinan taraf kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dapat dipertingkatkan. 

“Rakyat bukan sahaja berupaya memperoleh pekerjaan yang lebih baik, bahkan mampu meningkatkan taraf sosioekonomi seisi keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN